Monday 12 October 2015

MAKHLUK HALUS SEMBUNYIKAN 7 KANAK-KANAK ORANG ASLI PUNCA PASUKAN PENYELAMAT SUKAR TEMUI MEREKA ???



KOTA BHARU  – Kehilangan tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan Tohoi (SK Tohoi) pada 23 Ogos lalu dipercayai turut mempunyai kaitan dengan unsur mistik.


Perkara itu diakui oleh seorang pengamal perubatan Islam, Wan Husin Mohd. Zain, 68,  (gambar bawah) yang mendakwa murid-murid itu disembunyikan makhluk halus yang mendiami ­kawasan tersebut.


Menurut Wan Husin, keadaan itu juga menyebabkan pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk mencari murid-murid berkenaan meskipun pencarian telah dilakukan di kawasan berkenaan.

“Saya mula membantu mengesan murid-murid ini selepas diminta oleh seorang guru dan saudara-mara mangsa selepas 44 hari mereka hilang.

“Saya berada di kawasan Pos Tohoi selama tiga hari, apabila meneliti, saya dapati selama berada di hutan berkenaan, mereka telah disembunyikan oleh penghuni hutan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dia yang tinggal di Machang datang ke bandar ini untuk bertemu dengan dua mangsa, Norieen Yaakob, 10, dan Mirsduiar Aluj, 11, yang ditemukan selamat oleh anggota penyelamat dalam banir pokok di tebing Sungai Perias kelmarin.

Wan Husin mendakwa, ketika membantu mencari mangsa, dia mendapati sebahagian daripada murid-murid itu masih hidup.

“Untuk memudahkan urusan pencarian, saya telah meminta ‘penghuni hutan’ ini untuk melepaskan mereka sehinggalah murid-murid ini ditemukan seorang demi seorang.

“Mereka ‘dilindungi’ oleh peng­­huni ini, bahasa mudahnya iblis, sebab itu biarpun usaha mencari dilakukan di kawasan itu berapa kali pun budak-budak ini tidak akan jumpa dan semua mangsa ini juga tidak nampak jalan untuk balik semasa sesat,” katanya.

Tambahnya, disembunyikan oleh makhluk halus adalah perkara biasa namun kali ini agak pelik kerana memakan masa yang lama disebabkan makhluk halus tersebut terlalu degil biarpun beberapa pengamal perubatan Islam telah mencuba beberapa kali usaha sebelum ini. - utusan malaysia

No comments: