Monday 23 January 2012

ANWAR TETAP MAHU PINDA......


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendiriannya sebelum ini yang mahu undang-undang kononnya digunakan untuk mengaibkan seseorang dipinda termasuk peruntukan dalam Seksyen 377 (B) dan 377 (C) Kanun Keseksaan.
Pendirian itu dinyatakannya dengan alasan bahawa undang-undang sedia ada itu tidak boleh dikekalkan kerana kononnya ia bersifat zalim dan terdedah kepada amalan fitnah oleh pihak-pihak tertentu.
“Saya kata, undang-undang yang ada (Seksyen 377 (B) dan 377 (C) Kanun Keseksaan), saya tidak pertahankan. Ia undang- undang zalim, fitnah dan undang-undang inilah saya masuk penjara (sebelum ini),” katanya ketika berucap di Taman Sri Kerayong, Kapar yang dihadiri kira-kira 250 orang penyokongnya di sini semalam.
Beliau mengulas laporan media sebelum ini yang menyatakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menyatakan bahawa terdapat keperluan untuk menyemak semula undang-undang lapuk Malaysia supaya tidak dilihat sebagai menyusahkan dan dianggap sebagai tidak relevan.
Menjawab soalan berkaitan hak- hak golongan gay dan sama ada beliau bersedia menerima “idea anti-diskriminasi yang melibatkan hak-hak golongan gay”, Anwar berkata dalam satu wawancara dengan BBC pada Khamis lalu bahawa “kami perlu menyemak semula sebahagian daripada undang-undang lapuk kami.”
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam telah menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah menggunakan peruntukan undang-undang membabitkan kesalahan liwat untuk mengaibkan mana-mana pemimpin politik seperti mana didakwa pihak tertentu.
Menurut Najib, sebaliknya asas pertuduhan liwat itu dibuat apabila terdapat aduan daripada mangsa kerana setiap rakyat negara ini mempunyai hak yang sama di sisi undang-undang berasaskan prinsip keadilan tanpa mengira kedudukan.
Dalam pada itu, selain mahu meminda undang-undang lapuk berkaitan kesalahan liwat, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh menafikan beliau menyokong perkahwinan sesama sejenis apabila mempertahankan institusi perkahwinan di antara lelaki dan wanita.
“Sebagai orang Islam dan saya percaya majoriti bukan Islam di Malaysia mahu institusi perkahwinan di antara lelaki dan perempuan dipertahankan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai tindakan Pejabat Peguam Negara pada 20 Januari lalu yang memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskannya daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, Anwar menyatakan beliau tidak peduli mengenai perkara itu.
“Apa, ingat saya peduli ke hal ini,” ujarnya – Utusan
Undang-Undang Lapuk Adalah Seksyen 337
KUALA LUMPUR 20 Jan. – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih lagi menyentuh isu undang-undang yang didakwa lapuk sebagaimana dinyatakan beliau dalam wawancara bersama stesen Perbadanan Penyiaran British (BBC), minggu lalu.
Isu itu telah mencetuskan kegemparan dan mendapat reaksi pelbagai pihak.
Beliau mengulangi isu yang sama ketika berucap pada majlis kesyukuran pembebasannya daripada tuduhan liwat di kediamannya di Segambut Dalam di sini, semalam.
Laporan itu telah disiarkan di dalam portal propembangkang Malaysiakini, hari ini.
Berikut adalah sedutan laporan dari laman www.malaysiakini.com yang disiarkan hari ini :
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya undang-undang yang didakwanya digunakan untuk mengaibkan seseorang, dipinda termasuk peruntukan dalam seksyen 377 (B) dan 377 (C) Kanun Keseksaan.
Katanya, pindaan tersebut perlu dibuat bagi memastikan supaya ia tidak digunakan untuk menghina seseorang, khususnya terhadap musuh dalam politik.
“Memang undang-undang yang ada 377(B) ka, C ka, ini memang archaic (lapuk). Digunakan untuk aibkan orang. Digunakan untuk musuh politik.
“(Orang) tanya saya, bila kita berkuasa, boleh kita pinda. Ya, saya akan pinda. Apa pasal tidak boleh pinda undang-undang yang ada sekarang. Kita pinda supaya pastikan ia tidak bermaksud untuk menghina orang,” katanya.
Anwar turut menempelak pihak tertentu yang mempertahankan undang-undang yang didakwanya “jumud” digunakan untuk memfitnah seseorang.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya malam tadi bagi mengulas kontroversi wawancaranya dengan BBC yang dilaporkan minggu lalu sehingga beliau dituduh menyokong homoseksual.
Rangkaian itu meminta Anwar menyatakan pendirian sama ada beliau bersedia memperjuangkan ‘idea anti-diskriminasi’ terhadap kumpulan itu dan menegaskan masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia secara keseluruhannya percaya dan komited menyokong kesucian perkahwinan antara lelaki dan wanita.
“Tetapi kami tidak harus dilihat sebagai menyusahkan dan menganggap undang-undang lapuk sebagai relevan,” kata Anwar dalam temu bual dengan BBC itu.
Bercakap di majlis kesyukuran sempena pembebasannya daripada tuduhan liwat pada 9 Januari lalu, Anwar menegaskan kenyataannya bahawa Islam dan bukan Islam menyokong perkahwinan lelaki dan perempuan menjawab perbuatan seks bebas, homoseksual dan lesbian.
Anwar yang juga bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berkata, umat Islam tidak boleh menghukum seseorang melakukan “perselingkuhan” kecuali ia dilakukannya di hadapan umum.
“Orang berkata, itu kalau di tempat persendirian? Kamu tahu mana?… Bukan mengendap atau merobek privasi orang, tidak boleh,” tegasnya di hadapan tetamu yang hadir di kediamannya, di Segambut Dalam, malam tadi.
- Malaysiakini
Sebagai rujukan, Seksyen 337 (B) berbunyi barang siapa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebat.
Seksyen 377 (C) pula berbunyi barang siapa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii ke atas seseorang lain tanpa kerelaannya, atau bertentangan dengan kemahuannya atau dengan meletakkan orang lain dalam ketakutan mati atau cedera kepada orang itu atau kepada mana-mana orang lain, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari 20 tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebat – Utusan

TELUSKAH GUAN ENG..???


 Ketua Menteri, Lim Guan Eng didesak menjelaskan kepada rakyat mengenai kedudukan sebenar isu tanah Tan Hak Ju setelah Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 11 Januari lalu mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi.


Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, keputusan yang dibuat itu membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak terbabit dengan sebarang skandal rasuah.


Menurutnya, Guan Eng sepatutnya berterima kasih kepada BN kerana keputusan Mahkamah Rayuan itu memihak kepada kerajaan.


Katanya, sebagai sebuah kerajaan yang telus, Guan Eng hendaklah membuat kenyataan dan menceritakan perkara yang sebenarnya kepada rakyat agar rakyat mengetahuinya.


"Guan Eng juga perlu membayar RM500,000 dan dia kena bertanggungjawab untuk membersihkan nama kerajaan BN terdahulu yang dituduhnya mengamalkan rasuah," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian sumbangan pelajar cemerlang di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam (SMKTBM) di sini hari ini.


Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Kerja BN negeri, Datuk Dr. Teng Hock Nan mendesak kerajaan DAP Pulau Pinang menarik balik perkataan penipuan dan skandal berkaitan isu tanah itu seperti yang dikeluarkan dalam Kertas Putih di Dewan Undangan Negeri (DUN).


Hock Nan berkata, Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 11 Januari lalu telah mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi agar kerajaan membayar RM40 juta kepada Hak Ju.


Sebaliknya, kerajaan hanya perlu membayar RM500,000 sahaja kepada Hak Ju sebagai bayaran kos yang ditanggung sepanjang perbicaraan kes itu.


Sehubungan itu, Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam berkata, Guan Eng jangan bermain politik semata-mata untuk kepentingan diri sendiri.


"Inilah kerja kerajaan DAP yang hanya suka memutar belit isu dan mencari kesalahan dengan memburuk-burukkan kerajaan terdahulu," katanya.

TINGGALKAN PKR KERANA VIDEO SEKS ITU.....

SEJAK beberapa tahun lalu, ramai orang kuat di sekeliling Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkannya seorang demi seorang.
Trend itu juga nampaknya bukan terhad di kalangan kumpulan pelopor dan pangkat tertinggi parti, malahan semakin merebak ke semua peringkat termasuklah mereka yang dahulunya penyokong tegar dan taksub dengan perjuangan Ketua Pembangkang itu.
Menjadi penyokong tegar dari bangku sekolah lagi, seorang pengikut yang sebelum ini juga taksub, dahulunya sering membawa bersama anaknya dalam semua pergerakan reformasi sehinggakan anaknya itu menjadi salah seorang setiausaha sulit Anwar.
Apabila anaknya itu beralih arah meninggalkan idolanya itu, hubungan bapa dan anak menjadi renggang akibat perbezaan fahaman politik. Namun, apabila pendedahan demi pendedahan dibuat, akhirnya pengikut tegar itu luntur keyakinannya terhadap idola yang dipandang tinggi sejak kecil. Dia memilih mengikut jejak anaknya meninggalkan perjuangan parti itu.
Ikuti luahan dan pengalaman OSMAN ISHAK, bapa kepada bekas Setiausaha Sulit Anwar, Rahimi Osman dalam wawancara dengan wartawan Mingguan Malaysia LUKMAN ISMAIL.
MINGGUAN: Sejak bila anda meletakkan kepercayaan kepada karisma Datuk Seri Anwar Ibrahim dan apa yang mendorong penglibatan dalam PKR sebagai Ketua Cabang?
OSMAN: Saya menaruh kepercayaan dan meminati karisma Anwar sejak di bangku sekolah lagi kerana saya orang kampung dan suka tengok orang memperjuangkan orang kampung.
Ketika saya memasuki Universiti Malaya pada 1974, Anwar berada di dalam tahanan ISA. Bila beliau dibebaskan, saya sering mengikuti ceramah dan forum beliau di mana-mana sahaja sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Apabila beliau memasuki UMNO, kekaguman saya terhadapnya agak menurun, sehinggalah beliau dipecat dari UMNO dan gerakan reformasi tercetus.
Saya sentiasa bawa bersama anak saya, Rahimi, melatihnya berjuang bersama di Masjid Negara, Jalan Tunku Abdul Rahman, di hadapan Sogo, Sungai Buloh, hinggalah di Kemunting. Kemudian, apabila Parti Keadilan Nasional (ADIL) ditubuhkan, saya menjadi antara yang pertama menganggotainya dari hari pertama ia dilancarkan di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Kira-kira setahun sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, Anwar sudahpun dibebaskan dan saya diminta oleh seorang sahabat yang menjadi Ketua Perhubungan Negeri untuk bersamanya dalam AJK PKR Negeri Pahang bagi memantapkan parti.
Saya sebenarnya bukan orang politik, tapi atas permintaan sahabat, saya menyertainya juga. Begitu jugalah menjadi Ketua Cabang Bentong, bukanlah kehendak hati saya tapi lebih kerana permintaan pihak lain. Tapi saya tetap bersama dengan gerakan reformasi dan parti, hanya kerana kononnya mahu menegakkan keadilan.
Anda ialah ayah kepada Rahimi yang pernah bekerja dengan Anwar. Apa perasaan anda apabila Rahimi meninggalkan Anwar atas sesuatu sebab?
OSMAN: Tentu sekali sangat terkejut dan cukup menyentap hati, apatah lagi alasannya adalah sama seperti apa yang berlaku kira-kira 10 tahun lalu yang saya anggap konspirasi dan perbuatan zalim, kini kena pula kepada kawan Rahimi.
Perasaan terkejut, marah, kecewa, tidak percaya dan malu bercampur baur di dalam diri saya bila Rahimi menceritakan sebab tersebut kepada saya. Walaupun tidak percaya 100 peratus ketika itu, hati kecil saya sudah mula terdetik.
Bagaimanapun, pada peringkat awal, saya masih berjaya mempengaruhi Rahimi untuk kembali bersama Anwar. Itulah sebabnya Rahimi pergi juga menemui kumpulan peguam Anwar di sebuah hotel di Shah Alam, pada malam hari yang sama Mohd. Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis.
Malahan, dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh, Rahimi masih membantu Anwar. Tapi itu tidak lama kerana sikap negatifnya terhadap Anwar tetap ada dan saya tidak dapat lagi mempengaruhinya.
Apa yang menyebabkan anda yakin terhadap pendirian Rahimi sehingga membawa kepada keputusan mengikutinya meninggalkan PKR?
OSMAN: Sebenarnya agak sukar dan mengambil masa panjang untuk saya menerima hakikat dan mengakui pendirian anak saya lebih benar daripada saya sendiri dalam soal ini. Walaupun cerita yang disampaikan oleh anak saya nampak ‘benar’, namun saya sukar menerimanya dan terus berselindung di sebalik alasan ‘perlunya empat saksi’ dan teori konspirasi.
Hubungan saya dengan Rahimi menjadi tegang dan satu ketika saya seolah-olah menghalaunya dari rumah. Saya juga tidak lagi ambil peduli mengenai anak saya itu. Tapi semuanya berubah apabila timbulnya satu isu baru melibatkan orang yang sama.
Video seks yang didedahkan oleh ‘Datuk T’ dan kemudiannya ditayangkan oleh sebuah blog. Tanpa segan silu saya meneliti secara serius apa yang ditayangkan itu dan saya mendapati, akal saya tidak dapat mencari satu ciri pun si pelaku itu bukan orang yang dikatakan.
Semua yang saya saksikan, dari segi fizikal dan gerak gerinya semua sangat menyamai seorang individu, itulah kesimpulan saya.
Jadi, saya berfikir memang ada kemungkinan individu tersebut boleh melakukan perkara lain yang lebih menjijikkan. Tambahan pula, bila melihat dolak dalih mereka sekeluarga dalam isu jam tangan yang tidak meyakinkan, kelihatan mereka sangat gelabah. Rasa kemungkinan besar betul, dan kalau betul, mungkin ada merit untuk kes-kes terdahulu.
Sejak dari itu, saya mula mundur dan mengakui nampaknya pendirian anak saya adalah betul. Lalu terus menjauhi PKR kerana saya tersalah langkah selama ini. Mujur juga saya tidak lagi menjadi Ketua Cabang ketika itu, kalau tidak alangkah rasa serba salahnya saya.
Video itu mendorong saya tinggalkan PKR dan hilang kepercayaan terhadap ketuanya. Ini video, yang saya boleh tengok sendiri berbanding sebelum ini hanya dengar cerita orang sahaja.
Kebetulan Rahimi kemudian membawa saya mengikuti satu perjumpaan yang mendedahkan banyak cerita tentang individu sama. Orang yang bercerita di situ pula tidak nampak seperti orang berbohong. Dari detik itu, hati saya berubah 99 peratus meninggalkan PKR dan pembangkang dan tidak lagi menghubungi rakan-rakan dalam pembangkang.
Keputusan mahkamah baru-baru ini pula semakin melegakan saya kerana kini lebih pasti kesimpulan yang saya buat adalah betul.
Jika kita lihat, sejak dari hari pertama sehingga penghujung kes itu teori konspirasi yang dicanangkan bagi mengaburi mata rakyat, tetapi keputusan mahkamah menampakkan sebaliknya.
Bagi orang yang berfikir, sudah tentu mereka memahami apa yang sebenarnya berlaku dan siapa yang sebenarnya berkonspirasi. Ini persepsi saya, tapi selepas keputusan mahkamah itu, saya menolak 100 peratus PKR dan pembangkang.
Benarkah sebelum ini anda menolak sepenuhnya media perdana terutamanya Utusan Malaysia sepanjang berjuang bersama Anwar?
OSMAN: Sebenarnya, Utusan Malaysia teman saya sepanjang bersekolah dan belajar dahulu. Namun, selepas kes liwat 1998, saya menolak Utusan Malaysia (kerana terpengaruh sentimen Anwar) selama hampir 12 tahun. Saya tidak membeli mahupun membaca Utusan Malaysia dan media perdana lain kerana semuanya digelar media fitnah. Selepas saya mengubah fikiran (perjuangan politik), saya kembali kepada Utusan Malaysia malahan menunjukkan dengan bangga saya membeli akhbar Utusan Malaysia.
Tanpa perjuangan Utusan Malaysia, kita tentu sudah sesat kerana tiada yang memperjuangkan hak kita macam Utusan. Dulu saya taksub, anggap semuanya fitnah semata-mata.
Ini pengajaran istimewa dan bermanfaat terutamanya melalui wawancara bersama Ismail Mina Ahmad bagi menjelaskan isu pluralisme dan bagaimana akidah boleh terpesong kerananya. Saya simpulkan apabila pluralisme dikaitkan dengan seseorang itu, perlu jauhkan diri saya daripada individu tersebut.
Apa pandangan anda terhadap masa depan PKR dan Anwar sendiri?
OSMAN: Saya melihat PKR hanyalah bayangan Anwar, dan Anwar itu adalah Anwar. Jadi, bagi saya, tidak perlu memikirkan sangat mengenai masa depan PKR kerana secara automatiknya PKR itu akan lenyap dengan ketiadaan Anwar. Yang perlu kita lihat ialah masa depan Anwar itu bagaimana.
Masa depan Anwar bukan sahaja penting kepada dirinya dan PKR, malahan kepada Pas dan DAP . Bagi saya, Anwar adalah seorang yang cukup pandai tetapi satu sahaja kemahirannya, memainkan sentimen rakyat. Kesinambungan hayat politik Anwar sangat bergantung kepada kepakaran beliau dalam memainkan sesuatu isu.
Itulah sebabnya beliau suka mencipta isu! Tanpa isu, manipulasi sentimen tidak boleh berlaku dan rakyat tidak akan tertarik untuk menyokongnya. Tengok sahaja bagaimana beliau boleh bertahan sejak tahun 1998 sehingga hari ini, malah hampir saja berjaya menakluki Putrajaya, semuanya dengan memanipulasikan isu.
Tapi, bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Itulah yang terjadi kepada Anwar kali ini. Beliau cuba memainkan isu konspirasi politik sekali lagi untuk menyelamatkan moralnya dalam kes liwat kedua ini tapi keputusan mahkamah baru-baru ini sangat menyimpang dari apa yang beliau canangkan. Ertinya, ada unsur pembohongan di sini.
Persepsi saya cukup negatif, persepsi orang lain saya tidak tahu. Kalau di negara maju, saya rasa peluang Anwar untuk menjadi Perdana Menteri sudah ranap. Tambahan pula sekarang, bila persoalan akidah berkaitan dengan sikapnya mengenai pluralisme agama dibangkitkan, mana mungkin ia dapat diterima oleh mereka yang benar-benar memahami Islam, tentu takkan dekat lagi dengan pemimpin begini – Mingguan Malaysia

BILA GURU KENCING BERDIRI.....

FATWA memiliki kedudukan yang agung. Orang yang memberi fatwa mencurahkan fikiran untuk menjelaskan apa yang samar-samar bagi umat tentang urusan agama dan membimbing mereka ke jalan yang lurus. Oleh kerana itu, kedudukan ini tidak mampu disandang melainkan ahlinya.

Lantaran itu Ibnu Manzhur mendefinisikan bahawa fatwa ialah suatu kenyataan yang dikeluarkan oleh mufti mengenai suatu hukum atau satu keputusan yang dikeluarkan oleh seorang yang faqih iaitu seorang yang berpengetahuan luas dan mendalam dalam perundangan Islam. (Lisanul Arab).

Ramai ulama silam yang masyhur mengarang kitab yang membicarakan dengan panjang lebar mengenai fatwa dan kepentingannya dalam Islam. Ibnu Qayyim al-Jawziyah sendiri menulis I'lam al-Muwaqqi'in 'An Rabb al-'Alamin sebanyak 4 jilid besar.

Antara pihak lain yang menulis subjek sama termasuk Imam Qarrafi al-Maliki - Tamyiz al-Fatawa 'An al-Ahkam Wa Tasarrufat al-Qadhi, Imam Jamaluddin al-Qasimi - Fatawa Fil Islam, Ibnu Hamdan al-Hambali - Sifat al-Fatwa Wa al-Mufti Wa al-Mustafti, Abu Khatib al-Baghdadi -Al-Faqih Wa al-Mutafaqqih dan banyak lagi.

Dek kerana terperincinya sesuatu perkara itu difatwakan adalah tidak adil bagi orang awam untuk menolak dan mengabaikan fatwa itu tanpa sebarang perbincangan yang wajar. Lebih-lebih lagi apabila fatwa itu dikeluarkan secara rasmi oleh individu atau organisasi yang diberikan autoriti oleh pemerintah.

Isu Wang Zakat dan Saman

Ini merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh mengenai isu penyalahgunaan wang zakat oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Pihak pembangkang seperti membakul sampahkan fatwa ini. Lebih-lebih lagi fatwa ini bukanlah daripada akal dan pandangan peribadi mufti melainkan ia didasari dengan dalil dan dijelaskan oleh ulama terkemuka.

Oleh kerana suara ulama dan agamawan sudah mula dipinggirkan dalam Pas, maka elok juga kita ingatkan sebuah hadis daripada sahabat Abu Said al-Khudri, "Zakat itu tidak halal bagi orang kaya kecuali untuk lima golongan ; (1) amil, (2) seseorang yang membelinya dengan harta miliknya, (3) orang yang berhutang, (4) tentera yang berperang di jalan Allah, atau (5) seorang miskin yang menerimanya lalu menghadiahkan kepada orang kaya." (Sahih Sunan Abu Dawud)
Imam Muhammad bin Ismail Ash-Shan'ani ketika memberi syarahan hadis ini berkata, "Termasuk mereka juga seseorang yang bekerja untuk kepentingan orang Islam, seperti bidang pengadilan, pemberian fatwa dan pengajaran, walaupun mereka termasuk orang kaya." (Subulus Salam Syarah Bulughul Maram)

Urusan zakat bukan alang-alang penting dalam Islam kerana termasuk satu daripada lima Rukun Islam. Ia termasuk ibadah khusus yang tawqif memiliki tatacara yang telah baku, bermakna ia tidak boleh ditambahi dan dikurangi tanpa berasaskan dalil.

Sesungguhnya di antara kejahatan yang terbesar dalam agama adalah seseorang mengatakan tentang sesuatu bahawa ini halal, padahal dia tidak mengetahui hukum Allah tentang itu. Atau berkata tentang sesuatu bahawa ini haram padahal dia tidak mengetahui hukum Allah tentang itu.

Sesuai dengan firman Allah yang bermaksud; "Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebutkan oleh lidah secara dusta ini halal dan ini haram untuk mengadakan pembohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang yang mengadakan-adakah pembohongan terhadap Nama Allah tidak akan beruntung." (Surah An-Nahl, ayat 116)

Bukan itu sahaja, Nabi sendiri dalam beberapa hadis mengancam seseorang itu mengeluarkan pendapat tentang al-Quran sesuka hati berdasarkan akal dan nafsu semata-mata. Dalam Musnad Abdun Hamid, Nabi diriwayatkan berkata; Barang siapa berpendapat berdasarkan pendapatnya dalam masalah yang ada kaitannya dengan al-Quran, maka tempat kembalinya adalah neraka." (I'lamul Muwaqqi'in An Rabbil Alamin)

Begitu juga semulia-mulia dan seutama-utama manusia selepas Nabi Muhammad, sahabat dan mertuanya yang dicintai Abu Bakar As-Siddiq (semoga Allah redha kepadanya) mengatakan, "Langit mana yang akan menaungiku dan bumi mana yang akan membawaku, apabila aku berbicara tentang Kitab Allah tanpa ilmu." (Jamii Bayaanil Ilmi wa Fadhlihi)."

Justeru kita merasa sangat hairan dengan sikap mereka yang mendakwa diri berjuang untuk Islam dan mendaulatkan al-Quran dan As-Sunnah. Namun dalam pada masa yang sama, tindakan mereka bertentangan dengan apa yang mereka ucapkan. Al-Quran yang mereka baca tidak lebih daripada sekadar bunyi-bunyi indah dari kerongkong mereka sahaja. Manakala tindakan dan amalan mereka meluncur dan melencong tidak ubah seperti busur yang keluar daripada panahnya.

Sikap Pembangkang Terhadap Mufti dan Fatwa

Sikap meminggirkan fatwa bukan sekali ini sahaja berlaku, bahkan sudah berlarutan dan menjadi tabiat yang sukar dikikis.

Tan Sri Dr. Harussani Zakaria pernah menceritakan bahawa pihak pembangkang banyak kali tidak menerima fatwa yang dikeluarkan. Ini beliau ceritakan dalam sebuah wacana beberapa bulan yang lalu. Kenyataan beliau itu terbukti serta-merta apabila disambut cercaan "boo" daripada majoriti penyokong pembangkang yang hadir.

Sudahlah pemimpinnya angkuh menolak fatwa, ahli dan penyokongnya pula tidak berakhlak kepada mufti dan orang yang lebih tua. Ibarat kata, "guru kencing berdiri, anak murid berak melompat".

Bukankah dahulu mereka juga yang melaungkan kalam Allah, "Adakah kamu beriman dengan sebahagian Kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain". (Surah Al-Baqarah, ayat 85)

Hari ini sepertinya ada yang lupa bahawa dalam kalam Allah juga memesankan supaya taat kepada Allah, taat kepada Rasul dan ulil amri. Dan para ulama menjelaskan salah satu dari tafsiran ulil amri ialah ulama. Dan ulama telah berfatwa sesuai dengan ayat Allah, sesuai dengan hadis Nabi dan tafsirannya benar mengikut pandangan ulama yang muktabar.

Benarlah apa yang dijelaskan oleh pengarang kitab Dar'ut Ta'arudh An-Naqli Wal Aqli; "Setiap kali ahli batil berhujah dengan dalil dari Al-Kitab mahupun As-Sunnah yang sahih untuk membela kebatilan mereka, maka dalil yang mereka gunakan tersebut akan berbalik menyerang mereka."

Begitulah manusia dan resam dunia. Ia bergulung laksana ombak. Seringkali juga kita melupakan apa yang telah kita perkatakan kepada orang lain. Dan akhirnya akibat kelupaan dan keseronokan kita menuding jari akan kesalahan kepada orang lain, ternyata empat jari yang lainnya berbalik menuding kita.

Kita akhiri dengan merenungkan perkataan Imam Ibnu Qayyim tentang manusia; "Manusia itu ada empat macam; yang terbaik di antara mereka adalah yang diberi ilmu dan sikap santun, yang terburuk di antara mereka adalah yang tidak memiliki ilmu dan tidak memiliki sikap santun..., Maka, sikap santun adalah hiasan ilmu sekali gus menjadi kecantikannya. Lawan kepada sikap ini adalah kurang akal, tergesa-gesa, dan tidak memiliki kemantapan."

Semoga kita semua termasuk dalam golongan manusia yang terbaik itu.

MOHD. RIDUAN KHAIRI
Biro Penerbitan iLMU
(Sekretariat Ulama Muda UMNO)

SIAPA BERANI TEGUR KERAJAAN PULAU PINANG....!!!

BEBERAPA bulan lalu sekumpulan 13 orang guru dari sebuah sekolah rendah di Bayan Lepas, Pulau Pinang meminta ditukarkan ke Kepala Batas di Seberang Perai Utara.


Dikatakan mereka tidak mampu lagi tinggal di Tanjung. Harga rumahnya oh! terlalu mahal. Jalan terdekat ialah tinggal di Sungai Petani, Kedah tetapi mengajar di Kepala Batas.


Hampir empat tahun ini Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak mengusahakan langsung pembinaan satu unit pun rumah kos rendah dan sederhana rendah. Hanya rumah berkos tinggi dibina.


Rakyat Singapura dikatakan banyak membeli rumah dan hartanah di negeri itu. Harga rumah mencecah antara RM400,000 hingga RM700,000 sebuah di Balik Pulau sahaja.


Bukan sahaja orang Melayu berkeluh-kesah akan hal ini, kaum Cina pun begitu juga. Mereka pergi mengadu ke pihak Barisan Nasional (BN). Tetapi apa nak dibuat, kuasa di tangan orang lain.



Setiausaha Barisan Nasional Pulau Pinang yang juga ADUN Teluk Bahang, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya (gambar) yang ditemui Utusan Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini mengakui penghijrahan penduduk Tanjung ke tanah besar semakin meningkat akhir-akhir ini. Sebabnya, harga rumah yang menjulang.


Mengejutkan. Tetapi hakikatnya perlu diterima. Tiada satu unit pun rumah kos rendah dan sederhana rendah dibina oleh kerajaan negeri DAP dalam tempoh beberapa tahun ini.


Pengakuan itu datang daripada Exco Perumahan parti itu sendiri dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) awal tahun lepas.


Soalnya, berapakah jumlah rumah kos rendah dan sederhana rendah dibina, kalau tidak pun dalam 2009/2010 oleh kerajaan negeri menggunakan dananya sendiri atau melalui anak syarikat dan jabatan negeri.


Exco Perancangan Desa, Perumahan Dan Kesenian, Wong Hon Wai pernah menjelaskan, sejumlah unit rumah dibina tetapi semuanya oleh syarikat swasta.


"Depa bagi '100 Ringgit' boleh tetapi pembelaan kepada orang miskin perlulah dilakukan. Jangan asyik main politik, jangan dok gila heboh ada bajet surplus tapi tak ada pembel aan. Dulu pun kita (BN) ada surplus tapi masih bina rumah kos rendah," kata Hilmi lagi.


Beliau seterusnya merujuk Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2010 mengenai Pulau Pinang. Antaranya, peruntukan pembangunannya berjumlah RM379.77 juta kepada sembilan jabatan, yang mana perbelanjaan hanya RM225.95 juta atau 59.5%.


Sejumlah lima jabatan, prestasi lebih 90%, dua jabatan prestasi 80% - 89%, satu jabatan prestasi 70% - 79%. Yang paling rendah ialah Pejabat Ketua Menteri iaitu hanya 54.7%. Ini kerana terdapat 23 projek yang tidak dapat disiapkan atau ditangguhkan.


"Apa projek-projek itu? Ia melibatkan enam projek pembesaran masjid dan sekolah agama, tiga projek perkuburan Islam, enam projek rumah kos rendah, tiga projek penyesiatan untuk pembangunan ekonomi Pulau Pinang, dua projek membina Mahkamah Syariah serta masing-masing satu projek pembangunan sukan, pembangunan ICT dan projek bekalan air," katanya.


Hilmi juga menarik perhatian mengenai projek di tapak tebus guna tanah di utara Queensbay.
"Apa sudah jadi? Dulu masa BN dah diluluskan satu projek perumahan bercampur, rumah kos sederhana rendah, kos sederhana dan kos tinggi, lengkap dengan sekolah dan masjid.


"(Tetapi) sekarang di bawah Lim Guan Eng, Pas dan PKR, rumah kos sederhana rendah, rumah kos sederhana dah hilang, yang ada rumah kos tinggi sahaja... sekolah dan masjid pun hilang juga.


"Macam ni pun rakan kongsi - Pas dan PKR tak berani tegur Guan Eng. Elok tak payah jadi kerajaan. Makin lama, makin terhakis hak kita," kata Hilmi.


Bukan sahaja rumah kos rendah, kata Hilmi, Masjid Teluk Kumbar juga menjadi 'mangsa'.


"Tanah tapak masjid Teluk Kumbar telah pun diambil oleh kerajaan DAP Pulau Pinang tiga tahun lalu tapi tidak wakafkan. Sebaliknya 'dia' letak tanah tersebut di bawah syarikat kerajaan negeri. Tajuk tanah tersebut ialah rumah ibadat.


"Kalau rumah ibadat, ia bukan untuk masjid sahaja. Apa maknanya? Kariah Teluk Kumbar nak minta peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk bina masjid tapi tak boleh kerana tanah bukan wakaf," kata beliau.


Semasa pentadbiran kerajaan BN dahulu, perkara sebegini tidak pernah berlaku. Kerajaan negeri BN dahulu ambil tanah untuk kegiatan agama Islam sama ada untuk masjid, surau, sekolah agama dan kubur orang Islam. Semuanya terus diwakafkan. Puluhan ekar tanah telah diambil untuk tujuan tersebut. Tidak ada masalah. Semuanya terus diwakafkan.


"Apa sudah jadi dengan rakan kongsi - Pas dan PKR dalam kerajaan Pulau Pinang. Takutkah nak tegur orang itu," kata Hilmi.


Beliau turut menarik akhbar ini mengenai kedudukan Sekolah St. George Balik Pulau. Ketika ini yang belajar di situ adalah anak-anak dari kawasan sekeliling dan sehingga Sg. Rusa, Sg. Pinang, Air Putih dan Paya Kongsi.


"Pihak gereja sudah bagi tempoh sehingga tahun 2016 untuk ambil balik. Maknanya, hilang satu sekolah menengah dan satu sekolah rendah di kawasan Balik Pulau.


"Memang masa BN dulu telah dirancang satu sekolah menengah dan sekolah rendah di Air Putih (DUN Guan Eng), tetapi di mana ia sekarang? Malah, di tapak yang diperuntukan percuma oleh Kerajaan Persekutuan kepada sekolah menengah dan sekolah rendah, diprojek Botanica CT, apa dah jadi?" Soal Hilmi.


Menurut ADUN Teluk Bahang itu lagi, kerajaan negeri sudah memberinya kepada Sekolah Antarabangsa Prince of Wales. Sekolah pun dah siap dibina dan beroperasi.


"Guan Eng kata dalam DUN nak ganti tanah itu dengan tanah lain di kawasan Air Putih, juga secara percuma. Tetapi sampai hari ini tak ada apa-apa pun. Masa terus berjalan. Datuk Halim Speaker orang kuat PKR buat apa? Tak berani nak tegur ke?


Pendedahan oleh Hilmi ini baru sedikit sahaja. Belum pi jauh lagi. Jelutong, Bukit Gelugor dan banyak lagi. Apa dah jadi?


Dahulu kata UMNO halau Melayu. UMNO 50 tahun jadi kerajaan pun tidak serakus ini.


SUMBER

ANWAR DAN GEOPOLITIK ASIA TENGGARA

AMALAN siasah Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak era reformasi hingga ke era pra-901 sentiasa menerima dukungan moral dan simpati segelintir individu serta organisasi di Amerika Syarikat (AS), termasuk mantan Naib Presiden dan seorang pengasas neokonservatif.

Ini menyemarakkan gerakan siasah alternatif yang kurang etika, dangkal susila dan longgar disiplin, di samping menyamakan demokrasi dengan aktiviti jalanan, atas motif peribadi.

Andaian seperti di atas kerana wujudnya beberapa bukti dan Anwar memang sentiasa berusaha mendapatkan legitimasi antarabangsa bagi mencerahkan kegerhanaan peribadinya serta menyemarakkan kelesuan politiknya.

Pertama: Di Sidang Kemuncak APEC di Kuala Lumpur, 16 November 1998, Al-Gore selaku Naib Presiden AS "memuji rakyat Malaysia yang menentang kepimpinan (Tun Dr.) Mahathir Mohamad sebagai manusia yang berani" (Mark Landler, The New York Times, 17 November 1998).

Mengapakah Al-Gore tergamak mencemarkan pelantar diplomasi pelbagai hala mengenai ekonomi Asia-Pasifik untuk menempelak Dr. Mahathir dan memuji penyokong Anwar.

Bukankah kerana AS mahu Dr. Mahathir disingkirkan sebab khuatir negarawan Malaysia yang mengasaskan Kerjasama Selatan-Selatan ini boleh menghakis pengaruh AS di Dunia Ketiga, Dunia Islam dan Negara-Negara Berkecuali.

Pada ketika itu, Bill Clinton selaku Presiden AS sedang memperhebatkan pengaruh AS ke seluruh dunia menerusi strategi yang dilabelkan Joseph Nye Jr. (2002:9) sebagai soft powermenerusi prinsip hak asasi dan konsep neoliberalisme yang mencetuskan globalisasi.

Lantas kenyataan Al-Gore ini bukannya untuk menyokong Anwar, tetapi bagi menggalakkan pertukaran rejim bagi membolehkan Malaysia dipemimpin individu yang boleh diperalatkan olehnya.

Inilah sebabnya bila AS gagal dan Malaysia adalah strategik kepada perang terorisme AS, pelbagai artikel ilmiah pula memuji Dr. Mahathir dan menyatakan hubungan Malaysia-AS kembali pulih di era pasca-911.

Bukti kedua: Anwar mengakui beliau bersahabat dengan Paul Wolfowitz (Hard Talk, BBC World, 10 Mei 2005) mantan pembesar Bank Dunia, bekas Timbalan Setiausaha Pertahanan AS dan penngasas neokonservatif yang pro-Israel.
Ini disahkan oleh Wolfowitz menerusi kenyataan bahawa beliau memang mengenali Anwar sejak tahun 1983 (Presidential Fellows Lecture, 16 Jun 2006).

Persahabatan ini tidak salah. Namun pertalian antara seorang yang mempopularkan dirinya sebagai pejuang Islam dengan individu yang amat pro-Israel adalah aneh.

Hakikat ini makin serius kerana Wolfowitz adalah pengasas Project for the New Amerian Century (PNAC) yang menyediakan kajian Rebuilding America's Defenses: Strategy, Forces and Resources for A New Century (2000).

Kajian ini memperakukan AS mengerahkan tenteranya daripada Eropah Tenggara ke Asia Tenggara, dan menukarkan corak mobilisasi pasukan tentera laut AS bagi mencerminkan keprihatinan strategik AS di Asia Timur (PNAC 2000:iv).

Beberapa perakuan kajian ini juga jadi sebahagian The US National Security Strategy (2002) yang mendasari perang terorisme di Afghanistan, Iraq dan Asia Tenggara (Tom Barry 2004:1).

Lantas apakah motif Anwar berbaik-baik dengan Wolfowitz, penggerak utama mobilisasi tentera AS ke Asia Tenggara dan penyokong perang terorisme yang mengorbankan ratusan ribu umat Islam di Afghanistan dan Iraq?

Tidakkah ini membuktikan neokonservatif mahukan pemimpin yang partisan kepada AS di Asia Tenggara untuk mendukung strategi besar AS kerana selama ini Malaysia berbaik-baik dengan semua pihak bagi mewujudkan perimbangan pengaruh secara halus atau hedgingterhadap China.

Bukti ketiga: Anwar pernah menerima penghargaan RAND Corporation yang didakwa oleh majalah Sabili di Indonesia, sebagai satu daripada organisasi "untuk memecah belah umat Islam di berbagai belahan dunia, termasuk di Indonesia" (Dwi Hardianto 3 Februari 2011:32-33).

Dalam konteks ini, RAND Corporation juga menyediakan sebahagian strategi besar AS di Asia Tenggara menerusi kajian Zalmay Khalilzad et al. (1999) dan Richard Sokolsky et al. (2001).

Kajian The United States and A Rising China: Strategic and Military Implications (1999), menggesa AS mengukuhkan kerjasama politik dan ketenteraan dengan anggota ASEAN serta merobah pasukan tentera AS sesuai dengan kemungkinan senario di China, termasuk peperangan (Khalilzad et al. 1999:73-74).

Kajian The Role of Southeast Asia In U.S. Strategy Toward China (2001) oleh Sokolsky et al. (2001) pula menghuraikan pentingnya perairan utama di Asia Tenggara - termasuk Selat Melaka dan Laut China Selatan - kepada mobilisasi tentera AS daripada barat Pasifik ke Lautan Hindi dan Teluk Parsi.

Kajian-kajian di atas memang relevan kepada AS selaku adikuasa global. Namun intimasi Anwar dengan RAND Corporation cukup memusykilkan. Apakah keistimewaan Anwar kepada RAND Corporation hingga perlu diberikan penghargaan?

Mungkinkah RAND Corporation juga mahukan suatu hari nanti kepimpinan tertinggi Malaysia sanggup menggadaikan kedaulatan wilayahnya dengan memberikan kuasa fizikal kepada AS untuk meregulasikan ketenteraman pelayaran di Selat Melaka?

Jika hipotisis ini benar, apakah pendirian Malaysia terhadap China, dan di manakah wibawanya konsep ZOPFAN dalam ASEAN, seandainya AS dan China terdorong kepada satu konflik bersenjata di hari-hari mendatang?

Tidakkah sikap partisan Malaysia kepada AS dalam konteks ini boleh menggelapkan masa depan Malaysia dengan AS selaku rakan dagang terbesar di dunia, dan masa depan Malaysia dengan China selaku rakan dagang terbesar di Asia?

Lantaran itu, bila Anwar dipetik media sebagai berkata, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak menjatuhkan hukuman bersalah kepadanya, 9 Januari 2012, kerana tekanan "pihak luar," siapakah "pihak luar" ini secara khususnya.

Kerana Anwar juga dipetik akhbar sebagai menuduh Barisan Nasional (BN) dan UMNO kononnya berkonspirasi menjatuhkan beliau, tidak mungkinkah PKR yang sebenarnya bersekongkol dengan kuasa, organisasi dan individu asing?

Demi kesejahteraan bersama, hubungan Anwar dengan pihak-pihak asing ini perlu dirungkai dari sudut geopolitik AS di Asia Tenggara, serta menerusi perspektif masa depan Malaysia-AS dan Malaysia-China, yang kini tiada cacat celanya, tetapi boleh jadi mudarat jika berlaku perubahan kuasa.


PEMBANGKANG PERAK KETANDUSAN MODAL POLITIK....!!!

Isteri Menteri Besar Pula Jadi Mangsa Sabotaj Di Ipoh



Selepas insiden membakar poster wajah Menteri Besar di Kampung Masjid Tinggi, dekat Bagan Serai dan simbah cat merah pada papan tanda dewan orang ramai Kampung Changkat Ibol, unsur sabotaj membabitkan pemimpin nombor satu negeri itu menular pula ke bandaraya Ipoh yang merupakan kubu kuat DAP.
Kain rentang tertera jemputan ke Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2012 yang dipasang atas jejantas berdekatan SMK Sam Tet menjadi mangsa vandalisme di mana poster bahagian mulut Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Datin Seri Saripah Zulkifli telah ditoreh dan dikoyakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Perbuatan khianat itu menunjukkan ada pihak tidak senang duduk dengan kelantangan Zambry  bersuara khususnya membabitkan parti pembangkang PAS dan DAP yang dilihat semakin tergugat dan tertekan dengan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).
Dalam dua insiden sabotaj sebelum ini, hanya Zambry dan UMNO menjadi mangsa khianat pihak pembangkang tetapi kini mereka nampaknya cuba mengheret sama isterinya, Saripah yang langsung tidak ada sangkut paut dengan dunia politik.
SETERUSNYA...DI SINI