Manusia ini memang tidak terlepas daripada membuat perancangan dan berjanji. Sebagai ibu bapa, kadang-kala kita merancang segala yang terbaik demi keluarga dan anak-anak. Sebagai manusia juga, kita tidak dapat mengelak daripada berjanji. Sama ada tercapai atau tidak, segalanya tertakluk kepada ketentuan Dia yang Maha Berkuasa.
Merancang dan berjanji; dua perkara yang mungkin berbeza tetapi masih dalam konteks yang sama iaitu perkara yang akan dilakukan pada masa depan. Umpamanya ibu berjanji dengan anaknya untuk membelikan barang mainan kegemaran si anak. Sama ada perancangan itu terlaksana atau janji itu dapat dilakukan, ia berada di bawah takluk kuasa Allah.
Ada orang yang merancang tetapi perancangannya tidak menjadi kenyataan. Ada orang berjanji tetapi apabila tiba masa menunaikan janji, hilang tak nampak bayang! Perancangan tidak menjadi, itu suatu perkara di luar jangkaan. Janji tidak dapat ditepati, itu sama ada ingkar sendiri atau kerana masalah teknikal yang lain.
Islam mengajar satu konsep yang amat mudah dalam perkara membuat perancangan dan membuat janji, iaitu mengiringi perancangan dan janji itu dengan kata ‘insya Allah’. Namun selalu juga berlaku, kita main-main dengan ungkapan ‘insya Allah’ itu. Umpamanya, apabila mendapat undangan daripada sahabat, kita dalam keadaan serba salah sama ada mahu hadir atau tidak. Hendak menolak terang-terangan, rasa tidak sampai hati. Hendak menjawab ya, hati memang berat hendak memenuhi undangan itu. Lalu ada di antara kita mengambil jalan tengah, ‘insya Allah’ tetapi dalam hati, “insya Allah, tak datang!”
Kisah mengenai ‘insya-Allah’ ini, Allah nyatakan dalam surah al-Kahfi ayat 23-24 yang bermaksud, “Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan tentang sesuatu: “Sesungguhnya aku akan mengerjakannya esok”, kecuali dengan menyebut ‘insya Allah’.”
Ayat ini mengingatkan kita mengenai kekuasaan mutlak yang hanya milik Allah. Oleh itu apabila melafazkan janji, mengikrarkan sumpah atau membuat perancangan, kita akan selalu ingat bahawa kita makhluk yang lemah dan segala yang terlancar dari mulut kita itu akan jadi kenyataan jika diizinkan Allah. Sebab itulah kita sebut ‘insya Allah’ iaitu ‘dengan kehendak Allah’.
Menurut riwayat Ibnu Jarir, ayat 23-24 surah al-Kahfi tersebut diturunkan oleh Allah berikutan peristiwa yang tercetus antara Nabi Muhammad dengan kaum kafir Quraisy. Pada suatu hari, kaum Quraisy mengutus dua orang utusannya, an-Nadr bin al-Hars dan Uqbah bin Abi Muith untuk menemui para pendeta Yahudi di Madinah. Tujuan mereka adalah untuk memastikan kenabian Muhammad sebagai seorang rasul dengan cara menceritakan sifat-sifatnya dan segala yang dikatakannya. Kaum Quraisy beranggapan bahawa para pendeta berkenaan mempunyai kepakaran dalam memahami kitab-kitab lama yang telah diturunkan dahulu dan memiliki pengetahuan yang mendalam mengenai tanda-tanda kenabian. Lalu, kedua-dua utusan tadi mengemukakan masalah yang sedang dihadapi koleh kaumnya kepada para pendeta yang ditemui.
Para pendeta itu pun menyarankan bahawa untuk memastikan sahih atau tidaknya kenabian Muhammad, ajukan tiga persoalan kepada Muhammad. Pendeta Yahudi berkata, “Tanyakanlah kepada Muhammad akan tiga hal. Jika dia dapat menjawabnya, dia Nabi yang diutus. Akan tetapi, jika tak dapat menjawabnya, dia hanyalah orang yang mengaku sebagai Nabi. Pertama, tanyakan tentang pemuda-pemuda pada zaman dahulu yang berpergian (mengembara) dan apa yang telah berlaku kepada mereka. Kedua, tanyakan juga tentang seorang pengembara yang sampai ke Masyriq dan Maghrib dan apa yang terjadi padanya. Ketiga, tanyakan pula kepadanya mengenai roh dan apakah itu roh.”
Utusan itu pulang kepada kaum Quraisy dan menceritakan pesanan yang diberikan oleh para pendeta Yahudi itu. Kemudian, mereka berangkat pula menemui Nabi Muhammad SAW dan menanyakan ketiga persoalan yang tersebut di atas. Nabi Muhammad SAW berjanji dengan pasti bahawa baginda akan dapat menjawab ketiga-tiga persoalan yang dikemukan tanpa disertai kalimah ‘insya Allah’.
Dari sehari ke sehari, Baginda menantikan turunnya wahyu yang akan menerangkan jawapan kepadaa ketiga-tiga persoalan tersebut. Rasulullah SAW menunggu-nunggu wahyu sehingga 15 malam, namun malangnya Malaikat Jibril tidak juga muncul sehingga orang-orang Makkah mulai merasa sangsi terhadap Baginda. Rasulullah sendiri berasa sangat sedih, gundah gulana dan bingung mengenai jawapan yang harus diberikannya kepada kaum Quraisy yang menunggu-nunggu jawapan Baginda.
Akhirnya setelah 15 malam berlalu, turunlah Malaikat Jibril membawa wahyu iaitu beberapa ayat daripada surah al-Kahfi dan al-Isra sebagai jawapan kepada ketiga-tiga persoalan yang dikemukakan. Sambil itu, Malaikat Jibrail membawa teguran Allah terhadap sikap Nabi Muhammad yang berjanji tanpa mengucapkan ‘insya Allah’. (QS al-Kahfi [18]:23-24).
Mufassir Ibnu Jarir ath-Thabari dalam Kitab Jaami'ul Bayan menjelaskan, “Inilah pengajaran Allah kepada Rasulullah SAW agar jangan memastikan suatu perkara akan terjadi tanpa halangan apa pun, kecuali menghubungkannya dengan kehendak Allah SWT.”
Dalam kesempatan itu juga, Jibril menyampaikan tentang pemuda-pemuda yang berpergian, yakni Ashabul Kahfi (18:9-26); seorang pengembara, yakni Dzulqarnain (18:83-101); dan perkara roh (17:85).
Kalimah ‘insya Allah’ bukan perkara yang boleh dibuat main, sama ada ketika hendak merancang sesuatu atau pun semasa perancangan telah dibuat. Berikut antara perkara yang perlu kita berikan perhatian apabila berjanji dan membuat perancangan :
1 – Buat janji ikut kemampuan
Jangan berjanji sekiranya kita tidak tahu kita tidak mampu untuk menunaikan janji. Sekiranya tidak yakin atau tahu diri tidak mampu menunaikan janji, maka lebih baik kita berterus-terang saja. Berterus-terang mungkin akan menyebabkan ada pihak berkecil hati tetao itu lebih baik daripada mungkir janji. Sekiranya kita yakin dapat menunaikan janji, ucapkanlah ‘insya Allah’ sebagai penyerahan kepada Allah, segalanya akan berjalan lancar dengan izin-Nya.
2 – Janji harus sedaya upaya ditunaikan
Apabila sudah berjanji, cubalah sedaya upaya menunaikannya. Yang penting ada usaha untuk melunaskan janji kerana dengan usaha itu, insya Allah akan dipermudahkan Allah.
3 – Berserah kepada Allah apabila berjanji (tawakal)
Jika ungkapan ‘insya Allah’ diucapkan dengan penuh sedar dan faham, bermakna kita menyerahkan segala urusan kepada Allah. Kalimah ‘insya Allah’ ibarat satu doa, dengan mengharapkan reda Allah supaya memberikan kita kekuatan dan kejayaan menunaikan janji dan membuat perancangan. Apabila kita menyerahkan segala bentuk urusan kepada Allah, bermakna kita sampai ke peringkat bertawakal selepas melakukan segala usaha yang perlu dan patut.
4 – ‘Insya Allah’ jangan dibuat main!
Kalimah ‘insya Allah’ bukan sebarang ungkapan yang boleh dibuat main. Apabila mengucapkan ‘insya Allah’, haruslah dengan penuh sedar, tekad yang ikhlas dan ada kesungguhan yang padu melaksanakan segala janji. Jangan jadikan ‘insya Allah’ sekadar ungkapan di mulut tetapi tiada makna langsung. Boleh jadi hukum haram, andainya kita ungkapkan ‘insya Allah’ tetapi dalam hati memang tidak mahu melunaskan janji atau hati memang tahu tidak dapat menunaikannya. Jika ‘insya Allah’ diungkapkan dengan hati tidak ikhlas, itu juga boleh jadi suatu bentuk penipuan.
5 – Janji tapi tiada niat hendak tunaikan a.k.a. munafik
Berdusta dan ingkar janji adalah antara sifat orang munafik. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tiga perkara yang berada di dalam dirinya, maka dia munafik, walaupun dia berpuasa, sembahyang dan mengaku dirinya Muslim. Apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia mungkir janjinya dan apabila dipercayai dia khianat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
6 – Janji tapi terlupa, maka tidak mengapa
Rasulullah SAW menjelaskan dalam sabda yang bermaksud, “Apabila seseorang berjanji dengan saudaranya dan dia berniat akan menepati janji itu, tetapi dia tidak memperoleh jalan untuk menepatinya, maka tidaklah dia berdosa.” (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)
Apabila janji diucap, usaha dibuat untuk menunaikan janji, tetapi kemudian ada halangan lain yang datang sehingga akhirnya janji tidak dapat ditunaikan. Janji yang gagal ditepati atau perancangan yang tidak menjadi walaupun sudah habis berusaha, dianggap menepati maksud ‘insya Allah’ – kerana Allah tidak mengizinkannya berlaku.
7 – Selalu menyerahkan segala urusan dan perancangan pada ketentuan Allah
Sebagai manusia, kita selalu membuat perancangan dan beriya-iya berusaha agar perancangan itu menjadi kenyataan. Apabila perancangan tidak berjalan seperti dirancang, kita kecewa teramat, kita menyalahkan orang lain, malah kadang kala sukar menerima hakikat kegagalan. Inilah yang berlau apabila kita tidak menyerahkan segala urusan kita kepada Allah. Kita selalu menyangka kejayaan kita semata-mata kerana usaha kita sahaja. Tetapi kita terlupa kadang kala Allah menguji kita dengan sedikit kegagalan kerana Dia ingin menguji kekuatan kita.
Kisah Nabi Sulaiman dengan kalimah ‘insya-Allah’
Suatu hari nabi Sulaiman yang memiliki 60 orang isteri berkata kepada dirinya, “Aku akan meniduri isteri-isteriku yang seramai 60 orang ini secara bergilir-gilir dalam satu malam. Sudah tentu, semua isteriku ini akan mengandung dan melahirkan anak-anak lelaki dalam masa yang sama. Dengan demikian dapatlah aku membentuk satu pasukan berkuda yang terdiri daripada anak-anak lelakiku ini untuk berjuang dan berperang di jalan Allah.”
Maka nabi Sulaiman pun meniduri isteri-isterinya secara bergilir dalam satu malam sahaja. Malangnya daripada 60 orang isterinya itu, hanya seorang yang mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki.
Kisah Nabi Sulaiman a.s. ini diceritakan oleh Rasulullah SAW kepada sahabat dalam suatu majlis ilmu. Kisah ini diriwayatkan dari sebuah hadis oleh Imam Bukhari. Rasulullah selanjutnya bersabda, “Seandainya Nabi Sulaiman menyertakan azam atau hasratnya itu dengan kata-kata ‘insya Allah’ (jika Allah menghendaki), sudah tentu semua 60 orang isterinya itu akan mengandung dan melahirkan anak lelaki, yang boleh dijadikan pasukan berkuda untuk berjuang di jalan Allah sebagaimana yang diharapkannya.”
Wallahu a’lam.