Thursday 17 May 2012

IRENE TIDAK KESAL...TERUS BURUKKAN NEGARA.!!!



KUALA LUMPUR - Walaupun dikecam pelbagai pihak kerana tindakannya memburukkan negara sendiri dalam media Indonesia pada minggu lalu, namun Pengarah Eksekutif Tenaganita, Irene Fernandez langsung tidak berasa kesal apabila sekali lagi menjaja cerita sama kepada media.

Kali ini, Irene membuat tuduhan pula kononnya rakyat Bangladesh di negara ini, turut mengalami nasib sama seperti pekerja migran dari Indonesia semasa temu bual dengan wartawan dari portal berita The Malaysian Insider.

Kenyataan beliau yang disiarkan dalam portal berita tersebut segera menarik perhatian media asing apabila ia dipetik dan disiarkan semula dalam portal berita The Daily Star/AsiaNewsNetwork(ANN) di Dhaka, Bangladesh pada Ahad lalu.

Berita bertajuk Malaysian cops prey on migrant workers itu boleh dibaca oleh pengguna Internet di seluruh dunia kerana ia turut dimuat naik dalam Yahoo!News Malaysia.

Dalam kenyataan terbaru itu, Irene mendakwa pekerja asing di Malaysia selalu dicabuli oleh penguat kuasa undang-undang dan dipaksa membayar rasuah.

Beliau turut menyatakan enam contoh rasuah membabitkan rakyat asing yang dijemput masuk bekerja ke negara ini.
Menurut The Daily Star/ANN, kenyataan Irene mengenai rakyat Bangladesh itu telah mendapat perhatian kerajaan negara berkenaan kerana warga Bangladesh dikatakan membayar sekitar 5 lakh (RM32,000) untuk bekerja di Malaysia.

Dalam temu bual selama 90 minit itu, Irene berkata, Malaysia tidak mempunyai rangka kerja berdasarkan undang- undang atau tiada undang-undang untuk melindungi pekerja asing.

Tambah beliau, kerajaan juga menyokong diskriminasi terhadap pembantu rumah dan pekerja ladang apabila tidak memasukkan golongan itu dalam peraturan gaji minimum yang baru dikeluarkan.

"Kebanyakan pekerja asing tidak mempunyai dokumen dan berdepan dengan masalah kerana majikan atau pihak yang membiayai kemasukan mereka bertindak menyimpan pasport pekerja berkenaan," katanya.

Jika semasa temu bual dengan akhbar The Jakarta Post yang disiarkan pada 7 Mei lalu, Irene mendakwa majikan di Malaysia melanggar undang-undang dengan memberi rasuah kepada polis dan mahkamah, kali ini beliau mengecam pula anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dengan menuduh mereka sering mengugut pekerja asing.

"Pekerja asing selalu didatangi oleh agensi penguat kuasa seperti Rela yang bertanya tentang dokumen mereka. Apabila pekerja asing meminta melihat kad kuasa anggota Rela berkenaan, mereka akan ditampar dan dipukul selain wang mereka pula dirampas.

"Kami tidak dapat mengesan pegawai terlibat melakukan kesalahan ini kerana mereka enggan mendedahkan identiti. Sebab itu, kami tidak dapat membawa isu rasuah ini ke peringkat tertinggi di samping kegagalan polis melindungi pekerja asing walaupun mereka sudah mengadu tentang kesulitan dihadapi," dakwanya.

Menurut Irene lagi, satu sistem yang teratur perlu diwujudkan untuk memperbaiki situasi dan memastikan agensi penguat kuasa bersikap lebih bermaruah.

Beliau yang berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat menyiasat isu tersebut juga bertegas enggan memohon maaf terhadap kenyataan yang dibuat, sebaliknya mendesak kerajaan dan pihak yang mengkritiknya supaya meminta maaf kepadanya.

Pada 7 Mei lalu, Irene mengeluarkan kenyataan kepada media di Indonesia bahawa Malaysia bukanlah negara terbaik untuk rakyat Indonesia mencari rezeki dan kenyataannya mendapat kritikan pelbagai pihak di negara ini sehingga ada NGO tampil membuat laporan polis meminta beliau disiasat dan memohon maaf.

BILA MAHFUZ OMAR BICARA TENTANG AKADEMI UNDANG-UNDANG....

mahfuz



Beberapa pemimpin PAS semalam mengutuk cadangan kerajaan yang bercadang untuk menghidupkan kembali “Malaysian Academy of Law Bill” atau Akademi Undang-Undang yang pernah cuba ditubuhkan pada tahun 2002 sebagai pertubuhan alternatif menggantikan Majlis Peguam.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz baru-baru ini menyuarakan cadangan itu ekoran pendirian Majlis Peguam kini yang lebih mirip kepada parti politik berbanding sebuah pertubuhan yang bebas dari pengaruh politik.

Antara yang mengecam cadangan ini ialah dua “pakar think tank” PAS, Dzulkefly Ahmad dan Mahfuz Omar. Sebagaimana maklum, kedua-dua “pakar” ini begitu hebat mengeluarkan kenyataan-kenyataan bodoh dan menggelihatikan rakyat dengan kebebalan mereka.

Dzulkefly menyifatkan penubuhan akademi undang-undang itu sebagai tindakan yang tidak demokrasi, manakala Mahfuz Omar yang lebih dikenali sebagai “Mr. Bean” itu pula berpendapat bahawa cadangan tersebut disebabkan Majlis Peguam tidak memihak kepada kerajaan BN.

Persoalannya, benarkah penubuhan akademi itu melambangkan satu tindakan yang tidak demokrasi?

Sebenarnya, sebagai bekas pelajar jurusan undang-undang, saya berpendapat penubuhan akademi itu sebagai satu usaha yang menyemarakkan semangat demokrasi dan bukannya mematikan amalam demokrasi di kalangan para peguam.

Sekiranya hanya ada satu sahaja pertubuhan yang mewakili suara para peguam di negara ini, maka para peguam tidak punya pilihan lain selain dari menyertai Majlis Peguam. Dan apakah tindakan memonopoli keahlian pengamal profesional tanpa pilihan alternatif itu dianggap sebagai demokrasi?

Sebenarnya, sebelum para mahasiswa jurusan undang-undang menamatkan pengajian lagi, mereka sudah merungut tentang Majlis Peguam, termasuk saya. Bagi kami, sekiranya tidak mendaftar di dalam Majlis Peguam, maka berkemungkinan besar kami agak payah untuk mendapat tempat di dalam bidang perundangan di negara ini.

Apakah itu satu bentuk amalan demokrasi apabila terpaksa menyertai satu pertubuhan dalam keadaan terpaksa?

Justeru, ramai dikalangan kami yang terpaksa mendaftar diri dan sama sekali tidak aktif di dalam pertubuhan itu. Keahliannya hanya sekadar ada sahaja. Malah saya sendiri enggan tunduk mendaftar di bawah Majlis Peguam selepas Allayarham Raja Aziz Addruse tidak menjadi Presidennya.

Mengapa? Ini adalah kerana saya melihat Zainur Zakaria yang ketika itu mengambil alih kerusi Presiden Majlis Peguam sebagai “bayangan Anwar” yang cuba menerapkan unsur politik berpihak dan tidak lagi  berperanan sebagai sebuah pertubuhan yang bebas dan neutral.

Jadi, dengan cadangan menubuhkan Akademi Undang-Undang, saya kira ia adalah satu langkah positif dan bakal menjadi saingan alternatif sihat untuk “mengajar” Majlis Peguam tentang erti sebuah pertubuhan undang-undang yang perlu mengekalkan identiti tidak berpihak!

Mengenai padangan Mahfuz Omar, apalah sangat yang dia faham mengenai prinsip undang-undang? Apakah tahap Iqnya mampu menangkap apa yang dicadangkan mengenai pertubuhan undang-undang yang berintergriti?

Bukanlah mahu menghina Mahfuz, tapi rasanya dia tidak layak bersuara mengenai Akademi Undang-Undang. SPM pun dia “tak lepas”, tapi berlagak lebih bagaikan dia memiliki LLB. Elok minta dia ambil periksa SPM sekali lagi, manalah tahu kalau nasibnya baik dan lulus kali ini…

Justeru itu, sebagai bekas ahli yang aktif di dalam “The Hammer Of Justice” dahulu, saya menyambut baik cadangan kerajaan yang mahu menghidupkan kembali Akademi Undang-Undang itu. Sama ada ia akan berjaya atau tidak, ia bergantung kepada kesungguhan para peguam untuk membersihkan identiti mereka yang dibusukkan oleh Majlis Peguam sebelum ini.

Kalau mahu terus dilihat sebagai “peguam-peguam yang busuk”, para peguam boleh kekal bersama Majlis Peguam. Dan jika rasa mahu mengharumkan kembali nama dan peranan seorang peguam yang sebenar, maka sokonglah Akademi Undang-Undang. Itu adalah satu langkah pertama yang positif dan tak rugi mencubanya..

SUMBER :  MyKMU

SIAPA SEBENARNYA 'KUASAI MEDIA' DAN MENYEKAT 'KEBEBASAN BERSUARA'???


SLOGAN demokrasi, kebebasan media, kebebasan bersuara, ketelusan, tadbir urus yang baik (good governance) dan macam-macam lagi adalah antara slogan yang sering dilaungkan oleh parti politik.


Tidak ketinggalan pakatan 3P - DAP, Pas dan PKR. Memang menarik kata-kata itu tetapi sejauh mana keupayaan untuk melaksanakannya?


Berjanji dan bercakap sebelum berkuasa memang mudah kerana modalnya hanyalah air liur tetapi untuk mengotakannya setelah berkuasa bukanlah senang. Jika janji dikota pun mungkin melibatkan kroni atau suku sakatnya. Kata orang sekadar ada, bagi ‘menutup mulut’ pengkritik dan jika tidak mampu dilaksanakan, mereka akan menuding jari mencari silap orang lain. Akhirnya janji yang ditabur hanyalah janji palsu dan terjadi cakap tak serupa bikin atau bikin tak serupa cakap.


KEBEBASAN MEDIA


Adakah pakatan 3P benar-benar mengamalkan kebebasan maklumat melalui media? Selepas memerintah Pulau Pinang, Perak dan Selangor, kebebasan media hanya menjadi slogan. Di Selangor, Utusan Malaysia diharamkan penjualannya di semua pejabat kerajaan negeri termasuk pihak berkuasa tempatan. Baca boleh tetapi bukan untuk dijual. Malahan agensi di bawah kerajaan negeri juga khabarnya diharamkan untuk membeli iklan. Keadaan yang sama juga berlaku di Perak ketika pemerintahan 3P. Di Pulau Pinang, wartawan yang tidak ‘sehaluan’ dengan kerajaan negeri akan ‘digam’, tidak dibenarkan membuat liputan di Komtar, bangunan yang menempatkan ‘Kabinet’ kerajaan negeri DAP. Wartawan media cetak dan elektronik sudah mengalami pengalaman ‘dipulau’ oleh kerajaan negeri. Wartawan Utusan Malaysia bukan saja tidak dijemput meliputi sebarang majlis yang melibatkan Ketua Menteri tetapi juga dilarang membuat liputan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sedangkan rakyat berhak tahu apa yang berlaku di dewan kerana di situ ada wakil rakyat yang mewakili parti politik yang menyokong kerajaan negeri dan sebaliknya. Malahan baru-baru ini juga, Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri di- dakwa cuba mempengaruhi sekolah Cina di negeri itu supaya tidak melanggan Utusan Malaysia dan Berita Harian. Inikah kebebasan media yang dilaungkan oleh Parti Tindakan Demokratik itu? Entah apa nasib media cetak yang tidak sehaluan dengan DAP jika mereka menduduki Putrajaya. Baru berkuasa di sebuah negeri, mereka sudah mengawal ‘pergerakan’ media tertentu. Secara tidak langsung, kerajaan DAP sudah ‘menguasai media’. Mereka boleh menentukan siapa yang boleh buat liputan dan siapa yang tidak. Di Pulau Pinang, Guan Eng sudah pun merealisasikan hasrat bapanya, Lim Kit Siang pada satu masa dulu untuk menjadi ‘ketua menteri yang berkuasa’.


Berbalik kepada Selangor, walaupun Utusan Malaysia diharamkan penjualan di premis kerajaan negeri, baru-baru ini terbongkar kegiatan pihak tertentu memasukkan akhbar Selangor Kini terbitan kerajaan PKR dan Harakah terbitan Pas ke dalam akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia. Siapakah yang bertanggungjawab? Apakah motif di sebalik kerja kotor ini? Walaupun tidak melibatkan keseluruhan akhbar itu tetapi sedikit sebanyak ia cuba mempengaruhi pembaca Utusan Malaysia.


KEBEBASAN BERSUARA


Lihatlah apa yang berlaku kepada Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Hasan Ali yang ketika itu menyandang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor dan Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang ketika itu menyandang jawatan Ahli Dewan Negara. Mereka menjadi mangsa kerana menentang dua perhimpunan yang tidak sepatutnya diadakan. Dr. Hasan dipecat kerana beliau bersuara supaya rakyat tidak diheret menyertai perhimpunan haram Kempen Bebaskan Anwar 901 pada 9 Januari 2012 semata-mata bagi mempertahankan isu peribadi Anwar Ibrahim. Beliau yang tidak rela anak-anak muda diheret sama dalam perhimpunan itu membidas Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Abdul Rani Osman yang menggesa ahli parti itu untuk menyertai perhimpunan tersebut. Akibat kenyataannya itu, Dr. Hasan dipecat tanpa dipanggil membela diri. Pemecatan serta merta itu menyebabkan beliau digugurkan sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor.
Begitu juga nasib yang menimpa Tunku Abdul Aziz. Naib Pengerusi DAP ini bersuara menyatakan pandangannya yang tulus ikhlas sebagai rakyat Malaysia. Beliau menolak demonstrasi Bersih 3.0 diadakan di Dataran Merdeka kerana DBKL tidak membenarkannya.


Pada masa yang sama, pengalamannya juga menunjukkan dalam kebanyakan kes, demonstrasi aman akan bertukar menjadi ganas. Baginya jika polis menasihatkan untuk menukar laluan dan tempat berhimpun, itu adalah apa yang patut dilakukan kerana polis adalah pihak berkuasa keselamatan. Jangan langgar undang-undang. Kesimpulannya Abdul Aziz mahu semua pihak mendukung salah satu prinsip Rukun Negara iaitu Kedaulatan Undang-Undang.


Tetapi pandangannya tidak selari dengan kehendak pemimpin utama DAP terutama Guan Eng dan bapanya Kit Siang yang mahu rakyat menyertai demonstrasi Bersih 3.0 itu walaupun undang-undang melarangnya.


Akhirnya sebagai pembalasan, DAP tidak melanjutkan tempoh Senator beliau yang akan berakhir pada 31 Mei. Begitulah laungan kebebasan bersuara dalam parti demokratik itu yang sebenarnya terpaksa mengikut ‘syarat’ yang ditetapkan. Ia amat terbatas. Anda boleh bersuara tetapi jangan menyongsang pendirian parti.


Bagi Dr. Hasan dan Abdul Aziz, mereka sepatutnya berdiam diri dan membiarkan ‘kemungkaran’ berlaku. Mereka perlu diam walaupun tahu perhimpunan seperti itu mengganggu privasi banyak pihak - orang awam tempatan, pelancong, pemandu teksi, peniaga dan sebagainya.


Nampaknya, hadis ‘katakanlah kebenaran itu walaupun ia pahit’ tidak boleh dipakai oleh pemimpin Pas, apatah lagi DAP walaupun corak pemerintahannya mahu mengikut seorang khalifah. Mungkin rakan-rakan Exco Melayu Islam dalam kerajaan negeri Pulau Pinang perlu menerangkan kepada Guan Eng mengenai maksud hadis ini.


Apakah perasaan DAP jika orang lain melanggar undang-undang? Apakah undang-undang ini tidak boleh dipakai?


Nasib baik Abdul Hadi Awang adalah Presiden Pas. Jika tidak, beliau juga akan mengalami nasib seperti Hasan Ali dan Abdul Aziz kerana bercakap tidak senada atau selari dengan pendirian pakatan 3P. Mujurlah Karpal Singh (Pengerusi DAP) hanya meminta Abdul Hadi ‘diam’, bukannya meminta disingkirkan.


Oleh : Hassan Mohd Noor

ANTARA 2 DARJAT : 2 'ABDUL AZIZ', PAS DAN DAP

                 


 KELMARIN, dua pemimpin pembangkang membuat dua kenyataan yang berbeza. Kedua-duanya melibatkan individu bernama 'Abdul Aziz'.


Kenyataan pertama dibuat oleh Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang membuat keputusan meninggalkan parti itu selepas dikecam hebat oleh kepimpinan DAP yang salah seorang pemimpinnya ingin mencontohi kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz.


Segalanya bermula apabila Tunku Abdul Aziz enggan menyokong perhimpunan haram Bersih yang dianggap melanggar undang-undang negara serta hanya mencetuskan huru-hara. Akibat ketegasannya Tunku Abdul Aziz tidak disambung tempoh perkhidmatan sebagai Senator oleh DAP.


Ketika Tunku Abdul Aziz tegas dengan pendiriannya dan sanggup kehilangan kedudukan demi menegakkan kebenaran, kita juga dihidangkan dengan kenyataan keras oleh seorang lagi bernama Abdul Aziz iaitu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Menteri Besar Kelantan itu ternyata tidak berpuas hati dengan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria bahawa Pas sudah menyeleweng dan menyalahgunakan agama Islam. Justeru Nik Abdul Aziz menyifatkan ia satu pandangan lapuk seorang mufti.


Sebelum ini, dalam isu Bersih, Nik Abdul Aziz ternyata meletakkan kepentingan politik bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mengatasi segala-galanya apabila Mursyidul Am Pas itu menyifatkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia hanya menggunakan sebelah mata apabila mengaitkan perhimpunan Bersih 3.0 dengan huru-hara dan umat Islam haram menyertainya.


Malahan dalam kenyataan melalui Facebook, Nik Abdul Aziz secara sinis berkata, mata yang digunakan oleh jawatankuasa fatwa itu pula adalah kabur dengan cermin mata yang telah rosak.


Menurut Nik Abdul Aziz, beliau bersetuju perhimpunan yang bertujuan mencetuskan huru-hara dan merosakkan harta benda adalah haram, tetapi bukan Bersih 3.0. Beliau turut menyifatkan jawatankuasa itu membuat keputusan hanya berdasarkan laporan akhbar prokerajaan, tanpa mendapat penjelasan daripada penganjur Bersih 3.0.


Namun cuba kita kaji apa kata Tunku Abdul Aziz mengenai Bersih pada 26 April lalu sehingga memungkinkan beliau tidak disenangi oleh kepimpinan DAP. Menurut Tunku Abdul Aziz, beliau membantah perhimpunan itu kerana berdasarkan pengalaman serta pemerhatian terhadap penganjuran beberapa perhimpunan jalanan di luar negara yang kononnya aman tetapi berakhir dengan keganasan.


''Walaupun saya daripada pembangkang, bukan semua pembangkang sokong Bersih. Saya tak akan sokong Bersih. Saya dah biasa tengok, bukan sahaja di negara kita tetapi saya biasa bekerja duduk di banyak negara. Semua demonstrasi kononnya mula dengan secara orang kata aman tetapi kebanyakan di mana-mana pun kita tengok terjadi sebaliknya," kata beliau ketika itu.


Mungkin Tunku Abdul Aziz membuat bantahan tersebut kerana melihat apa yang berlaku dalam perhimpunan Bersih 2.0 tahun lalu yang kesudahannya berakhir dengan kekecohan. Dan pada tahun ini penganjur sengaja mencari fasal apabila tetap ingin mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka biar pun ia sudah ada perintah mahkamah melarang mereka berbuat demikian.


Ternyata telahan Tunku Abdul Aziz menjadi kenyataan apabila perhimpunan Bersih 3.0 turut berakhir dengan kekecohan dan lebih teruk lagi ada keberanian luar biasa di kalangan penunjuk perasaan untuk merempuh sekatan polis.


Tetapi Pas termasuk Nik Abdul Aziz sengaja tidak mahu mengakui fakta ini, sebaliknya parti berkenaan bersekongkol dengan Majlis Peguam menyalahkan pihak berkuasa. Lidah rasmi Pas menunjukkan gambar kononnya polis bertindak ganas tetapi mereka tidak pula memaparkan bagaimana Unit Amal parti itu merempuh sekatan polis yang dikatakan menjadi salah satu penyebab utama perhimpunan tempoh hari menjadi ganas.


Tindakan Tunku Abdul Aziz meletakkan jawatan, sekali lagi memberi pengajaran kepada pemimpin-pemimpin Pas supaya sentiasa berpegang kepada prinsip dan konsisten dalam apa juga yang dilakukan.


Tunku Abdul Aziz boleh sahaja menyokong Bersih kalau beliau mahu tempoh senatornya disambung tetapi beliau tidak berbuat demikian kerana ini menyentuh soal prinsip. Tunku Abdul Aziz tidak mahu menjadi seperti pemimpin-pemimpin Pas yang sanggup menolak kebenaran semata-mata kerana perjuangan politik.


Mungkin hujah ini tidak disenangi oleh Pas dan Nik Abdul Aziz tetapi inilah kenyataannya. Walaupun banyak pihak sudah melihat bahawa perhimpunan Bersih tidak akan mendatangkan sebarang faedah apatah lagi dengan sikap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa bersedia berunding bagi menyelesaikan masalah namun ia tidak dipedulikan oleh Pas dan sekutunya.


Oleh itu, mereka mahu mana-mana juga pihak termasuklah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan menyokong perhimpunan berkenaan, kalau membuat kenyataan berbeza dengan apa yang mereka perjuangkan maka pihak-pihak berkenaan akan dituduh pak turut kerajaan.


Sebab itulah, apabila Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan membuat keputusan mengatakan perhimpunan Bersih haram, maka melompatlah kepimpinan Pas. Pelbagai dalil dan hujah dikeluarkan oleh mereka bagi mempertahankan Bersih dan ada antaranya memperlekehkan keputusan majlis tersebut.


Sebagai contoh, seorang pelajar Malaysia di Jordan dalam satu tulisan yang disiarkan oleh blog-blog memperlekehkan keputusan Jawatankuasa Fatwa dan meminta anggota majlis tersebut bersikap terbuka biar pun menerima gaji daripada kerajaan BN.


Inilah sikap pemimpin dan penyokong Pas, kalau sesuatu keputusan itu tidak menyebelahi politik mereka, maka ia ditolak bulat-bulat biar pun ia dibuat berlandaskan al-Quran dan hadis.


Jika situasi ini diambil kira, jelaslah Tunku Abdul Aziz jauh lebih matang berpolitik berbanding kepimpinan Pas termasuk Nik Abdul Aziz. Ia memandangkan Tunku Abdul Aziz bersedia menerima risiko bagi menyatakan kebenaran tetapi Pas sentiasa sahaja berdolak-dalik dan membuat sesuatu keputusan berdasarkan perhitungan politik semata-mata.


Justeru tidak hairanlah apabila kepimpinan Pas bercakap soal hudud, tidak ada sebarang perasaan takut di kalangan pemimpin-pemimpin DAP atau PKR untuk membantah perkara tersebut. Ini kerana mereka memahami kepimpinan Pas terlalu taksub berpolitik dan tetap akan bersama dengan pakatan pembangkang biar pun apa juga berlaku.


Begitulah juga dalam isu Bersih, ketegasan Tunku Abdul Aziz dan keputusan Jawatankuasa Fatwa sudah pasti tidak akan mengugat Pas untuk terus menyokong perhimpunan haram berkenaan biar pun ia telah membawa kesan yang amat buruk kepada negara.


Pemikiran kepimpinan Pas sudah terkepung dengan politik untuk menjatuhkan kepimpinan BN melalui sasaran memenangi pilihan raya umum akan datang bersama-sama dengan PKR dan DAP.


Apa pun Tunku Abdul Aziz boleh dianggap memberi pengajaran kepada kepimpinan Pas termasuk Nik Abdul Aziz supaya konsisten dalam memperjuangkan sesuatu dan perlu menjadikan apa yang berlaku kepada beliau sebagai isyarat mengenai wajah sebenar politik DAP.


Oleh :  Zulkiflee Bakar

ANWAR PERNAH RAYU UNTUK SERTAI UMNO SEMULA...


PENDEDAHAN Senator Ezam Mohd. Noor bahawa Anwar Ibrahim pernah merayu kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi agar membawanya masuk ke dalam UMNO semula, menarik untuk diteliti tentang siapa Anwar sebenarnya dalam perjudian politiknya ingin menjadi Perdana Menteri.


Ezam berani mendedahkan hal ini kerana dia hadir dalam pertemuan antara Wan Azizah dan anak-anak dengan Tun Abdullah. Sekiranya ia tidak benar Wan Azizah boleh menafikan dan Tun Abdullah tahu apa yang berlaku.


Hairannya mengapa Anwar masih lagi ingin menyertai UMNO sedangkan dalam kenyataan reformasinya - UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kerajaan adalah zalim memecat dirinya sebagai Timbalan Perdana Menteri.


Dalam menyatakan UMNO zalim tentu ada muslihat hasrat itu dibuat. Analisis yang ada ialah Anwar tahu bahawa menerusi UMNO peluangnya untuk naik ada. Mujur Tun Mahathir menyedari bahawa dari sudut integriti, Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri.


Walaupun di peringkat awal pemecatan sehingga Anwar ke penjara, ramai orang turut simpati dengannya. Hari ini masyarakat semakin tahu mengenai masalah moral Anwar yang tersangat banyak dan Anwar tidak mampu menafikan mahupun menyaman supaya dirinya ‘Bersih’ dan integritinya terpelihara.


Menariknya pendedahan Ezam itu adalah mengapa Anwar masih mahu memilih UMNO sebagai platform perjuangan politiknya sedangkan pendekatan yang diambil sehingga kini terus menerus menghina UMNO, seolah-olah apa yang berlaku terhadap dirinya adalah konspirasi UMNO untuk menyekat Anwar sampai ke Putrajaya.


Maka Anwar mula mengubah strategi. Berkawan dengan Pas dan bersahabat dengan DAP dalam pakatan pembangkang untuk sampai ke Putera Jaya. Kalau benar Anwar seorang pejuang Islam seperti yang ditunjukkannya dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dulu, logiknya Anwar elok masuk Pas. Tetapi mengapa Anwar enggan masuk Pas. Tentu ada muslihatnya.


Pas pula diajak oleh Anwar bersama dengan DAP membentuk pakatan pembangkang sedangkan DAP mendukung faham sosialis demokratik. Saya masih ingat Nik Aziz pernah menolak Dr. Syed Husin Ali menjadi calon di Kota Bahru atas alasan berfahaman sosialis.


Pas dan Anwar tahu bahawa DAP tidak boleh menerima hukuman hudud Pas. Kata Karpal Singh “langkah mayat saya dulu". Dasar Pas dan DAP ialah antara bumi dan langit bandingannya. Tetapi mengapa sanggup mengetepikan perjuangan Negara Islam dan menukarnya kepada Negara Berkebajikan. Mengapa sanggup menolak prinsip al-Quran dan kini berkiblat kepada Buku Jingga.


Ia juga adalah muslihat Anwar untuk sampai ke Putrajaya. Diwujudkan dedalu untuk meresapi pemikiran ulama sehingga imej Pas hari ini bertukar menjadi Parti Berkebajikan Malaysia.


Sebab itu ceramah Dr. Hasan Ali di Kelantan iaitu di Pasir Mas dan Pasir Puteh baru-baru ini dihadiri oleh ribuan manusia. Itu memberi petanda ada perkembangan menarik dalam politik Kelantan.


Abdul Hadi Awang terus berbalah dengan Karpal Singh mengenai hukuman Hudud. Harun Taib sebagai Ketua Ulama memberi respons yang tegas. Naib Ketua Pemuda Pas juga membuat kenyataan yang sama. Ini belum memerintah dan mendapat kuasa. Bagaimana mungkin sebuah kerajaan boleh terbentuk sekiranya isu-isu dasar tidak selesai.


Lebih mengejutkan beberapa hari yang lalu Abdul Hadi membuat kenyataan bahawa Pas sedia bermuzakarah dengan mana-mana pihak termasuk UMNO walau pun ada celahan daripada Mahfuz Omar mengecualikan UMNO.


Mengapa tiba-tiba kenyataan ini dibuat. Apakah kerana UMNO sedang menerima dukungan rakyat dan Pas rasa terdesak dengannya. Apakah kenyataan Abdul Hadi disetujui oleh Nik Aziz yang selama ini dilihat sebagai penghalang kepada perpaduan ummah.


Apakah ia juga disetujui oleh Anwar yang terlalu dendam akan UMNO. Dengan krisis integriti yang dihadapi oleh Anwar, Azmin dan Wan Azizah, PKR tidak berada dalam imej yang baik. Bila isu hudud menjadi polemik, hubungan Pas-DAP akan terus tegang.


Hal ini yang meresahkan Anwar dan Nik Aziz yang memang diketahui memiliki rasa dendam dan benci terhadap UMNO rakan seagama dan sebangsa dengannya dan tiba-tiba ingin bermuzakarah dengan UMNO pula. Pelik bin ajaib.

KECEWA DENGAN BAM...JURULATIH KOREA LETAK JAWATAN!



Yong Sung meletak jawatan sebagai jurulatih kerana kecewa dengan sikap Persatuan Badminton Malaysia.
KUALA LUMPUR: Selepas pengunduran ketua jurulatih beregu wanita negara, Rexy Mainaky, bulan lepas, kini giliran jurulatih beregu lelaki dari Korea Selatan, Yoo Yong Sung pula berbuat demikian atas alasan kecewa dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Yong Sung berkata beliau telah menghantar surat peletakan jawatannya kepada BAM awal bulan ini semasa berlangsungnya Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Emas Terbuka Malaysia 2012 di Johor Baharu.
“Saya tidak mempunyai hak dalam persatuan dan saya amat kecewa dengan itu. Apabila saya datang ke Malaysia, BAM telah mengadakan banyak mesyuarat…mereka ada pelan A tetapi kemudian mereka mahu saya buat pelan B,” katanya.
Yong Sung berkata apabila baru tiba di sini, beliau sungguh bersemangat mengenai prospek melatih pemain tetapi mendakwa beliau tidak diberi sebarang peluang untuk melatih mana-mana pemain tertentu.
“Jadi, saya mengambil keputusan untuk meletak jawatan,” katanya kepada pemberita melalui seorang jurubahasa di sini hari ini.
Mengikut perjanjian pelantikannya pada November 2011, Yong Sung akan bekerjasama dengan jurulatih Pang Cheh Chang bagi menyediakan beregu utama negara, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong ke Sukan Olimpik 2012 di London.
“Semuanya lancar dengan kejurulatihan dan persatuan pada enam bulan pertama dengan BAM. Selepas itu saya tidak beri pemain untuk melatih.
“Setiap hari saya hanya diberi masa 10 hingga 20 minit untuk melatih kira-kira 10 pemain sebagai teman berlatih,” katanya sambil mendakwa ketua jurulatih Koo/Tan tidak membenarkannya membimbing beregu utama negara tersebut.
Yong Sung berkata keputusan meletak jawatannya tidak kena mengena dengan soal gaji.
“Saya hanya ingin berkongsi kepakaran dan pengalaman saya dengan pemain tetapi saya tidak diberi peluang berbuat demikian,” katanya.
Beliau berharap BAM tidak menamatkan visanya hujung bulan ini kerana perlu menyelesaikan beberapa perkara sebelum pulang ke Korea Selatan. Yong Sung pada asalnya telah mengikat kontrak dua tahun bersama BAM termasuk menjalani tempoh percubaan enam bulan.
Beliau merupakan bekas pemain beregu Korea Selatan pada 1990-an hingga 2005.
Beliau dan pasangannya Lee Dong-soo meraih pingat perak pada Sukan Olimpik 2004 di Athens serta dua emas pada Sukan Asia 2002 di Busan, Korea Selatan.

KEMERIAHAN SAMBUTAN HARI GURU DI SEKOLAH KU.....


Gurubesar sedang memberikan ucapan


UCAPAN YDP PIBG....


ASSALAMUALAIKUM WBT….

Alhamdullillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat berhimpun pada hari ini untuk menyambut Hari Guru sebagai tanda pengiktirafan kita yang tidak terhingga terhadap jasa dan sumbangan para guru sekalian.

Saya ingin mengambil kesempatan pada hari yang amat bermakna ini untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru, samada yang masih berkhidmat sekolah ini ataupun yang telah bersara atau berpindah dari sekolah ini. Saya bagi pihak PIBG ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan di atas segala pengorbanan dan sumbangan besar guru-guru dalam meneruskan perjuangan mendidik anak bangsa kampung ini demi untuk masa depan yang lebih cemerlang.

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagi Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

Sesungguhnya kecemerlangan hidup seseorang di dunia ini tidak dapat lari dari sumbangan dan pengorbanan orang lain sama ada ibu bapa, ahli keluarga, kaum kerabat, rakan-rakan, guru-guru dan sebagainya. Sumbangan dan pengorbanan tersebut sudah tentu tidak mampu dibalas, lebih-lebih lagi sumbangan para guru yang membimbing kita ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat.
.
Tarikh 16 Mei pada setiap tahun merupakan hari yang amat bermakna bagi setiap warga guru pasti diingati, dihargai dan diraikan dengan sewajarnya. Tidak kiralah siapa pun yang pernah mengajar kita, banyak atau sedikit ilmu yang dicurahkan, tidak kira apa bangsa atau agamanya, mereka tetap guru kita. Merekalah yang mengajar kita membaca, menulis dan mengira supaya kita ini menjadi insan yang berilmu dan berguna. Oleh yang demikian, adalah wajar untuk kita mengiktiraf sumbangan dan jasa guru terhadap pembangunan masyarakat dan negara.Berdasarkan kepada sumbangan para guru maka tema sambutan Hari Guru pada tahun ini ialah Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara”.
.
Guru Inovatif adalah guru yang mampu membuat transformasi (perubahan) atau mencipta sesuatu yang baru samada dalam bentuk sumber atau kaedah yang sesuai dengan perkembangan semasa ke arah penjanaan dan perkembangan minda yang lebih dinamik. Atas dasar itu, guru haruslah berperanan untuk menggarap elemen-elemen inovasi di dalam melonjak transformasi pendidikan negara, dengan idea dan kepakaran yang diterpakan sebagai proses pengajaran dan pembelajaran dapat mengaplikasi segala sumber ilmu melalui kaedah yang paling kreatif dan berinovasi.

Sebenarnya usaha melahirkan modal insan yang beriman dan bertakwa bukanlah suatu usaha yang mudah dan boleh di pandang remeh. Usaha tersebut memerlukan ilmu dan kemahiran yang tinggi. Justeru atas tuntutan tersebut, para guru telah banyak berkorban masa, tenaga dan wang ringgit tanpa mengenal erti penat lelah dan perasaan jemu  bagi memastikan anak-anak didiknya menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara pada masa hadapan. Selain daripada itu juga para guru berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menghapuskan kejahilan dan kecelaruan yang sering kali bermain dibenak fikiran anak-anak didiknya. Dengan berkat kesabaran, kesungguhan dan pengorbanan yang ditunjukkan maka akhirnya lahirlah mereka yang berjaya dan tersohor di tengah-tengah masyarakat.
.
Kita tidak dapat menafikan bahawa guru berperanan menjadi agen perubahan di dalam masyarakat. Para guru berganding dengan ulama’ dan umara’ terus menerus tanpa putus asa, menggerakkan usaha membangun modal insan terbilang. Ini termasuklah membangun minda anak-anak melalui ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah sehinggalah kepada ilmu-ilmu kehidupan, termasuklah ilmu sains dan teknologi. Guru bukan hanya sekadar mengajar, malah guru turut mendidik dan membentuk akhlak-akhlak terpuji. Manakala para pelajar yang ingin dilahirkan pula bukan sahaja hebat  inteleknya, malah beradab dan berintegriti. Itulah antara perkara yang ingin dicapai dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Guru-guru dan anak-anak sekalian,

Era globalisasi dan cabaran semasa menyebabkan dunia pendidikan anak-anak kita menjadi lebih terbuka. Penyalahgunaan teknologi maklumat dan komunikasi seperti penggunaan laman sosial yang tidak terkawal, serta pengaruh negatif media massa mempengaruhi tindakan para pelajar. Sering kita mendengar para pelajar yang bertindak di luar batas keagamaan dan sosial seperti merakam aksi ghairah, membuli rakan-rakan serta melakukan jenayah akibat terpengaruh dengan perkembangan yang bersifat negatif. Saya ingin menyatakan bahawa kita tidak boleh meletakkan peranan membentuk akhlak dan peribadi anak-anak kita hanya kepada guru-guru di sekolah sahaja. Ibu bapa serta ahli masyarakat sewajarnya memainkan peranan secara kolektif. Gunakanlah ruang permuafakatan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk menjana idea dan menyelesaikan masalah.  Selain daripada ibubapa, masyarakat juga mestilah memainkan peranan yang penting dalam usaha menyokong para guru untuk membentuk dan mendidik generasi muda hari ini.
.
Antara peranan yang boleh dimainkan oleh masyarakat ialah mewujudkan kembali budaya tegur menegur dan nasihat menasihati bagi meningkatkan penghayatan nilai murni serta mengurangkan amalan negatif dalam kalangan remaja. Bagi ibu bapa pula janganlah cepat melenting sekiranya anak kita ditegur oleh guru dan ahli masyarakat, sebaliknya ambillah ia sebagai satu teguran yang positif dan membina demi kebaikan bersama. 

Guru-guru dan anak-anak sekalian,

Walaupun telah banyak pencapaian yang dihasilkan dalam bidang pendidikan, masih banyak lagi yang perlu dilakukan oleh kita semua untuk memastikan supaya proses pemantapan kualiti pendidikan negara dapat berlaku secara berterusan dan adalah penting untuk dilaksanakan di setiap peringkat persekolahan.

Untuk menjadi murid yang cerdas, adalah mustahak anak-anak kita mempunyai tahap kesihatan dan kecergasan yang tinggi  maka  Dasar 1Murid 1Sukan telah diperkenalkan. Dasar Memartabat Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) juga telah dilaksanakan sebagai usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu dimulakan di sekolah lagi supaya anak-anak kita mempunyai rasa hormat yang tinggi kepada bahasa Kebangsaan yang merupakan bahasa ilmu dan bahasa perpaduan di negara kita. Namun begitu, kita juga sedar bahawa penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid adalah amat penting untuk membolehkan mereka berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Inggeris yang merupakan bahasa antarabangsa utama di dunia.

Malah banyak lagi sebenarnya dasar2 pendidikan yang telah dilakukan oleh kerajaan dan semuanya adalah demi untuk memartabatkan profession keguruan agar pencapaian yang cemerlang akan menjadi pencetus semangat kepada guru-guru untuk meneruskan usaha murni meningkatkan pencapaian di peringkat sekolah.

Selain itu, dalam usaha kita untuk menjayakan agenda pendidikan negara, peranan ibubapa tidak kurang pentingnya. Malah, ibubapa adalah insan yang paling penting dalam menentukan kecemerlangan pendidikan anak-anak. Justeru, saya juga ingin mengajak ibubapa supaya menjadikan sekolah sebagai milik masyarakat. Ibubapa boleh memberikan sumbangan secara langsung kepada sekolah melalui pelbagai kegiatan sukarela yang dapat membantu melonjakkan prestasi sekolah. Dalam hubungan ini, Persatuan Ibubapa dan Guru boleh memainkan peranan yang proaktif dalam menggalakkan ibubapa untuk menyumbang secara langsung kepada pembangunan sekolah, yang pastinya akan membantu anak-anak untuk meningkatkan pencapaian dalam pendidikan.

Saya yakin dengan adanya guru-guru yang berdedikasi, kepimpinan kesatuan guru yang proaktif dan ibubapa yang prihatin, InsyaAllah, kita akan dapat menjayakan proses transformasi pendidikan di negara kita dengan cemerlang. Atas segalanya, guru-guru yang berinovatif mampu melonjakkan transformasi pendidikan Negara. Dengan keringat gurulah kita melahirkan insan yang mulia; dengan kudrat gurulah kita membina masa depann yang sejahtera.

Dengan amanah besar ini, guru-guru menduduki satu darjat yang paling dimuliakan dalam masyarakat. Malah tidak keterlaluan jika saya katakan guru-guru adalah ibubapa kedua kepada anak-anak kita.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada guru-guru yang sentiasa sabar anak-anak murid untuk mempastikan kecemerlangan murid dan sekaligus sekolah . Semoga para guru sekalian akan terus diberi kekuatan oleh Allah s.w.t. untuk terus menabur jasa kepada nusa dan bangsa.

“Selamat Hari Guru”. “Terima Kasih Cikgu”.

Sekian.  Wabillahi taufiq wal hidayah…. Wassalamualaikum wbt…

PK 1 membacakan doa...






Ikrar Hari Guru



Membelah pulut kuning... simbolik sambutan Hari Guru tahun ni





Guru-guru yang sambut hari lahir pada hari guru, turut diraikan...



Lukis dan teka...



Gelak guling bila teringat lukisan terakhir cikgu ni .....18 sx .... hehehe


Gemuruh jiwa... semangat membara.....






Wind of change......



Guru lelaki paling popular...



Guru wanita paling popular......


SAMBUTAN.... SIMPLE TETAPI MERIAH.....
HUJAN LEBAT TIDAK MENGHALANG MAJLIS BERJALAN LANCAR...


***BP selalu dipanggil cikgu, walaupun bukan seorang cikgu..... BP macam cikgu ke? huhu....