Thursday 2 April 2015

#GST : MYDIN JAWAB TIPU PEMBELI


Kempen ‘Gerenti Semua Mydin Tanggung, Harga Tak Naik!’ di semua pasar raya Mydin Mohamed Holdings Bhd. (Mydin) termasuk di cawangan Ayer Keroh di sini adalah bagi meringankan beban pengguna apabila barangan yang dikenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) ditawarkan pada harga diskaun.

Menerusi kempen itu, pembeli boleh membeli barangan tertentu pada harga diskaun namun mereka tetap dikenakan caj GST sebanyak enam peratus menjadikan nilai pembelian itu tidak meningkat.

Jurucakap Pasar Raya Besar Mydin Mall Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh berkata, pasar raya itu membantu pengguna untuk mendapatkan harga barangan yang dikenakan GST pada harga diskaun namun mereka tetap perlu membayar caj sistem percukaian yang dikuatkuasakan bermula hari ini.

“Sebagai contoh, sekiranya pengguna membeli barangan yang dikenakan GST yang pada asalnya bernilai RM10, Mydin telah menawarkan diskaun sebanyak 60 sen iaitu harga yang dikenakan adalah RM9.40.

“Apabila membuat pembayaran, mereka tetap akan dikenakan GST sebanyak enam peratus namun per­belanjaan mereka tetap RM10 dan untuk itu nilai pembelian mereka tidak naik,” katanya ketika dihubu­ngi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jurucakap itu yang enggan dikenali ditanya mengenai penyebaran gambar resit pembelian barang di pasar raya itu hari ini apabila pengguna mendakwa terpaksa membayar GST ke atas barangan yang dibeli.

Kerajaan hari ini mula melaksanakan sistem percukaian baharu itu di seluruh negara bagi menggantikan sistem cukai jualan dan perkhid­matan pada kadar enam peratus berbanding kadar cukai jualan iaitu lima dan 10 peratus, dan cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus.

Gambar resit pembelian itu yang kini tersebar dalam laman sosial menunjukkan pengguna terbabit membeli barangan pada harga RM97.99 namun terpaksa membayar sebanyak RM103.90 termasuk GST.

Syarikat pemborong itu semalam memaklumkan mereka bersedia menyerap RM15 juta daripada jumlah keuntungan bulanan hasil jualannya bagi memastikan pelanggannya dapat membeli barangan pada harga yang sama selepas GST dikuatkuasakan.

Menurut Pengarah Urusannya, Datuk Dr. Ameer Ali Mydin, pembeli akan tetap menikmati tawaran harga sama berikutan kos pembayaran cukai GST sebanyak enam peratus akan ditanggung oleh syarikat tersebut melalui pelan strategik yang telah dirangka.

Kempen penjimatan harga tanpa cukai tersebut dijalankan di 260 rangkaian Mydin termasuk MyMydin dan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di seluruh negara.

No comments: