Tanjung Malim : Presiden Majlis Pendekar Malaysia (MPM) Tan Sri Omar Din Mauju menyifatkan tindakan Mahaguru Silat yang mendakwa Raja Bomoh, Ibrahim Mat Zain sebagai memalukan warga pesilat seluruh negara.
Menurutnya, Ibrahim juga perlu memohon maaf kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, atas apa yang sudah dilakukannya melalui rakaman video yang disiarkan melalui laman sosial.
Katanya, Raja Bomoh itu bukan saja memalukan warga pesilat, malah maruahnya sebagai guru silat juga sudah tercemar gara-gara insiden yang dilakukannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, baru-baru ini.
“Saya rasa malu dengan apa yang dilihat di Facebook dan bertambah malu apabila tindakannya itu dilaporkan secara meluas media antarabangsa yang secara tidak langsung mencalarkan imej rakyat Malaysia dan negara,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutupan Kejuaraan Pencak Silat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Jemputan Antarabangsa Ke-5 UPSI, di Dewan Kolej Ungku Omar, di sini semalam.
Katanya, tindakan Ibrahim hanya memalukan pesilat di seluruh negara, apatah lagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri mengiktiraf silat sebagai benteng ketiga negara.
No comments:
Post a Comment