Monday 17 March 2014

DETIK-DETIK RAMPASAN #MH370


Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengklasifikasikan kes siasatan terhadap pesawat MH370 yang hilang lebih seminggu lalu menjurus ke arah rampasan kapal terbang dan perbuatan pengganas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, berikutan itu pihak polis sedang menyiasat kes tersebut di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Fokus siasatan yang melibatkan empat elemen iaitu rampasan, sabotaj, masalah peribadi dan psikologi dalam kalangan anak kapal serta penumpang tidak berubah walaupun kita telah membuat klasifikasi tersebut.

“Siasatan telah dilakukan ke atas kesemua orang yang mempunyai kaitan dengan pesawat tersebut daripada juruterbang, krew, jurutera hingga kepada orang yang menarik kapal terbang tersebut sebelum pesawat ini berlepas," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama mengenai insiden kehilangan pesawat MH370 di Pusat Media Hotel Sama-Sama di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Ahmad Jauhari Yahya.

Menurut Khalid, berdasarkan maklumat terbaharu yang diterima daripada agensi risikan luar negara dan pihak berkuasa dari negara berkaitan, mereka mengesahkan kesemua penumpang dalam pesawat itu mempunyai latar belakang yang bersih.

Namun, beliau berkata, masih terdapat negara yang belum menyerahkan lagi maklumat tersebut kepada pihak Kedutaan Malaysia di negara berkenaan.

“Antara negara yang telah memberi maklumat kepada polis ialah China dan India," katanya.

Dalam pada itu, Khalid berkata, berhubung dua penumpang Iran yang menaiki pesawat menggunakan pasport curi, siasatan mendapati mereka tidak terlibat dengan sebarang kumpulan pengganas dan tidak mempunyai latar belakang negatif.

Katanya, siasatan lanjut kini lebih tertumpu kepada krew pesawat tersebut.

“Mengenai pemeriksaan di rumah juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, kami telah menjalankan siasatan di rumahnya dan mengambil peralatan simulasi dan yang berkaitan untuk disiasat oleh sepasukan pakar," katanya.

Tambahnya, polis telah mengambil keterangan daripada ahli keluarga juruterbang tersebut dan siasatan mendapati dia dan juruterbang pembantu, Fariq Abdul Hamid, 27, tidak membuat permintaan kepada MAS untuk terbang bersama pada hari kejadian.

Mengulas dakwaan pihak polis telah menamatkan kerjasama dengan Organisasi Perisikan Antarabangsa (Interpol), beliau berkata, perkara itu tidak betul malah siasatan terhadap pesawat tersebut turut melibatkan beberapa agensi negara lain.

No comments: