Wednesday 5 March 2014

ISU KALIMAH ALLAH - UMAT ISLAM BERHIMPUN DI MAHKAMAH PERSEKUTUAN

alt

PUTRAJAYA 5 Mac - Umat Islam hari ini berkumpul di perkarangan Mahkamah Persekutuan bagi mendengar permohonan Gereja Katolik bagi mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa penerbitan mingguan The Herald dilarang menggunakan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Melayu.




Kira-kita 2000 umat Islam yang turut terdiri daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkumpul sambil berdoa dan mendirikan solat hajat agar kalimah Allah dapat dipertahankan oleh umat Islam.
 
Pada 14 Oktober tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebulat suara membenarkan rayuan kerajaan untuk melarang The Herald daripada menggunakan kalimah Allah.



Mahkamah itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penerbitan itu menggunakan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Melayu penerbitan itu.
 
Pada 2009, Gereja Roman Katolik diketuai oleh Tan Sri Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan sebagai pihak responden.
 
Mereka antara lain memohon supaya mahkamah mengisytiharkan keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah Allah dalam The Herald sebagai tidak sah.




Majalah mingguan itu, diterbitkan dalam empat bahasa, telah menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan dalam seksyen bahasa Melayu, khusus untuk penganut katolik di Sabah dan Sarawak.
 
Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan KDN melarang The Herald daripada menggunakan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Melayu adalah salah di sisi undang-undang, batal dan tidak sah.
 
Gereja memfailkan permohonan bagi kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan pada 11 November tahun lalu dengan mengemukakan 26 soalan mengenai Perlembagaan Persekutuan, undang-undang pentadbiran dan kuasa mahkamah untuk membenarkan Menteri Dalam Negeri melarang penggunaan perkataan teologi (Tuhan).






No comments: