Wednesday, 5 March 2014

APABILA MEMBENARKAN DIRI DIKUASAI HAWA NAFSU......... !!!


Masih ingatkah anda dengan nama seperti Lina Joy, Siti Aishah Bukhari, Hartina Kamaruddin dan Nyonya Tahir? Mereka pernah menggemparkan umat Islam di negara ini satu ketika dulu kerana murtad.

Namun, mereka hanya sebahagian daripada ribuan umat Islam yang sudah atau cuba keluar daripada Islam melalui permohonan formal di mahkamah.

Itu belum termasuk mereka yang tidak membuat permohonan secara rasmi.

Ia juga belum termasuk mereka yang hanya Islam pada nama dan kad pengenalan tetapi meninggalkan terus syariat ditetapkan terhadap umat Islam seperti solat dan zakat.

Baru-baru ini, kes murtad hangat diperkatakan kembali dengan kewujudan beberapa laman Facebook yang secara terang-terangan menghina Islam.

Laman ‘Murtads in Pantai Timur’ dikatakan didalangi seorang wanita, Juli Sumardiati yang didakwa berasal dari sebuah negeri di Pantai timur.




Menerusi laman Facebook itu, dia melakukan penghinaan terhadap Allah dan Nabi Muhammad SAW.

Antara penghinaannya ialah mendakwa Allah tiada dan Islam itu sebenarnya agama dicipta Nabi Muhammad SAW.

Bagaimanapun, laman Facebook ini tidak bertahan lama apabila ia ditutup selepas menerima banyak aduan.

Begitupun, nama Juli Sumardiati menjadi ‘terkenal’ sehingga menjadi ‘trending’ di Google.

Namun sehingga kini, Juli masih gagal dikesan kerana dipercayai berada di luar negara.

Tidak lama selepas penutupan laman sosial itu, muncul satu lagi laman Facebook bertajuk ‘Murtads in Kelantan’.

Motifnya sama iaitu menghina Allah, Nabi Muhammad SAW dan umat Islam.

Saya sempat membelek kandungan Facebook ini yang antaranya jelas menghina Islam seperti gambar al-Quran di dalam mangkuk tandas, karakter kartun anjing memakai hijab sebagai menyamakan dengan syariat Islam mengenai penutupan aurat dan banyak lagi.

Saya hanya mampu beristighfar panjang.

Rasa marah, geram dan sedih bercampur baur.

Sebelum ini sudah puas Islam dihina orang bukan Islam yang ekstrem.

Kali ini sungguh malang apabila Allah, Nabi Muhammad SAW dan Islam dihina begitu teruk oleh mereka yang dulunya pernah mengucap dua kalimah syahadah.

Saya terus menyemak di Internet untuk mendapatkan maklumat mengenai Juli Sumardiati dan akhirnya bertemu sedikit sebanyak maklumat dirinya.

Melalui nama samaran, dia membuka akaun Facebook lain selepas akaun sebelum ini dihujani ribuan pertanyaan dan kecaman umat Islam, termasuk daripada ahli keluarganya.

Berdasarkan status ditulis, wanita ini dipercayai berada di Norway.

Mungkin kerana berada di luar negara, dia berani melakukan penghinaan terhadap Allah dan Nabi Muhammad SAW.

Membaca statusnya di laman Facebook dan blognya, saya percaya dia mengalami kekecewaan melampau pada zaman silamnya.

Antara kekecewaan yang mendorongnya keluar daripada Islam ialah kerana mendakwa ‘doanya’ selama puluhan tahun tidak pernah didengar Allah.

Katanya, dia sudah puas berdoa, malah ketika susah dia merintih memohon pertolongan Allah, namun tiada jawapan dan pertolongan diberi.

Lantas dia nekad menyatakan Allah atau Tuhan itu sebenarnya tiada dan mengisytiharkan dirinya ateis.

Setiap komennya mendapat respons hebat daripada pengikutnya.

Lebih menakutkan, sebahagian daripada komen yang menyokong tindakannya daripada akaun pemilik ‘bernama Islam’.

Dendamnya terhadap Allah dapat dilihat melalui statusnya, malah dia secara sinis membalas komen yang mendoakannya kembali ke pangkal jalan.

Menyingkap sejarah murtad, saya teringat kisah bagaimana ‘murtadnya’ iblis kepada Allah saat diperintahkan untuk tunduk sujud kepada Nabi Adam.

Merasakan dirinya lebih mulia, Iblis rasa teramat kecewa kerana Allah mengangkat martabat Nabi Adam lebih tinggi daripadanya.

Walaupun dia taat beribadah kepada Allah selama ribuan tahun, perintah Allah supaya sujud kepada Adam dirasakannya sebagai penghinaan dan merasakan Allah tidak menghargainya.

Lalu jadilah dia makhluk pertama yang ‘murtad’ kepada Allah lantaran rasa kecewa.

Semuanya bermula akibat rasa kecewa.

Kekecewaan itu sebenarnya musuh yang didorong hawa nafsu dan boleh membawa kita tersimpang jauh tersesat jika hanya bersendirian menghadapi persoalan akidah dan tidak berusaha mendampingi golongan agama.

Semoga Allah menghadirkan kembali hidayah kepada saudari Juli dan umat Islam yang berhasrat meninggalkan Islam.

Semoga diri dan keturunan kita dikurniakan pegangan iman dan akidah untuk terus menjadi seorang Muslim hingga ke akhir hayat  -  Harian Metro

No comments: