Thursday, 5 July 2012

500 PELAJAR KOLEJ KEJURURAWATAN DIPAKSA BERHENTI BELAJAR...!!!

 Sebahagian daripada pelajar bersama barangan mereka  sebelum pulang   ke kediaman masing-masing di Kuala Lumpur, kelmarin. - Foto Sugumaran Suppiah/BH
Sebahagian daripada pelajar bersama barangan mereka sebelum pulang ke kediaman masing-masing di Kuala Lumpur, kelmarin. - Foto Sugumaran Suppiah/BH


Pengurusan kolej kejururawatan dipercayai tak mampu lanjut operasi


 
Seri Kembangan: Nasib hampir 500 pelajar kolej kejururawatan swasta, di sini, menjadi tanda tanya apabila terpaksa memberhentikan pengajian seterusnya mengosongkan asrama kediaman mereka.


Difahamkan, mereka hanya diberikan notis pengosongan kediaman Isnin lalu dan arahkan pengurusan kolej untuk mengosongkan kediaman dalam tempoh dua hari. 

Keadaan bertambah mengelirukan apabila tiada keputusan diberikan oleh pengurusan kolej atau Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), di mana mereka akan ditempatkan untuk meneruskan baki pengajian selepas ini. 

Pelajar semester lima yang mahu dikenali sebagai, Ami Ahmadi, 21, berkata mereka dimaklum pengurusan dalam satu pertemuan bahawa kolej itu sudah tidak mampu meneruskan operasi. 

“Yuran pengajian bagi enam semester berjumlah RM54,000 sudah dibayar kepada kolej melalui pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan disebabkan masalah dalaman pengurusan kami menjadi mangsa. 

“Malah apa yang menyedihkan sudah hampir dua bulan rakan lain tidak masuk ke kelas dan kemudahan bas juga sudah tidak disediakan sedangkan ia termasuk dalam yuran pengajian,” katanya ketika ditemui BH, di sini, semalam.
 
Tinjauan dibuat selepas BH menerima aduan melalui ruangan Suara Komuniti dihantar oleh seorang penjaga pelajar yang tidak berpuas hati dengan kejadian itu. 

Pelajar diploma kejururawatan semester enam kolej berkenaan, Fiza Musirin, 23, pula berkata, mereka terpaksa keluar memandangkan pengurusan pangsapuri bertindak memotong bekalan elektrik dan air asrama. 

“Kami berasa teraniaya, ke mana harus kami pergi. Saya berharap keputusan untuk memindahkan kami diberikan secepat mungkin,” katanya. 

“Desas desus mengenai masalah dihadapi pengurusan kolej sudah lama kami ketahui, kami tidak pernah dibawa berbincang malah difahamkan hanya lapan dari 30 pensyarah saja yang tinggal,” katanya. 

Sementara itu, bapa kepada pelajar berkenaan Asmadi Chik, 59, dari Pahang berasa amat kecewa apabila ibu bapa tidak dimaklumkan mengenai masalah dihadapi. 

“Apabila dihubungi oleh anak saya mengatakan bahawa mereka terpaksa mengosongkan asrama, saya terus memandu dari Pahang untuk membawa pulang anak saya ke rumah,” katanya. 

Sementara itu, BH turut dimaklumkan ada segelintir pelajar yang sudah membuat laporan polis mengenai kejadian berkenaan, kerana khuatir masa depan pengajian mereka tergendala separuh jalan.

~ Berita Harian

No comments: