Thursday 5 July 2012

LUNAS PINJAMAN PELAJARAN DISKAUN 30%


Tawaran kepada 4,000 peminjam bermula 1 Julai
 

Ipoh: Diskaun 30 peratus akan diberikan kepada mereka yang melunaskan pinjaman pelajaran kerajaan Perak secara sekali gus dalam tempoh 1 Julai hingga 30 November ini. Tawaran itu membabitkan 4,000 peminjam sejak 1973 dengan pinjaman keseluruhan bernilai RM40 juta.
 
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata diskaun itu sebagai galakan kepada peminjam tabung pendidikan negeri untuk membayar penuh pinjaman mereka dalam tempoh lima bulan ini.

"Tawaran ini hanya sah untuk tempoh berkenaan supaya mereka yang berkeupayaan, dapat melangsaikan hutang dengan kadar lebih rendah, sekali gus membantu pelajar lain mendapatkan pinjaman," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO Perak, semalam. 

Beliau juga mengumumkan keputusan kerajaan negeri meneruskan pemberian lesen perniagaan percuma yang mula dilaksanakan tahun lalu kepada mereka berhasrat membuka perniagaan sepanjang Ramadan ini.

“Mereka hanya perlu membayar sewa tapak perniagaan disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT). Kadar sewa bergantung kepada perbincangan dengan PBT masing-masing," katanya. 

Sementara itu, Zambry berkata, kerajaan negeri akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meningkatkan kemudahan serta daya tarikan di kawasan arkeologi Lembah Lenggong, susulan pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) terhadap lokasi itu sebagai tapak warisan dunia.

Beliau berkata, jawatankuasa itu yang akan diterajui Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan, Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan negeri, Datuk Hamidah Osman akan berhubung dan bekerjasama dengan kerajaan Pusat bagi merealisasikan perkara itu.

Zambry juga berharap Kerajaan Pusat memberi reaksi positif permintaan supaya rangka 'Perak Man' yang berada di Muzium Negara serta beberapa kesan tinggalan prasejarah di Universiti Sains Malaysia (USM) dapat dikembalikan ke Lembah Lenggong.

No comments: