Thursday 5 July 2012

HAYAT PARLIMEN DIPENDEKKAN 4 TAHUN...???


Tempoh sesuai pegang mandat beri peluang parti memerintah tunai tanggungjawab

Baru-baru ini timbul cadangan untuk memendekkan hayat Parlimen. Ada yang mencadangkan ia dikurangkan kepada empat tahun seperti di Amerika Syarikat. Sebelum ini Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mencadangkan supaya Parlimen hanya boleh dibubarkan selepas empat tahun. Cadangan ini agak dekat dengan perbincangan mengenai jangka hayat Parlimen, tetapi tiada cadangan untuk memendekkan jangka hayat yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan. 
"Walaupun pilihan raya awal ini tidak dimaktubkan dalam Perlembagaan, ia adalah amalan atau konvensyen Perlembagaan. Dalam sejarah negara, kecuali hanya sekali daripada 12 pilihan raya lalu iaitu pada 1974 dilaksanakan awal”
Dari sudut Perlembagaan, jangka hayat Parlimen sekarang ialah lima tahun. Jika Parlimen tidak dibubarkan dalam masa lima tahun, maka hayatnya akan berakhir secara automatik apabila mencapai lima tahun daripada tarikh mesyuarat Parlimen pertama selepas pilihan raya terdahulu.

 
Dari sudut amalan pembubaran Parlimen sebelum lima tahun boleh berlaku dalam dua keadaan. Pertama, bagi tujuan pilihan raya awal. Dalam keadaan ini jika mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi tujuan pilihan raya awal, iaitu pilihan raya umum sebelum tarikh matang atau pilihan raya sebelum tarikh tamat usia Parlimen. 

Walaupun pilihan raya awal ini tidak dimaktubkan dalam Perlembagaan, ia adalah amalan atau konvensyen Perlembagaan. Dalam sejarah negara, kecuali hanya sekali daripada 12 pilihan raya lalu iaitu pada 1974 dilaksanakan awal.

Dalam keadaan kedua, Parlimen boleh dibubarkan sebelum lima tahun sekiranya Perdana Menteri kehilangan sokongan majoriti ahli dan memohon untuk pembubaran dewan. Sekiranya permintaan itu diperkenan, maka pembubaran Parlimen boleh berlaku. 
Berbalik kepada persoalan jangka hayat Parlimen selama lima tahun, ia disebut dalam perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan. Cuma persoalannya, kenapa Perlembagaan Persekutuan menetapkannya kepada lima tahun, bukan tiga, empat ataupun beberapa tahun. 

Dalam sejarah perundangan negara, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 mempunyai peruntukan dalam per 42 bahawa seorang ahli Majlis yang dilantik akan memegang jawatan selama tiga tahun saja. Kenapa tiga tahun? Jawapan kepada soalan ini tidak direkodkan laporan perundangan secara jelas.

Kenapa pula lima tahun yang dimaktubkan dalam Perlembagaan? Ini juga tiada penjelasan. Antara dokumen utama sejarah Perlembagaan Negara, iaitu Laporan Suruhanjaya Perlembagaan (Suruhanjaya Reid) juga tidak memperincikannya. Begitu juga dalam dokumen Perlembagaan lain. 

Apa yang dapat ditemui ialah jangka masa lima tahun ini terdapat dalam cadangan peribadi Lord Reid, iaitu pengerusi Suruhanjaya Perlembagaan (Suruhanjara Reid) dalam lampiran kepada Laporan Suruhanjaya Reid. Walaupun begitu Lord Reid juga tidak memberi alasan kenapa perlu lima tahun. 

Apabila saya rujuk kepada sejarah dan amalan undang-undang di Great Britain bagi memahami asas cadangan Lord Reid, saya mendapati, asalnya jangka masa wakil yang dipilih ialah tiga tahun (Septanial Act 1715). Akta ini kemudian dipinda dan ditambah menjadi tujuh tahun (Meeting of Parliament Act 1694). 

Pindaan yang menambah jangka masa itu bertujuan mengurangkan kos atau perbelanjaan pilihan raya. Pada 1911, jangka masa tujuh tahun itu dikurangkan kepada lima tahun melalui Akta Parlimen. Tidak dinyatakan alasan khusus untuk jangka masa berkenaan dikurangkan. 

Oleh itu, jika dilihat kepada amalan di Great Britain, jangka masa antara pilihan raya umum ialah lima tahun. Itulah amalan dan perundangan di sana pada masa kita merdeka dan menggubal Perlembagaan Persekutuan. Mungkin atas amalan itulah Lord Reid membuat cadangan supaya jangka hayat Parlimen selama lima tahun.

Sementara itu, Memorandum Raja-Raja Melayu kepada Suruhanjaya Reid, mencadangkan tiga tahun bagi setiap pemilihan ahli Dewan Rakyat. Cadangan itu juga tidak memberi alasan kenapa tiga tahun. Besar kemungkinan kerana ini adalah jangka waktu lantikan dalam Majlis Perundangan Persekutuan seperti yang disebut dalam Perjanjian Persekutuan 1948.

Sementara itu perbicaraan (‘hearing’ iaitu perjumpaan dan diskusi antara wakil Parti Perikatan dan Suruhanjaya Reid) pernah disebut oleh pihak Parti Perikatan untuk membolehkan kerajaan memerintah memanjangkan jangka hayat Parlimen dalam keadaan krisis nasional. Tetapi cadangan ini tidak dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Penulis ialah Profesor Madya Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

No comments: