KANAK-KANAK berusia 7 tahun, Haiqal Hakimi Suhini yang dipercayai dilarikan oleh pasangan tak dikenali dalam kejadian di Jalan Astana, Petra Jaya, kelmarin, telah selamat kembali ke pangkuan keluarganya sebentar tadi.
Perkhabaran itu dikongsikan oleh ibu saudara mangsa, Effa Farhana Shaimi menerusi halaman Facebooknya beberapa jam yang lalu.
“Alhamdulillah, syukur ke atas Ilahi. Haiqal Hakimi selamat dihantar ke rumahnya di Taman Hussien,” katanya.
Effa mengesahkan bahawa maklumat yang diterima dari ahli keluarganya yang berada di Kampung Tupong Ulu Baru itu adalah sah, selain dari berkongsikan gambar kanak-kanak berkenaan.
Sementara itu, memetik laporan agensi berita Bernama, nenek kepada kanak-kanak berkenaan, Ubai Mohammad, 56, berkata cucunya dikembalikan ke rumahnya oleh seorang lelaki yang menaiki motosikal.
“Dalam pukul 2 atau tiga petang tadi, masa mak cik sedang melipat baju, lelaki itu datang menghantar cucu mak cik. Mak cik rasa sangat gembira.
“Lelaki tu cakap dia jumpa cucu mak cik di tepi jalan dan bawa dia pulang ke rumahnya. Mak cik amat bersyukur cucu mak cik selamat. Terima kasih juga kepada semua yang tolong mencari termasuk polis dan orang ramai,” katanya.
Beliau berkata cucunya memaklumkan semasa berada di rumah lelaki tersebut, dia dijaga dengan baik dan turut diberi main permainan video.
“Masa serahkan cucu mak cik tadi, lelaki itu ada bagi beberapa helai pakaian dan satu patung harimau,” kata Ubai.
Sementara itu bapa kanak-kanak itu, Suhini Abdullah, 36, yang tiada di rumah semasa lelaki tersebut menghantar anaknya merasa bersyukur.
Beberapa anggota polis turut berada di rumah keluarga itu sebelum membawa Haiqal Hakimi bersama bapa dan ibunya ke hospital untuk melakukan pemeriksaan.
Seorang jiran yang enggan dikenali memberitahu lelaki berkenaan berada kira-kira 10 minit sebelum beredar dari situ.
“Saya dan beberapa jiran kemudiannya memeriksa jika ada sebarang kecederaan pada fizikal Haiqal Hakimi tetapi semuanya okey,” katanya.
Bagaimanapun, tidak didedahkan maklumat ke mana anak saudaranya itu dibawa oleh dua suspek terbabit.-MYNEWSHUB.CC
No comments:
Post a Comment