Tuesday, 6 October 2015

DAPUR WAYNE ROONEY BERNILAI RM1 JUTA TETAPI JARANG DIGUNAKAN


CHESHIRE – ENGLAND. Bintang bola sepak Wayne Rooney dan isterinya mengaku menghabiskan 150,000 pund (RM1 juta) untuk dapur rumah mereka tetapi jarang menggunakan bahagian tersebut.


Menurut laporan Dailymail, Rooney dan isterinya Coleen cuma mampu menghasilkan minuman yang mudah disediakan.

“(Selalunya) ibu saya masak atau kami makan diluar,” kata Coleen.

Perkara tersebut didedahkan melalui sebuah dokumentari baru-baru ini mengenai kehidupan mewah pasangan terbabit di rumah mereka yang berharga 60 juta pund (RM399 juta).

Selain memiliki dapur yang mahal, Rooney juga mengumpul koleksi gitar yang ditandatangani oleh ikon musik popular seperti Noel Gallagher dari Oasis dan Sir Paul McCartney (The Beatles).

Beliau juga membuat sudut khas di dalam rumah tersebut untuk mempamerkan trofi yang pernah dimenanginya sejak terlibat dengan bola sepak.

Menurut Coleen, Rooney bertanggungjawab membuat semua keputusan dalam rumah tersebut.

“Kami berdua dari keturunan yang kuat dan tabah. (Tapi) kami juga mempunyai karakter berbeza. Jika Wayne kata ‘jangan’, saya juga akan kata ‘jangan’,” kata Coleen.

Rooney memberitahu beliau suka menulis sajak sebelum bertemu Coleen.

“Saya pernah menulis sajak yang banyak untuk Coleen, tapi sekarang tidak lagi kerana (saya) sudah tua,” akui Rooney.

Walaupun begitu, Coleen masih menganggap Rooney belum hilang sentuhan romantiknya.

“Baru-baru ini kami pergi bercuti. Saya tidur bersama anak-anak dan apabila terjaga, saya jumpa sajak oleh Rooney yang diletakkan di sebelah katil.

“Ia sangat romantik,” jelas Coleen.-SH.

Post a Comment