Tuesday 6 October 2015

ANINA FAIL PERMOHONAN GANTUNG WRIT SAMAN NAJIB


KUALA LUMPUR 6 Okt - Bekas anggota Umno Anina Saadudin pada Selasa memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini untuk menggantung pendengaran membatalkan writ saman yang dipohon Datuk Seri Najib Tun Razak.


Beliau memohon penggantungan sehingga kes saman yang difailkannya terhadap Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung pemecatannya sebagai anggota parti itu, diputuskan.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah yang mewakili Anina memberitahu pemberita bahawa mahkamah perlu membuat keputusan mengenai status Anina dalam parti tersebut terlebih dahulu kerana Najib telah mendakwa bahawa Anina tidak mempunyai locus standi semasa memfailkan writ saman.

"Alasan utama Najib (dalam permohonan membatalkan writ saman), adalah kononnya Anina tiada locus standi membawa tindakan (saman) ini sebab keahlian Anina sudah dibatalkan.

"Jadi biarlah mahkamah yang mendengar permohonan Anina terhadap Tengku Adnan menentukan isu keahlian Anina dahulu sebab Anina sudahpun memfailkan tindakan terhadap Tengku Adnan lebih awal iaitu sebelum Najib membuat permohonan membatalkan saman," katanya.

Haniff Khatri berkata mahkamah menetapkan Isnin ini untuk pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab.

Sementara itu bagi kes saman membabitkan Tengku Adnan, mahkamah menetapkan pengurusan kes pada Jumaat ini di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman S. Nantha Balan.

Pada 1 Oktober, mahkamah membenarkan permohonan Najib untuk menggantung kesemua prosiding saman yang difailkan Anina.

Anina memfailkan saman terhadap Najib dan Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab.Rauf pada 28 Ogos lepas, antaranya bagi menuntut pembayaran RM2.6 bilion (US$650 juta) yang didakwa dimasukkan oleh Najib ke dalam satu akaun bank bukan milik Umno di Singapura.

No comments: