Friday, 9 October 2015

BEKAS ADUN ALOR LIMBAT DITEMBAK MATI DARI JARAK DEKAT


MARANG: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Alias Abdullah, 51, mati ditembak di rumahnya di Kampung Alor Limbat di sini, selepas solat Jumaat tadi. 


Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. 

Bekas ADUN Pengkalan Berangan, Yahya Khatib Mohamad, berkata beliau dimaklumkan oleh isteri bekas wakil rakyat Barisan Nasional itu, Noriha Muhammad, suaminya ditembak di kepala dalam jarak dekat di rumah mereka.

Beliau berkata, kejadian selepas Allahyarham pulang daripada solat Jumaat itu dipercayai berlaku selepas mangsa membuka pintu rumah yang diketuk individu tidak dikenali. 


"Mengikut apa yang dimaklumkan oleh isteri Allahyarham, tidak lama selepas pulang dari solat Jumaat, ada individu mengetuk pintu rumah dan arwah kemudian membuka pintu sebelum ditembak. 

"Tembakan daripada jarak dekat itu dikatakan terkena pada kepala, sebelum rebah. 

Arwah kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Bukit Payong sebelum disahkan meninggal dunia," katanya. 

Allahyarham Alias yang turut memiliki firma guaman Alias Abdullah & Co dipilih sebagai ADUN Alor Limbat sejak 2004 hingga 2008. 

Dilahirkan di Kampung Alor Limbat, Allahyarham juga pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Marang dari 2004 hingga 2013 dan Ahli Jawatankuasa UMNO Negeri dari 2011 hingga 2013. 

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Unit Pendakwaan Negeri (Timbalan Pendakwaraya/Peguam Kanan Persekutuan) meninggalkan seorang balu dan empat orang anak. -BH

Post a Comment