Friday, 9 October 2015

2 DARIPADA 47 KANAK-KANAK ORANG ASLI YANG DILAPORKAN HILANG DITEMUI KURUS KERING DAN TIDAK MAMPU BERJALAN



GUA MUSANG: Selepas 47 hari dilaporkan hilang, dua kanak-kanak Orang Asli ditemui dalam keadaan selamat di Sungai Perias, manakala seorang lagi rakan mereka meninggal dunia. 



Dua mangsa itu dikenali sebagai Noreen Yacob, 10, dan Mirsudiar Aluj, 11. 

Manakala kanak-kanak yang mati itu belum dikenal pasti identitinya. 

Ketiga-tiga mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat. 

Lokasi penemuan mangsa tidak jauh daripada tengkorak yang ditemui petang semalam. 





Lebih memilukan dua kanak-kanak berkenaan ditemui dalam keadaan kurus kering dan hanya bergantung kepada air sungai dan tumbuhan hutan. 

Ketika ditemui, dua kanak-kanak berkenaan tidak mampu berjalan kerana terlalu penat. -BH



MURID Orang Asli yang hilang, Sasa Sobrie, 8; Ika Ayel, 9; Noreen Yaacob, 10; Juvina David, 7; Linda Rosli, 8; Haikal Yaacob dan Mirsudiar Aluj, 11 (tiada dalam gambar).
Semalam, satu mayat kanak-kanak perempuan ditemui di Pos Tohoi dan siasatan polis mendapati ia adalah Sasa Sobrie, 8, iaitu seorang daripada tujuh murid Orang Asli yang dilaporkan hilang sejak 23 Ogos lalu. 

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah, berkata ia berdasarkan hasil bedah siasat dan pengecaman yang dilakukan ahli keluarga mangsa.




"Namun ini bukan keputusan muktamad kerana perlu melalui ujian DNA untuk pengesahan lanjut," katanya. 


Mayat kanak-kanak perempuan itu ditemui di Sungai Perias kira-kira 500 meter dari Pos Tohoi jam 7 malam tadi oleh penduduk kampung sebelum memaklumkan kepada pasukan penyelamat. Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira setengah jam untuk membawa mayat yang tersangkut itu ke tebing sungai sebelum dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat. 




Dalam kejadian 23 Ogos lalu, tujuh murid Orang Asli iaitu enam perempuan dan seorang lelaki berusia antara 7 dan 11 tahun dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Tohoi melarikan diri dari asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mereka dikesan mandi di sungai tanpa kebenaran. 


Selain Sasa, pelajar terbabit ialah Mirsudiar Aluj, 11; Noreen Yaacob, 10; Ika Ayel, 9; Haikal Yaacob, 8; Linda Rosli, 8; dan Juvina David, 7 kesemuanya berasal dari Pos Tohoi.


UPDATE :


GUA MUSANG 9 Okt - Mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui mati di Sungai Mas, di sini, tengah hari tadi dikenalpasti sebagai Ika Ayel, 9.

Perkara itu disahkan selepas keluarga mangsa membuat pengecaman di bilik mayat sebentar tadi.

Post a Comment