Tuesday 27 October 2015

1BESTARINET BERNILAI RM663 JUTA KENDALIAN TSMY .... GAGAL !!!

1bestarinet

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen BN-Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim mempersoalkan kegagalan projek 1BestariNet yang menelan belanja RM663 juta.


Kata Azeez, projek yang dilaksanakan dengan kerjasama YTL Communications itu gagal melaksanakan projek seperti yang dijanjikan.

“Semalam dalam laporan media, guru-guru dan murid-murid mengadu terpaksa menunggu sehingga 4 jam (untuk guna).

“Apa yang dijanji dalam program itu, mereka akan sediakan 4 hingga 20 megabite sesaat tetapi akhirnya hari ini hanya boleh dapat 0.2 hingga 3 megabite sesaat,” katanya.

Menurut Azeez, beliau mahu kementerian yang berkaitan mengambil tindakan segera kerana melibatkan jumlah peruntukkan yang besar.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari ketika menjawab soalan tersebut berkata projek tersebut bukan di bawah tanggungjawab kementeriannya.

Jelasnya, projek tersebut di bawah kendalian Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Pendidikan Malaysia ketika itu.

“Kementerian ini iaitu di bawah program pelaksanaan jalur lebar tidak mengkhususkan mana-mana pemberi perkhidmatan untuk memberi perkhidmatan di suatu-suatu tempat, maknanya tidak ada elemen eksklusiviti.

“Sebenarnya program 1BestariNet bukan di bawah kementerian ini. Ia adalah projek seluruh negara yang diterajui oleh mantan menteri pendidikan yang dahulu di bawah Kementerian Pendidikan di mana projek itu dikhususkan kepada syarikat yang diberi nama YTL Communications,” katanya.

Laporan Ketua Audit Negara sebelum ini mendedahkan projek berkenaan tidak memenuhi sasaran tempoh dua setengah tahun selain gagal menyediakan Platform Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) kepada 10,000 sekolah diseluruh negara.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam prosidingnya juga mendapati projek fasa 1 tersebut gagal sejak dilaksanakan pada tahun 2011.

Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) kemudiannya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat projek tersebut.

“Tidak sepatutnya (bekas Menteri Pendidikan Malaysia) Tan Sri Muhyiddin Yassin membiarkan sahaja projek itu kerana kita mahu anak dan guru mudah dalam pembelajaran,” kata Penasihat Ekonomi PMSP, Suud Ridzuan. – TheRakyatPost

No comments: