Wednesday 25 February 2015

KPN TIDAK GENTAR UGUTAN 'ANAK MALAYSIA ANTI DEMOKRASI'


Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata beliau tidak gentar dengan ugutan bunuh yang diterimanya daripada sekumpulan anak muda yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Anak Malaysia Anti Demokrasi’.


Khalid dalam kenyataan hari ini berkata ugutan itu langsung tidak menakutkan beliau sebagai Ketua Polis Negara dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan dan menyifatkan ugutan seperti itu merupakan lumrah seorang pegawai polis yang menjalankan tugas.

“Ekoran daripada beberapa klip video yang tersiar dalam laman sosial yang memperkenalkan mereka sebagai kumpulan Anak Malaysia Anti Demokrasi baru-baru ini, saya menyifatkannya sebagai satu tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh pihak berkenaan serta ingin memberikan satu gambaran yang buruk terhadap sistem demokrasi berparlimen di negara ini.

Dalam video YouTube itu, sekumpulan individu menggelarkan diri mereka “Anak Malaysia Anti Demokrasi” mengugut untuk membunuh Khalid dengan meletupkan keretanya.

Video yang dikongsi oleh Facebook anti-Umno, “Ameno World”, menunjukkan tiga lelaki berpakaian serba hitam dan menutup muka membuat ugutan itu dengan latar belakang bendera Malaysia.

Individu dalam video itu berkata Amerika Syarikat, Rusia dan China menjadi “maju dan dihormati kerana rakyatnya tidak memilih saluran demokrasi untuk menjatuhkan petualang yang melindungi rejim yang korup”.

“Kami Anak Malaysia Anti Demokrasi mengumumkan akan membunuh ketua polis negara, meletupkan keretanya.

“Dengan itu, semua ketua agensi kerajaan akan takut melakukan kesalahan menipu demokrasi kerana rakyat Malaysia akan bangkit memilih jalan bukan demokrasi,” kata individu itu.

Buru bersama SKMM

Dalam kenyataannya hari ini, Khalid menyifatkan bahawa penyiaran video ugutan itu tidak bertanggungjawab.

Malah, katanya, ia menunjukkan bahawa kumpulan itu tidak mengenal erti sebenar sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Khalid juga berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengesan identiti pengugut itu.

“Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada ke atas sesiapa sahaja yang mengganggu gugat keamanan yang kita kecapi selama ini,” katanya. – BERNAMA/Malaysiakini.com

No comments: