Tuesday 14 January 2014

LEGASI PENTING PENINGGALAN TUN ABDUL RAZAK .....

Rakyat News

14 Januari 1976, iaitu hari ini pada 38 tahun yang lalu. Tun Abdul Razak meninggal dunia di London akibat komplikasi penyakit Leukemia.

Malaysia kehilangan Perdana Menteri manakala saya kehilangan seorang ayah, saya cuma berumur sembilan tahun pada masa itu.
 
Pada hari ayah meninggal dunia, kami berada dalam keadaan amat bersedih dan rakyat seluruh negara turut berduka dengan kehilangannya.
 
Saya dan empat abang yang lain cuba menenangkan ibu yang bersedih, tetapi kedukaan yang ditunjukkan oleh rakyat seluruh negara mengingatkan bahawa kami tidak berseorangan.
 
Saya mesti berterus-terang bahawa pada usia yang kecil, saya kadang-kala merungut bahawa ayah terlalu sibuk dengan kerja. Saya merungut kerana ayah terlalu banyak berkorban untuk negara berbanding keluarga.
 
Namun demikian, saya tetap sangat berbangga dengan sumbangannya kepada negara.
 
Saya tidak mempunyai masa yang banyak untuk memahami ayah, tetapi apa yang beliau abadikan dalam hati saya ialah ajarannya iaitu nilai dan prinsip integriti. Ya, integriti beliau yang tiada bandingannya, malahan integriti itu mengatasi keluarganya.
 
Ia mengingatkan saya kepada satu perkara lampau. Suatu hari saya dan abang-abang yang lain mencadangkan ayah supaya membina sebuah kolam renang di kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Taman.
 
Sebagai seorang peguam, ayah meminta kami mengemukakan alasan pembinaan kolam renang secara logik dan rasional. Selepas memberi hujahan panjang lebar, kami yakin pasti akan menyakinkan ayah untuk membina kolam tersebut.
 
Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya, wajah ayah tiba-tiba berubah dan  matanya penuh dengan kemarahan.
 
Ayah menjelaskan bahawa walaupun Seri Taman merupakan kediaman kami, tetapi ia merupakan hak milik kerajaan dan rakyat. Semua perbelanjaan di Seri Taman adalah menggunakan duit rakyat dan ayah menegaskan bahawa beliau tidak akan sesekali membelanjakan duit rakyat untuk perkara yang tidak penting, termasuk membina kolam renang.
 
Ayah menengking kami: "Apa yang akan rayat fikirkan?"
 
Semasa membesar, saya selalu mendapat tahu mengenai hal ayah melalui orang yang mengenalinya. Ini termasuklah orang yang pernah berkhidmat dalam kerajaan pimpinannya atau mereka yang pernah berjuang bersama ayah untuk mencapai kemerdekaan. Sudah pastinya, ia turut merangkumi kawan-kawan ayah. Inilah satu-satunya saluran untuk saya mengenali ayah.
 
Setiap kali kami berbual mengenai ayah, apa yang masih segar dalam fikiran mereka ialah berkenaan pegangan nilai ayah.
 
Sebagai penjaga terhadap khazanah negara, ayah selalu disebut-sebut sebagai orang yang berjimat cermat.
 
Seorang bekas menteri pernah memberitahu saya mengenai sifat ayah. "Kamu mesti kira setiap sen dengan teliti, jika tidak beliau (Tun Abdul Razak) tidak akan melepaskan awak."
 
Sebenarnya saya sudah lama tahu tentang hal ini. Ia bukan sahaja melalui cadangan pembinaan kolam renang sebelum ini, tetapi juga melalui pelbagai perkara lain.
 
Abang-abang saya selalu bercerita mengenai pengalaman mengikuti rombongan rasmi ke Switzerland bersama ayah. Ayah bukan sahaja membayar secara peribadi semua kos perjalanan abang, malahan beliau juga amat cermat dalam soal belanja.
 
Ayah menukar hotel yang ditempah sebelum ini kepada hotel bajet. Abang-abang juga menjamu selera tiga kali sehari di hotel bajet semasa berada di Switzerland.
 
Lawatan ke Eropah pada Oktober 1975 merupakan perjalanan terakhir ayah ke luar negara. Ayah sebenarnya pergi ke situ untuk menerima rawatan dan beliau bertegas supaya ibu tidak mengikutinya. Mungkin ayah risau bahawa jika berlaku apa-apa, ibu mungkin berdepan masalah kewangan dan beliau cuba menjimatkan belanja perjalanan untuk ibu.
 
Selepas beberapa minggu ayah tiba di England, barulah ibu mempunyai peluang untuk menemaninya di situ. Ia dapat dilakukan selepas Kabinet meluluskan perbelanjaan khas untuk menghantar ibu menjaga ayah di England.
 
Apabila saya berbual dengan orang lain, mereka pasti akan berbicara mengenai integritinya.
 
Disebabkan ayah selalu bersemangat dan rajin semasa bertugas di pejabat, ramai yang terperanjat setelah mengetahui ayah berdepan penyakit Leukemia. Kepakaran ayah tidak lain tidak bukan untuk melakukan lawatan dan semakan mengejut di kawasan yang berlainan. Tujuannya untuk mengetahui masalah rakyat secara dekat.
 
Ramai orang yang tidak lupa mengenai jasa ayah dalam pembangunan desa, beliau merupakan perintis kepada konsep dahulukan rakyat.
 
Namun mereka juga memberitahu bahawa wawasan paling besar untuk ayah ialah perpaduan nasional yakni untuk membina bumi Malaysia yang mana setiap orang di bawah sinaran suria akan mempunyai kedudukan sendiri.
 
Selepas kejadian 13 Mei, ayah telah melaksanakan dua dasar untuk mencapai wawasan tersebut. Yang pertama ialah memperkenalkan Rukun Negara pada 1970 dan yang kedua, Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1971.
 
Rukun Negara adalah selari dengan keperluan untuk menjadi negara sekular dan peradaban moden, ia mengadunkan warisan budaya bumiputera. DEB pula bertujuan menghapus kemiskinan di kalangan semua kaum untuk mengeratkan perpaduan.
 

Rakyat News

Hari ini, ramai yang beremosi apabila mendebatkan DEB. Saya sendiri juga pernah mengutarakan bahawa sedikit kesilapan telah berlaku semasa DEB dilaksanakan.
 
Sistem kuota menyebabkan hanya segelintir orang menjadi kaya secara cepat, ia menyebabkan perbezaan kedudukan dalam satu kaum serta menimbulkan ketegangan antara kaum. Dua keadaan ini sedikit sebanyak telah merosakkan hasrat Tun Abdul Razak dalam memperkenalkan DEB. Kemahuan beliau ialah memperkukuhkan perpaduan antara kaum.
 
Apakah kesilapannya? Ada yang berpendapat dasar pemberian tongkat sendirinya merupakan satu kesilapan. Bagi saya, kesilapan terbesar ialah DEB telah `diselewengkan' untuk fokus kepada strategi dan bukannya melaksanakan matlamat strategik.
 
DEB tanpa perlu dipertikaikan telah berjaya menghapuskan kemiskinan  dan merapat jurang ekonomi dengan menghasilkan ramai kelas pertengahan Melayu. Namun kejayaan terbesar DEB ialah berjaya mengurangkan ketegangan kaum yang berlaku selepas insiden 13 Mei.
 
Disebabkan DEB, Malaysia tidak terjerumus kepada keadaan seperti Sri Lanka di mana migran baharu ialah orang Tamil terus berkonflik dengan Sinhanlese.
 
Walaupun DEB berjaya mencapai kejayaan yang besar, namun matlamatnya untuk mengukuh perpaduan tidak dapat direalisasikan.
 
Sebaliknya, petanda menunjukkan ketegangan antara kaum sekali lagi mencapai tahap yang membimbangkan.
 
Apa yang boleh dilakukan? Terdapat pepatah Melayu yang berbunyi sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Bagi saya, kita patut balik ke pangkal iaitu kepada nilai-nilai yang ada pada Tun Abdul Razak. Nilai itu ialah integriti, amanah, wawasan dan toleransi.
 
Saya sebelum ini pernah menyebut tentang integriti beliau selain amanahnya dalam perkhidmatan awam. Beliau juga mempunyai wawasan untuk Malaysia yang bersatu dan makmur.
 
Di sini, saya ingin menjadikan dua peristiwa penting dalam kehidupan Tun Abdul Razak untuk mengakhiri tulisan.
 
Pertama, beliau merupakan pejuang demokrasi yang jitu di mana beliau membubarkan Majlis Gerakan Negara selepas dua tahun untuk memulihkan sistem demokrasi Malaysia. Walaupun beliau memegang kuasa memerintah, tetapi nilai yang dipegangnya adalah demokrasi.
 
Cara membuat keputusan beliau sendiri menunjukkan ciri-ciri ini. Sebelum membuat keputusan besar, beliau berunding dan mendapat pandangan daripada semua orang yang terlibat.
 
Beliau tidak meminggirkan mana-mana pihak tetapi menggalakkan semua orang untuk melontarkan pendapat supaya keputusan terbaik dapat dibuat.
 
Kedua, Tun Abdul Razak bertindak proaktif untuk membantu kebanyakan bumiputera bagi memperbaiki kualiti hidup supaya kejadian seumpama 13 Mei dapat dielakkan. Beliau melihat usaha ini sebagai keistimewaan negara ini dan bukannya hak istimewa kaum.
 
Bagi saya, ini menunjukkan azamnya untuk membawa kebaikan kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.
 
Mengenang balik mereka yang pernah berkhidmat dan bertugas bersama beliau, mereka pernah dan masih terus bersatu untuk membangunkan semula negara ini yang pernah melalui insiden 13 Mei.
 
Ini merupakan legasi penting yang ditinggalkan Tun Abdul Razak. Sekiranya kita menghargai beliau, maka kita harus balik ke pangkal jalan.

Dato Seri Nazir Tun Razak
14 Januari 2014

No comments: