Tuesday 14 January 2014

'SULTAN MELAKA' MAHU KE PULAU BESAR DITAHAN POLIS


JASIN : Polis menahan seorang individu yang mendakwa Sultan Melaka, ketika mahu ke Pulau Besar, sebentar tadi dipercayai menghadiri sambutan Maulidur Rasul serta istiadat pengurniaan darjah kebesaran. Lelaki yang mahu dikenali sebagai Noor Jan Shah ditahan di Jeti Anjung Batu, Serkam kira-kira jam 10.45 pagi. 




Difahamkan, beliau dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka. Penahanan itu susulan satu laporan polis dibuat oleh Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) di Balai Polis Ayer Keroh, petang semalam, bagi mendesak pihak berkuasa menyiasat dakwaan Noor Jan yang mengaku sebagai Sultan Melaka.

Laporan polis yang dibuat itu diketuai Presiden MGBM, Zali Mat Yasin dengan diiringi beberapa ahli EXCO majlis belia berkenaan, antara lain memohon supaya polis bertindak segera ke atas individu terbabit bagi mengelak lebih ramai masyarakat keliru dengan dakwaan dibuatnya selama ini.




Sementara itu, semalam, kerajaan negeri meminta pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas seorang ahli perniagaan yang mendakwa sebagai Sultan Melaka kerana ia mencabar Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata selain itu, tuntutan individu yang dikenali sebagai Noor Jan Shah sebagai Sultan Melaka itu juga mencemar institusi Yang di-Pertuan Agong yang menjadi ketua bagi Negeri Selat membabitkan Melaka dan Pulau Pinang selain Sabah serta Sarawak. 
"Noor Jan didapati mencabar Perlembagaan yang digubal dan dipersetujui secara bersama oleh semua pihak di negara ini dan tiada sebab beliau mahu menafikan apa yang sudah ditetapkan dalam perlembagaan itu.

"Sekarang, sudah sampai masanya pihak berkuasa bertindak mengikut undang-undang sedia ada bagi memastikan tiada orang ramai yang keliru dan terpedaya dengan gelagat beliau," katanya. - BH

No comments: