Saturday 7 September 2013

9 AHLI GENGSTER 04 DAN 08 DITAHAN DI SEMPADAN MALAYSIA/THAILAND



Polis menahan sembilan lelaki yang dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap 04 dan 08 di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, CIQ Bukit Kayu Hitam, ketika cuba melarikan diri ke negara jiran untuk bersembunyi, malam tadi.

Penolong Ketua Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat, D7 Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, suspek dikesan cuba menyeberangi sempadan dengan berjalan kaki.

Kesemua mereka berusia antara 24 hingga 47 tahun itu ditahan kira-kira jam 7.30 malam oleh Pasukan Cantas Khas Bukit Aman ketika cuba melepasi pintu sempadan negara.

Mereka cuba melintasi sempadan secara berasingan, bagi mengelirukan pihak berkuasa.

Siasatan awal mendapati kesemua suspek mempunyai rekod perjalanan yang kerap ke negara jiran.

Empat daripada mereka menggunakan pasport antarabangsa, empat lagi menggunakan pas sempadan, manakala seorang lagi tidak memiliki sebarang dokumen.

DATUK ABDUL JALIL HASSAN / PENOLONG KETUA PENGARAH D7 BUKIT AMAN


"Kita akan dapatkan maklumat daripada counterpart kita, rakan kita di sebelah di negara jiran ni. Kita telah memberi maklumat kepada negara jiran dan mereka sudi untuk memberi kerjasama sepenuhnya".

Beliau berkata demikian, selepas menyertai Ops Cantas Khas di pintu sempadan berkenaan.

Siasatan awal mendapati kesemua suspek yang ditahan merupakan "fighter" yang berperanan melaksanakan arahan yang dikeluarkan ketua mereka.

Suspek berasal dari Kedah, Perak dan Selangor.

Kesemua suspek juga didapati mempunyai tatu lambang kongsi gelap 04 dan 08.

Polis percaya, penahanan suspek ini, akan membantu menjejaki ahli kumpulan kongsi gelap yang lain.  - TV3

No comments: