Friday 24 August 2012

PAS TERSEPIT ISU NASHA vs KARPAL

nasha-pc-karpal

Apa akan jadi dengan Nasharudin Mat Isa atau ustaz Nasha yang mencadangkan PAS keluar dari pembangkang kerana DAP menentang Hudud?’
Apakah beliau senasib dengan bekas Naib Pesuruhjaya PAS, Datuk Dr Hasan Ali yang dipecat ekoran kenyataan mengenai moral Datuk Seri Anwar Ibrahim?
Jika PAS sanggup mengorbankan Adun Gombak Setia itu kerana setianya parti itu kepada Anwar, tidak mustahil Nasha, ahli parlimen Bachok juga bakal jadi korban kerana sayangnya PAS pada Karpal.
Mungkin itu diharap-harapkan golongan Anwarinas dalam PAS yang berkiblatkan Ketua Pembangkang itu selepas mereka berjaya menyingkirkan Nasha daripada mengekalkan jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti tahun lalu.
Namun, untuk memecat Nasha yang sanggup berdepan Karpal di mahkamah demi mempertahankan kenyataannya bahawa pengerusi DAP itu anti Islam dan Hudud, bukan semudah PAS menamatkan keahlian Dr Hasan yang berbelas tahun setia kepada parti itu.
Nasha jelas memperjuangkan yang hak seperti ditegaskan dalam kenyataan sebelum ini bahawa beliau dididik dalam PAS bahawa ajaran Islam itu syumul merangkumi setiap aspek kehidupan.
“Di dalamnya ada akidah, perundangan dan akhlak. Menolak sebahagian dari Islam bermakna menolak Islam. Saya kekal dengan pendirian saya bahawa Karpal Singh anti Islam dan bersedia bertemu beliau di mahkamah,” – tegas Nasha dalam sms kepada Agendadaily minggu lepas.
Pasti ramai pemimpin PAS kini menantikan apa parti itu akan lakukan terhadap Nasha selepas tersiar gambarnya bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertemu pemimpin-pemimpin Islam di Mekah, Ramadhan lalu.
Ini termasuk Datuk Mahfuz Omar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta Pemuda PAS Terengganu yang kritis terhadap Nasha termasuk Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menegaskan ‘tidak hairan’ jika Nasha keluar parti menyertai UMNO.
Memang benar, ada pemimpin PAS melihat Nsha ibarat sampah dalam mata – boleh menghalang keakraban puak Anwarinas ini membenarkan PAS dikuasai Anwar dan DAP.
Bagaimanapun, dengan isu Karpal menolak Hudud dan dianggap anti Islam oleh Nasha, PAS terpaksa ‘menarik rambut dalam tepung’ dalam usaha menyelesaikan perkara ini.
Lagipun Nasha bukan bersendirian dalam perjuangan ini kerana sudah ada pemimpin PAS mulai bersuara.
Walaupun tidak menyatakan sokongan terhadap Nasha, tetapi kecaman terhadap Karpal menggambarkan bahawa ada pemimpin PAS tidak senang hati dengan tindak tanduk ahli parlimen Bukit Gelugor itu yang boleh mengancam parti berkenaan .
Contohnya, Timbalan ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz memberi amaran bahawa kritikan Karpal Singh berhubung pelaksanaan hukum hudud akan menyebabkan PAS kehilangan sokongan pengundi Melayu dalam pilihan raya akan datang.
Anak kepada Nik Aziz itu berkata, kenyataan pengerusi DAP itu memberi gambaran kepada masyarakat Islam bahawa DAP "tidak mesra Islam dan orang Melayu".
"Dari sudut sentimen, kelihatan Karpal Singh, melalui beberapa kenyataan terakhirnya, terlalu yakin DAP tidak memerlukan undi Melayu untuk menang selesa. Sama ada itu satu risiko yang boleh diserap oleh DAP atau tidak, tapi bagi saya hampir pasti boleh menjejaskan undi rakannya dalam Pakatan terutama PAS.
"Walaupun berhak atas nama hak bersuara untuk bercakap dan mengkritik, tetapi atas nama hak kesepakatan bersama pakatan juga perlu untuk tidak memanaskan isu yang 'setuju untuk tidak bersetuju', termasuk  perihal dasar perjuangan setiap parti.
"Sama ada kritikan beliau itu atas premis mempertahan sekularisme negara ataupun jahil mahupun keras pedal atau anti Islam, semua itu mendorong kepada andaian bahawa DAP tidak mesra agama Islam dan undi Melayu," kata Nik Mohamad Abduh.
Beliau mendakwa, kenyataan Karpal berhubung hudud sebelum ini juga bertentangan dengan pendirian bersama Pakatan Rakyat.
Sementara itu, ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan pula menyifatkan kenyataan Karpal yang terus mempertikaikan hudud "semakin keterlaluan" dan dijangka "bakal berdepan dengan kemarahan orang Islam".
"Saya saran DAP nasihatkan Karpal supaya tidak pertikai hukum hudud sekali gus jaga sensitiviti umat Islam serta hubungan baik sesama Pakatan," katanya.
Itu hanya sebahagian suara kecil dalam PAS yang sudah berbunyi kerana menyedari apa diperjuangan Nasha dan apa risiko jika Karpal terus bertegas minta ‘langkah mayatnya dahulu’ jika mahu dilaksanakan hukum Hudud.
Semestinya, PAS yang dijangka membincangkan isu kenyataan Nasha dalam mesyuarat Biro Politik parti itu yang dijadual pada Sabtu ini perlu rasional mencari penyelesaikan sama ada mahu menghadapkan Nasha kepada jawatankuasa tertinggi parti itu.
Sudah tentu PAS tidak boleh sewenang-wenangnya menunding satu jari kepada Nasha kerana tiga jari lagi akan menghala diri sendiri.
PAS juga tidak perlu lari topik apabila Nik Aziz cuba mengaitkan isu sama berhubung kenyataan pemimpin MCA yang turut menolak Hudud.
Barisan Nasional pasti ada cara penyelesaian terhadap isu itu tetapi sebagai parti yang sering mendabik dada kononnya memperjuangkan Islam,
semua mata umat Islam di negara ini tertumpu kepada bagaimana PAS mahu menyelesaikan kontroversi ini.
Setidak-tidaknya, Nasha sudah berjaya ‘menampar dan menutup mulut’ beberapa pemimpin PAS yang selama ini hanya tahu berkokok pasal Islam tetapi membenarkan tangan bergelumang najis apabila membiarkan sahaja Islam diperkotak katik demi nafsu mereka untuk menawan Putrajaya bersama Anwar.
PAS kini nyata tersepit kerana bagi Nasha, perjuangan menegakkan Islam tentu lebih besar berbanding PAS yang menjanjikan syurga tetapi perjuangan parti itu hanya memperalatkan agama semata-mata. -
OLEH ROSLAN BIAN

No comments: