Sunday, 24 June 2012

ANWAR...PULANGKAN..!!!!




NGO desak Anwar pulangkan RM3 bilion

KUALA LUMPUR 23 Jun - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berdepan dengan segala dakwaan salah guna kuasa dan didesak memulangkan semula wang sebanyak RM3 bilion yang didakwa diperoleh hasil tindakannya mengawal 20 akaun induk semasa berkhidmat dengan kerajaan.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, sekiranya dakwaan itu benar, Anwar telah melakukan kesalahan yang amat serius kerana ia membabitkan jumlah wang rakyat yang sangat besar.

"Negara kita mempunyai undang-undang, sekiranya Anwar melakukan salah guna kuasa dalam mengumpul kekayaan peribadi, beliau bukan sahaja patut dihukum tetapi memulangkan semula semua wang yang diambilnya.

"Saya melihat akuan bersumpah bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid sebagai satu tuduhan yang sangat serius kerana dia bukan bercakap tanpa asas," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada 1999, Abdul Murad membuat akuan bersumpah dengan mendakwa Anwar mengawal 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang yang bernilai lebih RM3 bilion.

Selain itu, bekas Pengarah Siasatan Badan Pencegahan Rasuah (BPR), Datuk Abdul Razak Idris dilaporkan membuat pendedahan beliau telah membuat akuan bersumpah membersihkan nama Anwar daripada dakwaan memiliki 20 akaun induk bernilai RM3 bilion atas permintaan Anwar yang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

Sementara itu, Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar berkata, Anwar perlu tegas dalam membersihkan namanya dan mengambil tindakan menyaman Abdul Murad serta Abdul Razak atas tuduhan yang dilemparkan.

"Bagaimanapun, sekiranya dakwaan itu benar, RM3 bilion bukan jumlah yang sedikit, wang sebanyak itu boleh disalurkan kepada banyak projek pembangunan termasuk di kawasan luar bandar," katanya.

Menurutnya, kepentingan awam perlu diutamakan dan tidak kira selama mana kes tersebut berlaku mana-mana wang rakyat yang telah 'digelapkan' perlu dipulangkan semula.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hubungan Luar, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Jayum Jawan berkata, kesahihan tuduhan tersebut perlu ditentukan melalui proses undang-undang.

"Kita perlu bersikap adil dan biar proses undang-undang berjalan sebelum ditentukan bersalah atau tidak dalam sesuatu tuduhan itu.

"Tetapi kalau didapati bersalah, sudah tentu wang berkenaan perlu dipulangkan semula," katanya.

Beliau menambah, dari segi persepsi umum, Anwar tidak dapat dilihat benar-benar bersih kerana Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu pernah didapati bersalah di mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara kerana kesalahan menyalahgunakan kuasa semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri.

No comments: