Monday 19 October 2015

GADIS KECEWA IBU MABUK CINTA AWANG HITAM...


Didada akhbar hari ini semakin kerap berita mengenai Awang Hitam, atau lelaki-lelaki kelahiran Afrika atau mana-mana negara luar yang menjadikan mereka lahir dalam genetik badan berkulit gelap. Bagi sesetengah orang, kulit gelap mereka begitu menjengkelkan. Namun ada juga yang menganggap hitam mereka hitam manis. Ada antara mereka yang datang ke negara ini dengan visa sebagai pelajar, dan ada juga yang masuk secara haram sekadar untuk mencari rezeki dengan menipu wanita Malaysia sebagai lubuk emas mereka.


Terlalu kerap jenayah cinta ini dikaitkan dengan Awang Hitam sehingga meninggalkan persepsi negatif dalam benak orang kita. Aku sendiri menganggap mereka ini sebagai sampah dan menyakitkan pemandangan. Tatkala terlihat kelibat mereka di mana-mana, mahu saja aku jegilkan mata dan mengherdik agar mereka pergi jauh dari negara kita yang harmoni ini. 

Itulah orang tua-tua kata, jangan terlalu membenci, ditakuti ia semakin dekat dengan kita. Pulang ke kampung halaman di Melaka, aku dikejutkan dengan berita yang ibu ingin berkahwin semula. Entah bila masanya ibu kesayanganku ini mempunyai teman lelaki, tidak pula dia nyatakan kepada kami adik beradik.
Sesungguhnya dia adalah seorang ibu dan wanita yang begitu tabah.

Aku dan tiga adik beradik perempuan lain dibesarkan dengan penuh disiplin oleh ibu berseorangan. Kakakku yang sulung adalah saudara tiri berlainan bapa. Bapa Kak Long berkahwin lagi selepas ibu melahirkannya. Dia yang tidak sanggup hidup bermadu minta diceraikan. Tiga tahun kemudian ibu berkahwin semula selepas jatuh cinta dengan seorang askar wataniah. Itulah ayah kandungku dan dua adik perempuan yang lain. Kehidupan kami pada mulanya begitu bahagia. 
Ibu terpikat dengan sifat maskulin ayah yang sentiasa mengambil berat dan wajah kacaknya yang menawan kalbu. Namun, itu semua tidak bertahan lama. Sikap panas baran dan acuh tidak acuh dalam menguruskan rumah tangga menjadikan hubungan kami sekeluarga berantakan. Ibu pula bukan jenis wanita yang sesuka hati boleh dipukul dan diperkotak-katikkan.

Dia yang bekerja sebagai pegawai rendah awam mempunyai pendapatan sendiri dan menganggap hubungan itu tidak perlu diteruskan. Dia tahu dia boleh menjaga kami adik beradik tanpa bantuan ayah. Namun, ayah juga tidak mahu mengalah. Rumah yang kami duduki kini adalah harta sepencarian ibu dan ayah dan sehingga kini ayah berkeras ingin mendapatkan semula rumahnya. Kecil hati kami adik beradik apabila mengetahui hakikat ayah yang lebih mementingkan harta berbanding kami. Sudahlah nafkah tidak dihulur, apatah lagi kasih sayang dan perhatian seorang bapa.

Kisah sadis keluarga kami tidak berhenti di situ. Entah apa dosa ibu dia diuji dengan cinta bersama lelaki 10 tahun lebih muda darinya. Aku yang ketika itu berusia 15 tahun tidak mengerti lalu membiarkan sahaja sesiapa yang ingin mendampingi ibu. Bagi mengelak fitnah, ibu berkahwin dengan lelaki yang ku kenal sebagai Ayah Zack. Ayah Zack begitu baik perilakunya.

Dia menjaga kebajikan kami serta membantu ibu dan kami ketika di rumah. Namun, masalah datang apabila emak kepada Ayah Zack tidak merestui perkahwinan ini. Bagai lembu dicucuk hidung, dia mengikuti setiap kata emaknya sehingga menjadi duri dalam perhubungan kami sekeluarga, terutamanya hubungan perkahwinan Ayah Zack dan ibu. Ibu yang tegas dengan prinsip hidupnya sanggup berpisah dengan ayah Zack yang sempat memberi dia sedikit rasa bahagia.

Tiga kali ibu melalui liku perkahwinan yang menyakitkan. Seperit mana hidupnya, dia tetap memberi kami sepenuh kasih sayang dan mendidik kami menjadi manusia berguna dalam hidup. Kak Long dan aku kini bekerja dalam bidang masing-masing manakala adik-adik perempuan kami berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti awam tempatan. Aku kira ibu sudah terlalu jelak dengan perkahwinan dan percintaan, lalu tegar hidup tanpa lelaki di sisi.

Namun, setiap wanita perlukan teman di sisi bagi berkongsi suka dan duka. Sunyi adalah musuh utama dan mungkin kerana itu ibu kembali berpacaran selepas 10 tahun diam tanpa cinta. Tetapi kecewa hatiku apabila lelaki yang dipilih kali ini adalah si Awang Hitam yang bernama Marcus. Lelaki tinggi dengan kulit gelap dan berbadan tegap melayan ibu dengan penuh hormat. Dia adalah pelajar yang menuntut di salah sebuah universiti swasta di Melaka.

Entah apa yang dipandang ibu akan Si Marcus ini. Sudahlah wang tiada, apatah lagi persepsi manusia terhadap golongan Awang Hitam yang hanya tahu menipu wang wanita. Ibu pula bukanlah seorang wanita yang terlalu kuat pegangan agamanya, walhal jika ingin berkahwin dengan pasangan berlainan bangsa dan agama perlulah diyakini ilmu agamanya bagi mengelak perkara serius berlaku seperti murtad dan lalai dalam mempraktikkan kewajipan sebagai umat Islam.

Jujur aku dan adik beradik yang lain berkeras melarang perhubungan ibu dan Marcus. Sudah tidak ada lelaki Melayu lagikah yang boleh dijadikan suami dan penyeri hati? Ibu menempelak perbuatan kami ini sebagai anak yang tidak mengenang jasa. Dia memberi contoh bapa-bapa kami yang tidak berperikemanusiaan dan hanya mementingkan diri sendiri.

Lelaki Melayu sudah tidak boleh diharap! Dendamnya terhadap bapa-bapa kami yang memperlekeh kasihnya terlihat jelas kini. Begitu dalam rajuk ibu kepada kami sehingga mengubah perhubungan rapat yang selama ini menjadi nadi kami sekeluarga. Sedih hati aku melihat dia berpaling setiap kali aku ingin berbual dengannya. Tiada lagi pelukan mesra dan sapaan manja. Apatah lagi ciuman kasih seorang ibu. Begitu besarkah kasih sayang ibu terhadap Marcus sehingga kami dilayan begini?

Suatu hari ketika kesemua keluarga berkumpul untuk kenduri saudara terdekat kami, ibu meminta ingin meminjam keretaku untuk ke bandar seketika. Selama ini, ke mana sahaja dia ingin pergi, akulah yang akan menjadi pemandunya. Ibu tidak begitu cekap untuk memandu, kerana itu aku tidak kisah membantu. Aku tawar diri untuk menghantar, namun dia menghalang. Ibu menyuruh aku membantu saudara mara yang lain. Entah mengapa ada gusar dalam perilakunya.

Diajukan soalan berkali-kali dengan siapa dia ingin berjumpa, keras dia cuba mengelak dari menjawabnya. Sah, dia ingin berjumpa dengan Marcus! Setelah rancangannya diketahui, ibu secara tiba-tiba membentak kasar. Tangisan dan rajuknya seakan anak remaja yang tidak diberi berjumpa dengan kekasih hati. Bingung kami melihat perilaku ibu yang kembali seperti anak kecil. Saudara mara pula berbisik di kalangan mereka mempersoalkan perilaku ibu.

Aku tidak pernah malu dengan apa yang berlaku, apa yang aku gusar hanya perasaan ibu. Berdosakah aku dan adik beradik sebagai anak menghalang percintaannya bersama Marcus? Anak derhaka kah kami membuatkan ibu bersedih? Kerap kami buntu untuk memikirkan penyelesaian kisah cinta ibu ini. Bimbang jika dibiarkan dia berkahwin dengan Marcus, pelbagai perkara buruk bisa terjadi seperti wanita berusia yang ditipu duit mereka atau dipaksa menjadi keldai dadah ke luar negara. 

Jika ibu berkahwin dengan Marcus, kami hilang hak ke atas ibu kerana sesungguhnya suami yang lebih berhak ke atasnya. Bagaimana pula jika Marcus itu orang baik yang mampu membuatkan ibu bahagia dan gembira? Apa yang menjadi masalah apabila kedudukan Marcus itu sendiri tidak diyakini. Dia yang tiada pekerjaan dan masih bergelar pelajar tidak mempunyai mata pencarian sendiri.

Mengapa pula dia boleh terpikat dengan ibu yang sudah berusia 50-an. Adakah cinta itu terlalu buta sehingga menutup mata ibu melihat kebarangkalian dia akan ditipu atau Marcus yang tidak mementingkan rupa paras dan usia dalam mencari teman sejiwa?

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Aku mengambil keputusan untuk berhenti kerja di Kuala Lumpur dan berpindah ke Melaka untuk tinggal bersama ibu. Aku tinggalkan segala keseronokan dan kebahagiaan yang aku ada di kota metropolitan itu dan tegar menemani ibu. Kini, hubungan kami semakin baik. Aku tidak tahu apa yang terjadi di antara ibu dan Marcus, namun aku berharap ia sudah pun berakhir.

Jika dulu ibu menjaga kami dari segala bahaya dunia, mengapa kini aku perlu meninggalkannya dan membiarkan dia masuk ke mulut buaya? Moga ibu kelak akan bertemu bahagia. Biarpun lewat, asalkan bahagia itu mampu untuk membawa ibu ke jalan yang lebih diredhai Allah. (Sumber EH!)


Gambar sekadar hiasan

No comments: