Friday, 7 August 2015

KE MANA MENGHILANGNYA SEMUT API PUTERI ???


Puteri yang selalu di kaitankan dengan skandal serta masalah moral sedang di perbaiki oleh ketua semasa. Namun kerap kali cerita kes tangkap khalawat melibatkan mereka-mereka ini. Kini masa buat puteri untuk berubah menjadi lebih baik sedang di uji. Harap tak ada lagi lah cerita-cerita tak baik berbanding baik kita boleh dengar dari puteri ni. Apa pun, tahniah buat Mas Ermieyati kerana cuba membawa puteri ke arah yang lebih Islamik walau pun banyak dugaan mendatang.


KELMARIN genap 14 tahun Pergerakan Pu­teri UMNO ditubuhkan. Da­lam politik usia itu dianggap masih mentah, tetapi tidaklah terlalu muda. Jika dinilai pencapaian Puteri yang digerakkan pada awalnya oleh Datuk Seri Azalina Othman Said hinggalah Datuk Mas Ermieyati Samsudin kini, nampaknya tidak banyak pencapaian pergerakan itu yang boleh dibanggakan.

Bermula dengan Azalina diikuti dengan Datuk Noraini Ahmad, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Mas Ermieyati, pencapaian dan perjuangan Puteri dilihat masih belum cukup mantap terutamanya dari segi menarik keahlian baharu serta memenangi hati orang muda.

Puteri yang ditubuhkan untuk menarik lebih ramai golongan wani­ta muda menyertai UMNO sekadar memperoleh kira-kira 380,000 ahli setakat ini. Memang tidak adil untuk membandingkan keahlian Pute­ri yang baharu berusia 14 tahun itu dengan Wanita UMNO yang telah lama ditubuhkan dan kini mempunyai lebih 1.3 juta ahli.

Puteri nampaknya masih bertatih untuk menarik golongan muda menyertai pergerakan itu. Beberapa gesaan dibuat sebelum ini daripada pemimpin kanan parti malah daripada Wanita UMNO sendiri supaya Puteri mempertingkatkan usaha menarik keahlian kerana pergerakan itu dilihat masih kurang agresif dalam mendaftar keahlian baharu.

Beberapa program mahupun kempen telah dilaksanakan Puteri bagi menarik keahlian seperti Prog­ram Gerak Mula Keahlian dan Operasi Daftar Pemilih. Begitupun usaha itu nampaknya tidak begitu berkesan dalam menarik golongan muda untuk mendekati pergerakan itu.

Di mana silapnya? Mengapa golongan wanita Melayu muda tidak melihat Puteri sebagai pergerakan yang mesti disertai untuk dijadikan platform dalam memperjuangkan agenda orang muda. Apakah mereka tidak tertarik dengan visi Puteri yang antara lain mahu mempertingkatkan jati diri orang muda serta menyerlahkan identiti wanita Melayu muda tanpa diskriminasi selain memperjuangkan isu-isu orang muda?


Mungkin bagi kebanyakan ge­nerasi muda, Puteri dianggap bukan sahaja tidak mewakili suara mereka malah gagal mendekati serta memahami aspirasi generasi muda. Mereka lebih tertarik dengan parti pembangkang yang dianggap lebih kritikal dan vokal. Ini yang diinginkan generasi muda masa kini yang terdedah de­ngan pelbagai maklumat menerusi media sosial dan Puteri dilihat gagal berperanan seperti itu.

UMNO mahukan penyertaan le­bih ramai golongan muda dalam parti sebagai salah satu langkah untuk meremajakan parti kerana mereka adalah pemimpin pelapis. Penglibatan orang muda dalam Pute­ri dianggap penting sejajar dengan visi pergerakan itu untuk bertindak secara profesional dan berani sekali gus menjadi landasan untuk wanita Melayu muda melibatkan diri secara aktif di dalam politik.

Seperti dinyatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin dalam catatan Facebook milik beliau sempena genap 14 tahun Puteri ditubuhkan. Beliau mahu agar pergerakan itu meneruskan usaha meremajakan UMNO dan berjuang bersama memartabatkan orang Melayu.

Seharusnya Puteri menghayati pesanan Presiden itu. Itulah yang seharusnya dilakukan iaitu menarik penyertaan golongan muda ke dalam UMNO untuk bertindak sebagai barisan hadapan yang mempelopori perjuangan wanita muda. Puteri harus dilihat sebagai pergerakan yang agresif, kritikal dan dinamik. Tetapi nampaknya Puteri yang dipim­pin Mas Ermieyati masih belum cukup mantap dan tidak membawa wadah perjuangan yang diharapkan itu. 

Mas Ermieyati dianggap sebagai ketua yang mengamalkan politik selamat, selesa dengan kedudukannya dan tiada keberanian untuk kehadapan dalam menangani isu-isu berbangkit.

Walaupun beberapa perubahan dan penambahbaikan telah dilaksanakan oleh Mas Ermieyati de­ngan merombak 23 biro pergerakan itu yang dikecilkan kepada 15 biro, masih belum menampakkan hasil. Rombakan yang diharapkan menjadikan Puteri lebih agresif dan tersusun mengatur gerak kerja nampak­nya tidak menunjukkan hasil yang diharapkan.

Mas Ermieyati harus melakukan sesuatu untuk menarik ge­nerasi muda kerana merekalah bakal pe­ngundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti. Pengaruh pengundi muda dalam perkembangan politik tanah air sangat penting terutama­nya apabila kebanyakan generasi muda kini menjadikan pelbagai isu politik mahupun isu sosial lain sebagai platform untuk menyatakan protes sama ada terhadap kerajaan mahupun parti menerusi media sosial.

Pengundi muda besar pe­ngaruhnya dalam menentukan ke­putusan pilihan raya. Kuasa pe­ngundi muda sebagai penentu keputusan pilihan raya amat besar. Ada kerusi-kerusi yang dimenangi pembangkang kerana undi golongan muda kerana mereka dipengaruhi dengan pelbagai maklumat terutamanya menerusi media sosial. Media sosial kini amat berpengaruh. Pembangkang menggunakannya untuk menyebarkan pelbagai pembohongan, fitnah dan maklumat salah tentang pelbagai isu.

Pujian patut diberikan kepada Mas Ermieyati yang menyedari hakikat itu, apabila mengumumkan penubuhan barisan Semut Api pada Perhimpunan Agung UMNO lalu iaitu jentera media sosial Puteri yang akan bertindak menangkis segala pembohongan, fitnah dan dakyah pembangkang dengan memberikan maklumat yang betul dan tepat kepada rakyat.

Begitupun Semut Api yang diwujudkan dan diharap akan menyengat itu, nampaknya tidak berperanan seperti yang dirancang. Malah, ada yang bertanya di mana Semut Api Puteri UMNO? Sepatutnya menerusi Semut Api, Puteri menggunakan media sosial sebagai pendekatan yang lebih segar dan menarik untuk mendekati orang muda dengan memberikan mereka segala maklumat yang diinginkan bagi memenuhi aspirasi dan rasa ingin tahu mereka terhadap sesuatu isu.

Malangnya ini tidak dilakukan oleh Semut Api. Semut Api sepatutnya berperanan membuka mata golongan muda supaya melihat agenda dan mesej kerajaan dengan positif - dengan menggunakan pendekatan yang berbeza dan tidak terlalu konvensional.

Semut Api seperti tidak dige­rakkan untuk memenangi hati ge­nerasi muda yang amat dekat dengan Internet dan aktif melayari pelbagai medium media sosial. Semut Api dikatakan akan menggunakan pendekatan yang lebih intelektual, lebih halus dan tidak emosi untuk tangani pelbagai isu berbangkit. Bertindak dengan bijak bagi menjawab segala persoalan secara profesional dan fakta yang tepat serta meyakinkan. Tetapi ini nampaknya tidak dilakukan oleh Mas Ermieyati dan jentera media sosialnya.

Menjadi tanggungjawab dan pe­ranan Puteri untuk pastikan gene­rasi muda kita bersih pemikirannya. Temui dan dekati orang muda - kemukakan bukti dan fakta yang tepat supaya mereka tidak mudah terpengaruh dengan propaganda yang direka pihak tidak bertanggungjawab ini.

Kalau Wanita boleh berbangga dengan Skuad Sayang, Pemuda UMNO dengan projek perumahan Rumah Transit 1Malaysia dan Barisan Nasional (BN) Youth Job Fair, bagaimana pula dengan Puteri? Apa yang boleh Puteri angkat sebagai program pergerakan itu. Apa legasi Puteri?

Puteri perlu ada keberanian luar biasa jika mahu terus relevan dalam UMNO mahupun kalangan orang Melayu khususnya generasi muda. Tidak boleh terlalu mengikut arus tetapi sesekali perlu menongkah arus - agar suara orang muda mendapat tempat.

Ada kalangan penganalisis politik berpendapat Puteri perlukan seorang ‘KJ’ bagi memastikan pergerakan itu kekal relevan. Mungkin ada benarnya pandangan itu. Ke­pimpinan Puteri perlu diterajui oleh seorang yang dinamik dan ada aura yang berupaya menyentuh hati orang muda.

http://www.utusan.com.my/rencana/di-manakah-semut-api-puteri-1.120564

Post a Comment