Thursday 19 March 2015

PENEMUAN 2 DOKUMEN BANDUAN DARI INDIA BONGKAR SEJARAH SEBENAR PENJARA MALAYSIA

Dokumen Dua Banduan India Bongkar Sejarah Penjara Malaysia
Penemuan dokumen mengenai dua banduan dari India untuk dipenjarakan di Pulau Pinang pada Mac 1790 membongkar sejarah sebenar penjara moden di Malaysia.

Ini secara rasmi membawa kepada penetapan Hari Penjara yang kini berusia 225 tahun berbanding 208 tahun sebelum penemuan itu.
Hasil kajian ini merupakan kerjasama antara Jabatan Penjara dan penyelidik daripada Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Pakar Sejarah UKM, Dr. Mohd Samsudin berkata, beliau sebenarnya diminta untuk membuat sejarah penjara secara keseluruhan tetapi selepas meneliti beberapa dokumen mendapati sejarah penjara moden sebenarnya lebih awal.
Beliau berkata, kajian itu melihat dari segi bila ia bermula dan siapa banduannya, yang akhirnya membawa kepada penemuan baharu dalam sejarah penjara moden di negara ini.
Dokumen Dua Banduan India Bongkar Sejarah Penjara Malaysia
Dokumen Dua Banduan India Bongkar Sejarah Penjara Malaysia
Menurut kajian yang dinamakan ‘Sejarah Penjara Moden di Malaysia’, Dr. Mohd menjelaskan bahawa Pulau Pinang diambil oleh pihak British daripada kerajaan Kesultanan Kedah pada 11 Ogos 1786.
Gabenor Jeneral India warga British, Charles Cornwallis mencadangkan supaya banduan di India yang menjalani hukuman penjara seumur hidup dihantar ke Pulau Pinang.
Dr. Mohd berkata, beliau meneliti dokumen-dokumen mengenai pembukaan Pulau Pinang oleh pengasas kolonial British, Francis Light yang sebenarnya juga mula menubuhkan sistem penjara di Tanah Melayu ketika itu.
“Dokumen-dokumen lain seperti sejarah pemerintahan British di India pada 1780-an di mana banduan-banduan India dihantar keluar ke Bengkulu, Sumatera di Indonesia dan Pulau Pinang.
“Kumpulan pertama banduan yang dihantar ke Pulau Pinang adalah Eyeno Deen Sheikdan (Ainuddin Sheidan) dan Mohamed Heiant yang ditempatkan di Kota Cornwallis, Pulau Pinang pada Mac 1790,” katanya dalam temuramah bersama mStar Online.
Menurut kajian itu, Pulau Pinang dijadikan ‘Penal Settlement’ apabila 700 banduan dari Kepulauan Andaman di India dipindahkan ke pulau itu pada 1791.
‘Penal Settlement’ merupakan undang-undang yang menjadikan sesebuah pulau sebagai tempat buangan (pada kebiasaannya diletakkan di pulau yang menyukarkan banduan untuk lari).
Askar India yang dikenali sebagai ‘sipahi’ pada zaman penjajahan dahulu dihantar oleh pihak British untuk menjalankan tugas mengawal banduan di Pulau Pinang.
Dr. Mohd yang juga merupakan Pengarah Muzium Warisan Akademik UKM berkata, dua banduan itu bukan sahaja menjalani hukuman penjara semata-mata tetapi turut digunakan sebagai buruh bagi membina infrastruktur dan membantu kegiatan ekonomi.
Katanya, pada peringkat awal banduan-banduan yang ditempatkan di Kota Cornwallis di dalam penjara yang diperbuat daripada batang nibong.
“Kemudiannya pada awal 1800, Penjara Cornwallis didirikan menggunakan konkrit, batu-bata dan keluli,” katanya sambil menambah nama Penjara Cornwallis sempena Charles Cornwallis.
Mengenai proses kajian, Dr. Mohd berkata, ia dilakukan selama kira-kira lima bulan bermula April 2014 kerana penyelidikan tersebut turut melibatkan sejarah penjarasecara keseluruhan.
“Antara bahan dan dokumen dalam kajian ini diperoleh daripada Arkib Negara terutama tentang aktiviti di penjara selain membuat lawatan ke beberapa penjara. Saya juga membaca diari-diari yang ditulis oleh para pegawai semasa pentadbiran negeri-negeri Selat,” katanya yang berkhidmat di UKM sejak 1988 dan mempunyai kepakaran dalam sejarah Malaysia, sejarah diplomatik, warisan dan pemuliharaan.
Dr. Mohd turut menghasilkan lebih 15 buku dan jurnal berkaitan sejarah selain melakukan banyak penyelidikan dan menjadi pakar rujuk sejarah, antaranya untuk Jabatan Arkib Negara.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Datuk Hassan Sakimon berkata, berdasarkan hasil kajian, satu pembentangan dibuat menerusi seminar khas ‘Sejarah Penubuhan Penjara Malaysia’ diadakan di UKM pada 16 Oktober 2014.
Menurutnya, pembentangan itu dipersetujui oleh pakar-pakar sejarah dan Jabatan Penjara secara rasminya menetapkan Mac sebagai sambutan Hari Penjara bermula tahun ini.
“Jabatan Penjara menetapkan 19 Mac sebagai tarikh yang sesuai untuk tujuan sambutan Hari Penjara berbanding Oktober yang dibuat pada tahun-tahun sebelum ini,” katanya.
Hassan berkata, pembuktian pakar sejarah sebagai tarikh bermulanya penjara moden di Malaysia menjadikan asas lebih kukuh ke arah pembentukan penjara sebagai agensi koreksional.
“Ini merupakan satu anugerah di luar jangka yang membuatkan warga Jabatan Penjara memberi komitmen tinggi dalam memastikan hala tuju jabatan sebagai institusi koreksional lebih efisen,” katanya sambil menambah jabatan itu mempunyai kira-kira 16,000 kakitangan di seluruh negara.
Susulan daripada penemuan baharu itu, Hassan berkata, Jabatan Penjara buat pertama kalinya menyambut ulang tahun sempena Hari Penjara Ke-225 pada 19 Mac ini (esok).
Sambutan itu akan diadakan di Pusat Latihan Pegawai Penjara Malaysia (Pulapen), Taiping dan bakal dirasmikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Tema Hari Penjara ke-225 adalah ‘Peneraju Perkhidmatan Korektif’ yang membawa pengertian tentang pentingnya fungsi Jabatan Penjara sebagai institusi pemulihan insan yang efektif dan berkembang selaras dengan perubahan semasa,” katanya.
Jabatan Penjara turut mengalu-alukan kehadiran orang ramai pada sambutan Hari Penjara yang akan menyaksikan Majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Asas Pengurusan Penjara melibatkan seramai 262 pelatih.
Antara pengisian lain ialah perbarisan kawalan kehormatan, penyampaian pingat, anugerah dan sijil penghargaan, persembahan ‘prison stopper’, pameran dan jualan produk penjara.
Sumber : Mstar
Lihat video-video menarik berkaitan artikel DI SINI

No comments: