Saturday 21 June 2014

KERAJAAN TIDAK PERLU TUNDUK PADA TUNTUTAN PUAK PEMBANGKANG YANG TIDAK PERNAH 'BERSYUKUR' !!!


Kerajaan dinasihatkan agar tidak `bagi muka’ kepada tuntutan pembangkang terutama Pakatan Rakyat (PR) kerana mereka memiliki sikap buruk yang tidak mahu berterima kasih kepada Kerajaan yang selama ini telah banyak memajukan negara.

Malah, mereka juga disifatkan tidak matang kerana enggan menyokong dasar dan program pembangunan yang dilaksanakan Kerajaan walaupun ia terbukti membawa banyak kebaikan kepada rakyat termasuk penyokong tegar PR sendiri.
Dalam erti kata lain, pakatan hanya mahu membantah, membangkang, mengkritik dan menghasut rakyat agar membenci dan mengajak rakyat menukar kerajaan sedia ada dengan pemimpin mereka.
Itu Teguran diluahkan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed dalam blognya semalam yang antara lain meminta kerajaan jangan lagi melayan tuntutan pembangkang pada masa hadapan.
Umumnya beliau berkata, sememangnya dalam amalan demokrasi di mana-mana negara di dunia, perlu ada pihak pembangkang yang tugasnya menegur pentadbiran Kerajaan.
Katanya, dalam demokrasi lebih matang, pembangkang sepatutnya menyokong Kerajaan pada masa-masa tertentu, tetapi kebanyakan amalan demokrasi baru (di Malaysia), pembangkang hanya mahu menentang Kerajaan sahaja.
“Ini disebabkan objektif pembangkang sebenarnya adalah untuk menjatuhkan Kerajaan dan untuk mengambil alih. Mereka sebenarnya tidak berminat dalam memperbetulkan isu-isu atau kesalahan yang Kerajaan lakukan. Mereka hanya mahu memburuk dan menjatuhkan Kerajaan,” ujarnya .
Menurut Dr Mahathir, adalah satu kesilapan bagi Kerajaan untuk memenuhi permintaan pembangkang.
“Menunaikan permintaan mereka tidak akan menyebabkan mereka menyokong Kerajaan. Pembangkang akan memastikan penyokong mereka tidak akan menukar sokongan kepada Kerajaan. Mereka akan terus memperkecilkan keputusan Kerajaan atau mencipta isu-isu baru,” katanya.
Sambil memberi contoh tindakan Kerajaan memansuhkan Akta Hasutan (ISA), Dr. Mahathir berkata, apabila Kerajaan berbuat demikian, pembangkang tidak mahu berterima kasih atau memuji dasar liberal Kerajaan.
“Sudah tentu mereka tidak akan menyokong Kerajaan walaupun tuntutan mereka dipenuhi. Sebaliknya serangan terhadap Kerajaan akan berterusan. Keadaan itu menyebabkan prestasi Kerajaan menjadi lebih buruk berbanding ketika ISA masih dikuatkuasakan,” tegasnya.
Katanya, langkah Kerajaan memenuhi tuntutan pembangkang menimbulkan kemarahan penyokong parti Kerajaan.
“ Mereka akan menganggap Kerajaan sebagai lemah dan akan menarik balik sokongan mereka,” ujar Dr. Mahathir.
Dalam kes ISA, beliau menambah, penguatkuasa undang-undang juga merasakan mereka telah dikhianati berikutan kadar jenayah yang dilaporkan semakin meningkat dan rakyat pula dipersalahkan.
Katanya, Kerajaan tidak mendapat apa-apa faedah (memenuhi tuntutan pembangkang) sebaliknya rugi kerana memberi keselesaan kepada puak pembangkang.
“Nampaknya Kerajaan masih lagi mahu memberi keselesaan kepada pembangkang, bukannya penyokong parti pemerintah. Kini terdapat satu usaha untuk mempersetujui permintaan pembangkang berkaitan isu meritokrasi,” katanya lagi.
Saranan Dr. Mahathir perlu diambil perhatian serius kerana Malaysia memiliki barisan pembangkang yang berkualiti rendah yang hanya tahu membangkang sahaja walaupun pembangunan yang dilaksanakan memberi manafaat kepada rakyat termasuk penyokong pembangkang.
Mungkin pembangkang sengaja tidak mahu keluar dari `kepompong’ yang hanya tahu membangkang apa saja yang datang dari blok Kerajaan walaupun mereka sedar perbuatan itu hanya menunjukkan kebodohan sendiri.
Rakyat juga memilih mereka untuk menjadi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri bukan semata-mata untuk menyalak dan membuat bising dalam Dewan Rakyat dan di jalan raya.
Jelasnya, saranan Dr. Mahathir amat wajar dan rakyat juga sepatutnya menjauhi pembangkang yang hanya mampu menjerit di jalan raya dan balai raya tetapi tidak membawa usul membina ke Dewan Rakyat. SUMBER

No comments: