Monday 7 April 2014

CITA-CITA BESAR T-TEAM INGIN MILIKI ANELKA


KUALA TERENGGANU : 

T-Team mungkin bukan sebuah pasukan besar dalam Liga Malaysia (Liga-M), namun kelab dari Terengganu itu nyata mempunyai cita-cita besar apabila cuba memancing bekas bintang penyerang Perancis, Nicolas Anelka (gambar)  untuk menguatkan cabaran pasukan mengadapi pusingan kedua Liga Super 2014.


Ketua Pegawai Operasi T-Team, Syarizan Mohd. Zain mengakui, pa­sukan itu sedang mengadakan perbincangan dengan ejen Anelka untuk mendapatkan khidmat pemain itu selepas dia dilepaskan oleh kelab Liga Perdana Inggeris, West Bromwich Albion, bulan lalu.

"Buat masa ini, kita sedang me­ngadakan perbincangan bersama ejen yang juga merupakan abang kepada Anelka.

"Kita berharap dapat mencapai persetujuan mengenai terma dan kontrak dengan bekas bintang ternama ini dalam masa terdekat kerana mengejar tarikh tutup perpindahan Liga Malaysia.

"Bagaimanapun, semasa perbincangan terdapat sedikit halangan terutama berhubung kewangan tetapi ia sama sekali tidak menghalang kami daripada terus mengejar untuk mendapatkan khidmat Anelka," katanya di sini semalam.

Syahrizan mengakui, usaha mendapatkan Anelka tidak mudah kerana pemain berusia 35 tahun itu turut dipikat oleh kelab Brazil, Atletico Maneiro, yang dibintangi bekas Pemain Terbaik Dunia, Ronal­dinho.

Begitupun, pihaknya menerima maklumat daripada ejennya bahawa pemain tersebut belum menandatangani apa-apa perancangan bersama kelab itu.

"Kita juga memperoleh maklumat bahawa beberapa kelab tidak dapat memenuhi permintaan gaji Anelka.

"Secara jujur, permintaan gaji yang diminta ejennya masih dalam jangkauan pasukan T-Team," katanya lagi.
Syahrizan memberitahu, pihaknya turut mempunyai rancangan lain jika Anelka mengambil keputusan untuk tidak menerima tawaran T-Team.

Pada zaman kegemilangannya, Anelka pernah menyarung jersi beberapa kelab gergasi Eropah seperti Arsenal, Real Madrid, Chelsea, Paris Saint-Germain, Liverpool, Manchester City, Fenerbahce dan Juventus.

Dia yang menyarung jersi Perancis pada Piala Dunia 1998 dan 2010 tidak disambung kontraknya oleh West Brom kerana kerana didapati bersalah menunjukkan isyarat anti-Yahudi dalam perlawanan menentang West Ham, Januari lalu. Utusan Malaysia

No comments: