Saturday 2 November 2013

LOKOMOTIF EKSPRES SENANDUNG LANGKAWI TERBAKAR


KUALA KANGSAR  - Lokomotif Ekspres Senandung Langkawi dari Padang Besar ke Kuala Lumpur terbakar di KM 133 Kampung Bendang Selinsing, Simpang Beluru dekat Kuala Kangsar di sini awal hari ini.




Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar Penolong Kanan Penguasa Bomba, Ismail Darus berkata, ketika kejadian pada 3.39 pagi itu, kereta api berkenaan membawa 13 gerabak dengan kira-kira 500 penumpang.
Sebuah jentera dengan sembilan anggota dari Kuala Kangsar dihantar ke tempat kejadian dan kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 6.15 pagi, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ismail berkata, keadaan gelap menyukarkan pihaknya mengenal pasti laluan ke lokasi itu menyebabkan mereka terpaksa berjalan untuk tiba ke tempat kejadian.
"Ketika kami tiba, pemandu tren dilihat cuba memadam kebakaran menggunakan alat pemadan api,” katanya.
Beliau berkata, kesemua penumpang dibenar berada dalam gerabak kereta api ketika proses memadam kebakaran dijalankan kerana kebakaran itu tidak merebak ke bahagian lain.
"Lokomotif yang terbakar dibawa ke Stesen Sungai Siput manakala gerabak yang telah dipisahkan serta penumpang dibawa ke Stesen Kuala Kangsar,” katanya sambil memberitahu tiada kecederaan dilapor. - Bernama  

No comments: