Wednesday 20 November 2013

HAPUS KERETA LAMA UNTUK ELAK EKSIDEN...??? SAHIH AKAI TINGGAL KAT JAMBAN !!!



HUTANG pinjaman kereta habis dalam tempoh 9 tahun, baru lega 3 tahun bebas hutang kena buat hutang baru lagi untuk beli kereta baru. Jika begitu sampai ke mati hutang tak habis-habis. Mengarut sungguh."


Itu antara banyak keluhan yang saya baca dalam laman-laman sosial berhubung kajian Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mengenai kereta melebihi usia 12 tahun tidak selamat dipandu di jalan raya.

Sememangnya dalam isu menangani kes kemalangan jalan raya, banyak pihak yang begitu prihatin dan amat bimbang tentangnya, maka timbullah macam-macam cadangan dan idea sama ada daripada MIROS sendiri, pemimpin-pemimpin parti politik, badan-badan bukan kerajaan dan perseorangan dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan.



Hakikatnya, kemalangan jalan raya terus meningkat walaupun sudah ada had laju yang perlu dipatuhi, sudah ada kamera perangkap had laju, langkah-langkah keselamatan diperketatkan seperti pemasangan tali pinggang tempat duduk belakang, pindaan undang-undang jalan raya dan lain-lain. Semuanya sudah ada. Tetapi apabila mengehadkan jangka hayat kereta di jalan raya tentulah ini sesuatu yang perlu diteliti sedalam-dalamnya.

Sebabnya, dalam kita mahu mengurangkan kos kerugian kerajaan yang bernilai RM9.1 bilion kerana kemalangan jalan raya sepanjang tahun lalu, kita sekali gus melibatkan kemampuan rakyat untuk menukar kereta baru setiap 12 tahun.

Sudah tentu golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang merupakan majoriti penduduk di negara ini akan terbeban. Ini kerana harga kereta di negara ini bukannya murah seperti di negara-negara maju. Membeli kereta bukanlah semudah dan semurah seperti membeli sebuah basikal.

Rata-rata skil gaji di negara ini pun terutamanya dalam sektor swasta masih di tahap rendah. Belum mencapai pendapatan seperti di negara-negara maju. Dengan kos sara hidup yang kian meningkat, cadangan ini sudah tentu sangat membebankan.

Bagi pesara pula, sudah pasti mengalami kesukaran untuk membuat pinjaman bank dan membayar ansuran kereta. Elok-elok di usia persaraan sudah bebas hutang, kena tanggung hutang kereta lagi. 

Hendak harapkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tak akan semuanya hendak dihabiskan untuk beli kereta. Kereta berusia lebih 12 tahun yang ada, yang masih baik keadaannya dan boleh dibawa ke mana-mana, hendak dijadikan apa pula di rumah? Mahu dijual sudah tentulah tak laku.

Sedangkan semua pun tahu tidak kiralah kereta apa pun yang dipandu, buruk atau baru, yang mewah atau kereta murah sekiranya pemandunya ‘kaki pecut’ dan mengamalkan pemanduan yang berbahaya serta tergopoh-gapah sudah tentu orang macam inilah yang menjadi segala puncanya.

Selain faktor pemanduan, soal penyelengaraan kereta seharusnya diberi penekanan. Jika kereta baru tetapi tidak diselenggara dengan baik, lampu signal rosak tidak diganti atau brek tidak berfungsi dengan baik misalnya, boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Kemalangan jalan raya yang membabitkan nyawa ini juga sering membabitkan bas, lori atau van. Ini selalu kita dengar dan baca di akhbar-akhbar. Jika kereta berusia lebih 12 tahun dikatakan tidak selamat, bagaimana pula dengan kenderaan-kenderaan komersial ini? Adakah satu hari nanti kenderaan kategori ini dicadangkan juga supaya tidak dibenarkan berada di jalan raya kerana sudah banyak membabitkan kemalangan jiwa?

Dan ramai juga tertanya-tanya sama ada MIROS mempunyai statistik khusus mengenai kereta berusia lebih 12 tahun yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Mujur Pemangku Menteri Pengangkutan semalam menjelaskan kementerian tidak bercadang melupuskan kenderaan berusia lebih 12 tahun.

Sememangnya soal keselamatan dan nyawa tidak boleh dikompromi. Jangan berkira sangat untuk hal-hal keselamatan, tetapi dapatkah diberi jaminan bahawa kenderaan baru akan membuat negara ini benar-benar bebas kemalangan dan sekali gus boleh mengubah sikap pemanduan kita? Oleh Fauziah Arof - Utusan

Teman kata : 

Sebulan yang lalu, AstroAwani telah menyiarkan artikel berkaitan dengan KEMALANGAN JALANRAYA. 5 fakta mengejutkan telah disenaraikan antara punca UTAMA kemalangan jalanraya.... Mari kita lihat apakah punca-punca tersebut.... ADAKAH USIA KERETA TERSENARAI SEBAGAI PUNCA UTAMA KEMALANGAN  JALANRAYA..????

1) Orang-orang yang obes lebih cenderung untuk mati dalam perlanggaran kereta
2) Telefon mudah alih mungkin bukan penyebab kebanyakan kemalangan kereta
3) Ciri-ciri keselamatan di dalam kereta mungkin tidak mengurangkan kemalangan jalan raya
4) Pemandu-pemandu kereta dipersalahkan bagi kebanyakan kemalangan penunggang motosikal
5) Para pemandu wanita Malaysia lebih marah tetapi kurang mengalami kemalangan berbanding lelaki

Baca seterusnya.... DI SINI

No comments: