Wednesday 20 November 2013

PAS ANCAM LETAK JAWATAN ANDAI TUNTUTAN DITOLAK

Muhammad Fauzi Yusoff (tengah) dan barisan kepemimpinan Pas Pulau Pinang menunjukkan surat tuntutan parti berkenaan terhadap Kerajaan DAP Pulau Pinang semasa sidang akhbar di Seberang Jaya, Pulau Pinang, semalam.
PERMATANG PAUH  -  Kontroversi baharu melanda pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang apabila parti sekutu, Pas secara terbuka mengancam akan melepaskan semua jawatan yang dipegang pemimpin parti itu dalam pentadbiran kerajaan negeri jika empat tuntutan mereka tidak dipenuhi.


Ancaman daripada Badan Perhubungan Pas Pulau Pinang itu dikemukakan dalam sidang akhbar oleh Timbalan Pesuruhjaya negeri, Muhammad Fauzi Yusoff di sini hari ini selepas beberapa surat yang dihantar kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak mendapat jawapan.

"Jika tuntutan kami tidak diambil serius, maka kami akan menarik diri dan meletak jawatan dalam apa jua tawaran atau posisi jawatan.

"Pas juga malah akan mengkaji semula kedudukan dalam pakatan pembangkang demi menjaga prinsip dan maruah parti," tegas Muhammad Fauzi.

Tuntutan itu, katanya, ialah memberi kuasa penuh tanpa sebarang campur tangan yang tidak wajar kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Datuk Mohd. Salleh Man dalam melaksanakan tugas beliau.

"Kami difahamkan terdapat campur tangan yang tidak wajar daripada Exco untuk menetapkan pelantikan ahli-ahli majlis, Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah MAIPP untuk sesi akan datang. Jika benar, ini satu tindakan yang bertentangan dengan etika dan sangat dikesali," katanya.

Ditanya adakah pemimpin yang dimaksudkan campur tangan itu merujuk kepada Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Malik Kassim, Muhammad Fauzi enggan mengesahkan namun menegaskan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

Pada masa sama Muhammad Fauzi memberi amaran tidak akan mengiktiraf mana-mana individu bukan daripada Pas yang dilantik secara politik ke dalam MAIPP tanpa melalui perbincangan dan persetujuan Pas negeri.

Pas yang selama ini seakan-akan dipinggirkan dalam pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang, kata beliau, turut menuntut supaya diberikan lebih 'kuasa' dan mahu sumbangan mereka dihargai.

Muhammad Fauzi berkata, Pas menuntut supaya bilangan ahli majlis dalam Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai untuk kuota Pas ditambah daripada dua orang untuk setiap kawasan menjadi empat orang.

"Permintaan tersebut mewakili suara akar umbi Pas di negeri ini dan wajar ditunaikan berdasarkan sumbangan Pas kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang selama ini," katanya.

Tambah beliau, Pas juga menuntut diberi kuasa penuh untuk memilih dan melantik Jawatankuasa Kerja Kampung di dua Parlimen dan enam di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya.

Tuntutan keempat Pas, katanya, ialah agar Pas diperuntukkan kuota ahli lembaga pengarah dalam anak-anak syarikat milik kerajaan negeri kerana sehingga kini tiada wakil parti itu yang dilantik.

Muhammad Fauzi menjelaskan, dalam mesyuarat pada 14 November lalu, kesemua sayap parti itu mahukan Pas lebih bertegas dengan sekutu mereka dalam Kerajaan DAP Pulau Pinang bagi memastikan peranan dan posisi seimbang dalam pentadbiran.

"Tuntutan ini selaras dengan slogan Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang diperkenalkan kerajaan negeri. Ketika ini Pas mendapati bahawa slogan berkenaan tidak dipraktikkan," jelasnya.

Muhammad Fauzi turut mendedahkan tindakan kerajaan negeri yang memutuskan sesuatu dasar tanpa membabitkan perbincangan dengan Pas menyebabkan mereka dilihat seperti boneka. Utusan

No comments: