Monday 25 November 2013

FITNAH ITU KEMBALI KEPADA PAS......

Konsert kumpulan rock & heavy metal Heart Attack sempena Muktamar PAS ke 59 di Dataran Stadium Malawati - sesuatu yang pasti akan menyebabkan ramai pejuang PAS terdahulu akan kena heart-attack - takbeer!!!

Salam 2 all.

Rasulullah saw bersabda:
Akan datang suatu masa dalam waktu terdekat ini dimana Islam tidak tinggal kecuali hanya namanya sahaja, tidak ada yang tinggal daripada Al-Quran kecuali huruf dan tulisannya sahaja. Masjid-masjidnya cantik dan megah, tetapi sunyi daripada petunjuk.

Ulamak mereka adalah yang paling jahat diantara makhluk yang ada dibawah langit, dari mereka (ulamak) ini akan muncul bermacam-macam fitnah, dan kepada mereka nanti kembali fitnah itu.
 Hadis riwayat Baihaqi

Saya pernah mengulas hadis ini berkaitan dakwaan Datuk Nik Aziz Nik Mat pada 28.03.2008 bahawa tidak perlu sambut maulidur-Rosul kerana katanya kelahiran Nabi Muhammad saw sama seperti Mat-Mat kampung di Kelantan.

Namun fitnah itu kembali kepada Datuk Nik Aziz apabila pada 27.01.2013 dia sendiri menyambut ulangtahun kelahirannya ke 82 dirumah Karpal Singh pada hari Ahad sewaktu kaum hindu menyambut Thaipusam (lihat entri bertajuk 'Fitnah Maulid' bertarikh 19.02.2013).

Pepatah Melayu ada menyebut - kata dulang paku serpih, ngata orang awak yang lebih!

Inilah yang dapat kita lihat berlaku didalam Muktamar Agong PAS ke 59 yang berlangsung mulai 22.11.2013 - 24.11.2013 di Stadium Malawati Shah Alam bagaimana banyak fitnah yang mereka lemparkan kepada orang lain kembali kepada mereka semula:

1. Konsert Rock: kita sudah banyak kali mendengar bagaimana Kerajaan dikutuk dan di maki-hamun kerana kononnya menganjurkan konsert rock dan pelbagai macam lagi program hiburan. Walaupun jelas penganjur konsert-konsert ini kebanyakannya adalah pihak swasta, namun yang mendapat maki-hamun ialah Kerajaan BN terutamanya UMNO.

Namun fitnah itu kembali kepada PAS apabila mereka sendiri menganjurkan konsert rock dan heavy metal pada malam sempena Muktamar Agong ke 59 di Dataran Stadium Malawati dengan menjemput kumpulan rock dan heavy metal Heart-Attack mengadakan pertunjukkan (gambar atas).

Sepanjang ingatan saya, UMNO sendiri tidak pernah menganjurkan konsert rock sempena Perhimpunan Agong UMNO. Tetapi PAS melakukannya. Dan apabila dibangkitkan oleh perwakilan dalam Muktamar, jawapannya cukup mudah - konon PAS mengambil sikap inklusif dengan menjemput kumpulan rock Heart Attack ini supaya boleh mendekati golongan muda, na'uzubillah!

Bukankah itu dasar machiavelli namanya, matlamat menghalalkan cara - the end justify the means? 

Demi mendapat sokongan dan undi daripada kaum belia dan anak muda, PAS sanggup menganjurkan konsert rock! Cuba bayangkan kalau UMNO yang melakukannya. Rasanya tak cukup kertas maki-hamun yang akan ditabur kepada UMNO!

Bak kata seorang perwakilan dalam Muktamar, 'apa yang PAS buat lagi teruk daripada UMNO!'.

2. SPR: bab SPR ini dah tak payah nak cakap. Berapa gantang punya fitnah, tohmahan dan maki-hamun dah dilempar ke SPR dan pegawai-pegawai SPR oleh pembangkang, rasanya tak cukup jari nak kira. Sampai dema sanggup buat demo, baring atas jalan, pecahkan kereta polis, sepak terajang pasukan keselamatan. Sampai tuduh 40 ribu Bangla dibawa masuk mengundi PRU-13!

Tau-tau dalam pemilihan PAS kali ini, kena balik batang hidung dema sendiri. Bayang kertas pencalonan pun boleh silap, sampai nama calon bertanding pun ghaib! Sampai boleh tangguh pulak pengundian ke hari lain. Bab nak umum keputusan jangan nak kata lah, siap boleh tangguh pengumuman pemilihan Naib Presiden sebab konon cerita ada pengiraan semula. Dan macam-macam cerita kita dengar mengenai proses pengundian dan pemilihan PAS kali ini.

Cuba bayang kalau yang buat tu SPR? Memang tak cukup bakul maki-hamun yang dilempar nanti. Malah ada antara mereka yang baru insaf dan sedar berkata 'sekarang baru kita tahu betapa susahnya SPR mengendalikan pilihanraya'.

Itu baru nak kendali lebih kurang 1,000 ribu lebih pengundi sahaja, pun dah kelam-kabut macam-macam cerita. Bayang SPR yang nak kendali lebih 10,000,000 juta pengundi!

3. Kroni: bab kroni ni memang dan berkajang-kajang kertas kita dengar tohmahan dan fitnah terhadap UMNO. Najib anak Tun Razak lah! Hishamudin anak Tun Hussein lah! Mukhriz anak Mahathir lah!

Tau-tau Mohd. Khalil anak Datuk Seri Hadi Awang dah jadi Timbalan Ketua Pemuda. Tau-tau Zaharuddin Muhammad menantu Datuk Seri Hadi duduk dalam AJK Pemuda Pusat. Tau-tau YB Nik Abduh anak Datuk Nik Aziz dok dalam AJK PAS PUsat.

Jangan salah faham yop. Saya kenal dema ni dan saya yakin mereka ni layak menduduki jawatan penting dalam PAS. Kalau nak banding dengan calon yang lain, rasanya dema bertiga ni jauh lebih berwibawa.

Maksud saya disini ialah janganlah kita menuduh orang cepat sangat. Sekarang dah balik ke batang hidung kita sendiri amacam? Kalau orang tuduh PAS mengamalkan kronisma disebabkan ini tentu mike marah bukan yop?

4. Ulama: sering kita dengar skrip bahawa hanya PAS sahaja yang membawa kepimpinan ulama. Hanya dengan PAS sahaja ulama dapat tempat. Ulamak UMNO dituduh sekadar tukang baca doa je, sekadar jadi khalifah tahlil je!

Tau-tau Mat Sabu menang jawatan Timbalan Presiden mengalahkan calon pro-ulamak Datuk Nik Amar, Timbalan Menteri Besar Kelantan. Tau-tau usul Dewan Ulamak supaya jawatan utama dalam PAS hanya diberi kepada ulamak ditolak.

Yang paling teruk, ada pulak suara sumbang yang dakwa kata-kata dan keputusan ulamak bukan wahyu yang wajib diikut. Dema lebih rela ikut Lim Guan Eng dan Anwar daripada ikut kata ulamak PAS!!!

5. Pimpinan Maksiat: teringat kisah Chua Soi Lek diangkat menjadi Presiden MCA. Yang peliknya UMNO yang kena maki-hamun. Konon bersekongkol dengan MCA yang mengangkat Presiden seorang pelakon porno! Tu tak masuk cerita Tan Sri Rahim Thamby Chik lagi. Tak cukup dakwat nak tulis yop.

Tapi bila kita tinjau balik dalam PAS, boleh tahan juga yop.Saya tidak bermaksud nak sebut nama atau jawatan disini, mike sendiri pun dah tau!


6. Sabah: UMNO dituduh menganak-tirikan Sabah. Konon BN/UMNO lintah darat yang menghisap hasil masyhul Sabah! Sebab itu dalam PRU-13 pembangkang malah berjanji akan berikan royalti 20% kepada Sabah jika menang PRU!

Tau-tau perwakilan Sabah daripada PAS Kawasan Kalabakan Mohd. Fazli Ahmad kata PAS langsung tidak memberi tempat kepada Sabah. Tidak ada pemimpin Sabah diletakkan di jawatan kanan dalam PAS. Malah kata Mohd. Fazli, UMNO lagi bagus sebab ramai pemimpin kanan dan kabinet daripada Sabah, termasuk Naib Presiden!

7. Hudud: sekali lagi PAS memainkan isu hudud. Saya lihat seolah-olah perjuangan PAS lain takde kecuali hudud. Adakah perjuangan Nabi saw hanya sekadar untuk laksanakan hudud?

Malah lebih teruk UMNO dipersalahkan konon menghalang dan melarang perlaksanaan hudud. Sedangkan hakikatnya ialah kuasa dan bidangkuasa hal ehwal Islam termasuk Mahkamah Syariah dan perlaksanaan hukum syari'e adalah dibawah bidangkuasa Negeri-Negeri. Persoalannya ialah kenapa setelah 22 tahun memerintah Kelantan hudud masih tidak dilaksanakan?

Tau-tau Ketua Hakim Syarie Kelantan membuat pengumuman baru-baru ini bahawa Mahkamah Syariah Kelantan sudah bersedia melaksanakan hudud. Tau-tau PAS pulak berkata belum cukup persediaan!


RUMUSAN

Sebenarnya kalau dilihat semula hadis Rasulullah saw diatas, apa yang disebut semuanya sudah terjadi kepada PAS.

Nama Islam yang ada pada nama parti sekadar tinggal label, serban dan jubah. Isi perjuangan termasuk Daulah Islammiyah sudah tidak ujud. Kepimpinan ulama juga sudah hampir ditalkinkan! Apa yang tinggal hanya nama sahaja Parti Islam SeMalaysia PAS!

Kata-kata mereka yang konon mahu mendaulatkan Negara Islam pun sekadar tinggal huruf sahaja; roh perjuangan sudah tidak ada. Yang dikejar sekarang ialah undi dan kerusi; yang diimpikan sekarang jawatan, habuan dan kedudukan; yang di idamkan sangat sekarang ialah mahkota Putrajaya!

Markas-markas PAS pun hanya sekadar gah dan megah. Perhimpunan mereka pun sudah buat di Stadium dan tempat-tempat hebat. Tetapi sudah hilang seri. Sampai konsert rock pun dah boleh dianjurkan sempena Muktamar Agong, na'uzubillah!

Kita berdoa semoga masih ada lagi mereka yang sayangkan Islam yang akan memperkasa dan mendaulatkan perjuangan Islam didalam PAS. Dalam keadaan sekarang, sememangnya untuk memperjuangkan Islam menurut Al-Quran dan Sunnah didalam PAS adalah seperti memegang bara api, dan akan dianggap pelik dan asing.

Itulah yang terjadi kepada Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Datuk Dr. Hasan Ali, Ustaz Hafiz Nordin, Norman Toha, dan ramai lagi mereka yang sudah melalui fitnah-fitnah tersebut.

Malah kalau dilihat daripada Muktamar Agong dan pemilihan pimpinan baru-baru ini, jelas terbukti bahawa PAS hanyalah sebuah parti politik, sebagaimana DAP, PKR dan lain-lain. Yang matlamatnya hanya satu - mendapat sebanyak mungkin kerusi untuk menang pilihanraya!

Walaupun saya tidak bersetuju dengan saranan Karpal Singh supaya label Islam pada PAS dibuang, namun pada saya itu sudah tidak perlu kerana label Islam yang ada pada PAS hanya sekadar itu - label!

Yang baik datang daripada ALLAH, salah dan silap yang ada adalah daripada kelemahan saya sendiri. Semoga ALLAH menjauhkan kita daripada sebarang fitnah, dan semoga ALLAH memelihara iman dan aqidah kita insya ALLAH. Amin ya rabbal 'aalamiin.

Wallahua'lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias!

ZULKIFLI BIN NOORDIN
Isnin
21 Muharram 1435
25 Nov 2013

No comments: