Saturday 28 January 2023

BEKAS PEGAWAI AMBANK MENGAKU GAGAL URUS AKAUN PERIBADI NAJIB

 


KUALA LUMPUR: Bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping, mengaku gagal menguruskan akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak apabila tidak berhubung terus dengan bekas perdana menteri itu berhubung transaksi dalam akaun miliknya.

Sebaliknya, saksi ke-41 pendakwaan itu berurusan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dengan mengesahkan transaksi wang keluar masuk serta penukaran wang asing yang dipersetujui.                                                     

Ging Ping ketika disoal balas peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram dihadapi Najib, mengakui berhubung dengan Jho Low walaupun tiada apa-apa secara bertulis yang memberi kuasa kepadanya untuk berbuat demikian.

Saksi itu juga bersetuju dengan Muhammad Shafee bahawa tiada apa-apa dokumen bertulis daripada Najib yang menyatakan bahawa Jho Low boleh berurusan dengan akaun terbabit.

Terdahulu, Muhammad Shafee berkata, terdapat banyak bukti yang menunjukkan saksi itu berurusan terus dengan Jho Low bagi mengesahkan transaksi dalam akaun anak guamnya dan mempersoalkan adakah saksi diberi kuasa untuk berbuat demikian.

Ging Ping bagaimanapun mengulangi keterangannya sebelum ini bahawa beliau kebiasaannya berurusan dengan Jho Low kerana ahli perniagaan itu memulakan pembukaan akaun bank peribadi Najib.

Saksi itu sebelum ini pernah memberi keterangan bahawa beliau juga akan berurusan dengan pemegang mandat akaun Najib yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International Sdn Bhd (SRC International), Nik Faisal Ariff Kamil.

Shafee: Bukankah itu satu kegagalan di pihak anda? Peraturan bank sangat ketat dengan perkara ini. Kenapa anda mengambil jalan mudah?

Ging Ping: Ya, ia adalah kegagalan saya

Ging Ping kemudian ditanya sama ada Najib diminta menandatangani sebarang borang yang menunjukkan bahawa bekas perdana menteri itu seorang yang terdedah secara politik (PEP) ketika membuka akaunnya, bagaimanapun berkata tidak pasti mengenai perkara berkenaan kerana ia membabitkan urusan cawangan.

Katanya, dokumen sedemikian tidak pernah ditunjukkan kepadanya ketika itu dan sewaktu siasatan kes, malah beliau juga tidak mempunyai akses kepada sistem akaun semasa Ambank.

Ging Ping seterusnya bersetuju dengan Muhammad Shafee bahawa beliau dan bank tidak memaklumkan kepada Najib mengenai transaksi wang berjumlah AS$800 juta yang masuk ke akaun peribadinya.

Muhammad Shafee: Adakah anda tidak memaklumkan kepada pelanggan anda (Najib) pada bila-bila masa dengan berkata, "anda tahu Encik PM, saya tidak selesa dengan jumlah ini, ia kelihatan tidak betul".

Ging Ping: Saya tidak memaklumkannya. Saya tidak fikir bank ada berbuat begitu.

Muhammad Shafee: Bank anda tidak memaklumkan kepada Najib bahawa ada apa-apa yang tidak kena?

Ging Ping: Tidak.

Ging Ping turut memberitahu mahkamah, khidmatnya di Ambank ditamatkan berkaitan dengan akaun Najib, bagaimanapun beliau tidak diberikan surat tunjuk sebab oleh pihak bank.

Muhammad Shafee kemudian meminta saksi membawa surat penamatan khidmatnya ke mahkamah apabila prosiding bersambung Isnin ini.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Berita Harian




No comments: