Wednesday 30 October 2013

HINA NABI MUHAMMAD SAW : BLOGGER DIBEBASKAN


Riyadh: Seorang penulis blog dibebaskan semalam, 20 bulan selepas dia ditahan kerana menyiarkan perbualan rekaan dengan Nabi Muhammad melalui Twitter.Rakan dan peguam Hamza Kashgari mengesahkan pembebasan berkenaan tetapi tiada sebarang kenyataan dikeluarkan kerajaan Arab Saudi.

Hamza melarikan diri dari negaranya ke Malaysia pada Februari lalu selepas catatannya di Twitter menimbulkan kemarahan orang ramai dan mencetuskan ancaman bunuh.

Dia diekstradisi kembali ke Arab Saudi beberapa hari kemudian sebelum dipenjara.

Rakan Hamza yang enggan dikenali berkata, pemuda terbabit dibebaskan pagi semalam.

Peguam hak asasi manusia terkenal, Abdulrahman Allahmi kemudian mengalu-alukan pembebasan penulis blog berkenaan melalui akaun Twitternya.

Arab Saudi dan negara lain di Teluk semakin sensitif terhadap kritikan kepada pemimpin kanan negara, kerabat diraja dan ulama.

Sebarang kenyataan tidak disenangi - terutama di media sosial - dianggap sebagai perbuatan murtad.

Seorang lagi aktivis hak asasi manusia Arab Saudi, Waleed Abu al-Khair dihukum penjara tiga bulan semalam kerana menandatangani petisyen membantah penahanan sekumpulan ahli politik reformis pada 2011.

Seorang kolumnis pula ditahan dua hari selepas menyokong kempen mendesak wanita dibenarkan memandu di negara berkenaan. -Reuters 

No comments: