Wednesday 4 September 2013

AWEERA 'TEBALKAN MUKA' AKAN JUMPA DENGAN JABATAN INSOLVENSI


"Apa yang telah berlaku ini memberikan pengajaran sangat besar buat diri saya. Walaupun ia berkaitan hutang lama, kesannya sampai bila-bila," ujar Vokalis kumpulan Mojo iaitu Aweera, 22, berkaitan pengisytiharan muflis terhadapnya baru-baru ini.

"Kejadian itu memberi pengajaran yang besar buat diri ini di mana saya tidak akan terpedaya dengan tawaran manis yang melibatkan pinjaman bank lagi pada masa akan datang.


"Selepas berita mengenai pengisytiharan saya muflis dipaparkan di media, saya harap orang ramai terutamanya golongan muda jangan mudah terpedaya dengan pelbagai skim pinjaman bank tanpa usul periksa.

"Lebih-lebih lagi apabila kita tidak memiliki kewangan yang stabil atau rasa tidak yakin untuk membayar semula hutang," kata Aweera atau nama sebenarnya Nasharul Aweera Noriyissham.

Tambah beliau, memang ia sangat peribadi. Apabila ia heboh dikalangan masyarakat dia memang rasa segan namun terpaksa tebalkan muka dan tabahkan hati. Apa yang mampu dilakukannya sekarang ialah berfikiran positif dan pandang ke hadapan serta mencari jalan keluar.

 

"Saya enggan ulas panjang tentang isu tersebut kerana akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Insolvensi mengenai hutang berkenaan," tambahnya seolah segan apabila ramai media mengajukan soalan tentang isu muflis itu.

Untuk info, Aweera berkata demikian ketika hadir ke majlis pelancaran lagu tema filem Vikingdom dan penyerahan anugerah platinum untuk Kumpulan Mojo sebanyak lima kali dari Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur.

Sebelum ini, nama bekas peserta finalis One In A Million 3 (OIAM3) itu menjadi hangat apabila dia diisytiharkan muflis sejak 11 Julai lalu dan namanya terpampang dalam notis di sebuah akhbar Ogos lalu. 

No comments: