JAKARTA - Sebuah pesawat 202 Bravo yang sedang mengadakan pertunjukan aerobatik di Bandung Air Show (BAS) 2012 di Pangkalan Udara Husein Sastranegara, Bandung terhempas pada Sabtu, mengakibatkan juruterbang dan pembantu juruterbangnya maut.
Pesawat itu jatuh di kawasan bangunan Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Angkatan Udara Tenter a Nasional Indonesia (TNI-AU). Mangsa yang terbunuh merupakan bekas pegawai TNI-AU.Jurucakap Kementerian Perhubungan Indonesia berkata kejadian berlaku pada kira-kira 11.42 pagi, iaitu lima minit selepas pesawat itu berlepas untuk persembahan aerobatik di pertunjukan udara itu.
Berikutan kejadian itu, pihak penganjur telah membatalkan acara pertunjukan udara seterusnya sebagai tanda berkabung.
Bandung Air Show 2012, satu daripada acara sambutan ulang tahun ke-202 Kota Bandung yang memasuki hari ketiga pada hari ini, diteruskan hanya dengan acara pameran.
Sejumlah 28 pesawat termasuk dari beberapa negara seperti Malaysia, Singapura, Filipina, Amerika dan Australia mengambil bahagian dalam acara pertunjukan udara yang dijadual berlangsung empat hari mulai 27 September. - Bernama
No comments:
Post a Comment