Wednesday 11 July 2012

RAKAN AMUK 'IMAM MAHADI' SAH BINI ORANG....!!!


Muhdalena Ahmad yang ditembak ketika mengamuk bersama seorang lelaki di Kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM) kelmarin dikatakan sangat taksub terhadap lelaki itu walaupun baru mengenalinya.

Suaminya yang enggan dikenali juga tidak menolak kemungkinan isterinya terkena ilmu hitam lelaki berkenaan, Khalil Afandi Hamid, 47, yang mendakwa Imam Mahadi. “Saya tidak sangka dia sanggup mengikutnya walaupun baru mengenalinya beberapa hari lalu. Muhdalena tidak pernah berperangai pelik, tetapi dua tiga hari lalu dia berkelakuan aneh dan amat taksub terhadap lelaki berkenaan,” katanya kepada pemberi-ta di pekarangan Hospital Putrajaya, semalam.

Dikawal ketat polis, Muhdalena, 28, dikawal rapi dua anggota polis wanita. Setakat petang semalam, tiada anggota keluarga dibenarkan menemuinya kecuali suaminya yang berkesempatan menyerahkan makanan kira-kira jam 1 tengahari.

Difahamkan, wanita berkenaan meninggalkan dua anaknya bersama ibu bapanya di Kota Damansara pada Ahad lalu dengan alasan ada urusan perlu diselesaikan dalam tempoh beberapa hari.

Dalam kejadian jam 2.30 petang kelmarin, Muhdalena cedera di peha kanan, manakala lelaki bersamanya, Khalil Afandi Hamid, 47, yang mendakwa Imam Mahadi mati ditembak.
Bapa Muhdalena pula berkata, beliau sekeluarga masih terkejut dan sukar menerima hakikat pembabitan anak mereka.

Ahmad Adam, 55, seorang peniaga nasi lemak, berkata beliau mengetahui kejadian itu selepas membaca laporan pembabitan anak keduanya itu di sebuah laman sosial.

“Saya hubungi telefonnya tetapi panggilan dijawab seorang anggota polis. Dia minta saya ke Balai Polis Putrajaya untuk memberi keterangan. Saya terkejut dan kecewa kerana walaupun dia belajar tinggi (lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) tetapi terjebak dalam kes itu.

“Walaupun tidak bersekolah agama sepenuhnya, dia memang belajar sedikit pasal Islam pada sebelah petang,” katanya.

Beliau ditemui ketika cuba melawat anaknya, ditemani isteri, Siti Marliah Marjunid, 55; anaknya sulungnya, Ariffin serta dua anak Muhdalena, iaitu Mohd Fariz Kharizmi, 2, dan Mia Ratisya berusia setahun lebih.

Bagaimanapun, mereka tidak dibenarkan melawat Muhdalena kerana difahamkan polis belum merekodkan keterangannya. Dia ditahan reman mulai semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 307, 427 dan 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Dalam perkembangan berkaitan, jenazah Khalil dihantar ke Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 2 pagi semalam untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk pengebumian.

No comments: