Monday, 25 June 2012

HARGA IKAN NAIK MENDADAK...!!


Nelayan kurang ke laut disebabkan faktor musim tenggara 
KUALA TERENGGANU: Harga ikan kembung, selayang, bawal dan kerisi yang melambung tinggi menyebabkan pengguna di bandar raya ini mengeluh kerana tidak mampu menanggung kenaikan harga.

Tinjauan Berita Harian mendapati ikan kembung kini dijual antara RM15 dan RM16 sekilogram (sekg) berbanding RM10 sebelum ini, selayang dari RM7 kepada RM10 sekg, ikan tongkol daripada RM8 ke RM12 sekg dan ikan kerisi dari RM8 kepada RM14 sekg.
Peniaga yang ditemui berkata, kekurangan bekalan berikutan nelayan tidak turun ke laut kerana faktor musim tenggara menyebabkan mereka terpaksa menjual ikan pada harga tinggi. 

Suri rumah, Fatimah Abu Bakar, 48, berkata beliau terkejut apabila diberitahu ikan kembung yang mahu dibeli berharga RM16 sekg, berbanding RM10 sekg sebelum ini. 

“Suami hanya bekerja sebagai pemandu van dan perlu menanggung lima anak bersekolah. Kalau begini mahal harga ikan, golongan berpendapatan rendah seperti kami rasa terbeban. 

“Jika masalah ini berlarutan, nampaknya kami terpaksa makan berlaukkan sayur saja. Mana mampu hendak keluar belanja dapur semahal ini setiap hari,” katanya. 

Pembantu tadbir, Hashimah Mohd, 55, berkata, kenaikan harga ikan yang terlalu tinggi sangat membebankan pengguna, terutama keluarga yang mempunyai bilangan anak ramai dan berpendapatan rendah. 

Peniaga di Pasar Besar Kedai Payang di sini, Salim Kadir, 42, berkata masalah kekurangan bekalan hasil laut berlaku sejak minggu lalu dan terpaksa mendengar rungutan pelanggan yang terkejut dengan kenaikan mendadak harga ikan.

“Sebagai peniaga, kami tidak mampu berbuat apa-apa kerana kami juga membelinya daripada pemborong pada harga mahal. Kami kasihan dengan pembeli, tetapi kami tiada pilihan,” katanya. 

Seorang lagi peniaga, Mohd Luqman Mostapar, 21, berkata, jika keadaan itu berterusan, beliau terkejut dimaklumkan pemborong harga pelbagai jenis ikan naik antara RM2 hingga RM6 sekg. 

“Tidak tahulah sampai bila masalah ini akan berlarutan. Kami harap pelanggan memahami situasi ini dan kami bukan sesuka hati menaikkan harga ikan. Namun, ikan yang kami jual juga berpatutan dengan kualiti ikan yang masih segar,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri, Ghazali@Suhaimi Muhammad berkata, hasil pemeriksaan mendapati kenaikan harga ikan itu tidak dapat dielakkan kerana masalah kekurangan bekalan. 

“Apabila masalah bekalan berkurangan, kenaikan harga pasti akan timbul. Justeru, kita sedang berbincang dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk membuat kajian bersama mengapa barangan bahan mentah di negeri ini terlalu mahal, sekali gus mencari penyelesaiannya,” katanya.

No comments: