Monday, 25 June 2012

FITNAH DALAM HARAKAH : SPR BUAT LAPORAN POLIS


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini membuat laporan polis berhubung fitnah yang dilemparkan terhadap badan bebas itu yang disiarkan dalam akhbar rasmi PAS, Harakah (Bil.1750. 21-24 Rejab 1433/11-14 Jun 2012).
Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria, berkata laporan polis dibuat bagi menjaga nama baik dan integriti SPR sebagai sebuah badan bebas yang ditubuhkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Ia juga bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan bagi memastikan tiada mana-mana pihak dengan sewenang-wenangnya melemparkan dakwaan dan tuduhan yang memfitnah SPR,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Akhbar itu menyiarkan laporan mengenai pengakuan Zulkifli Ismail yang mendakwa satu nama boleh mengundi di semua unit pusat pusat mengundi dan mendakwa dia pernah mengundi dua kali pada pilihan raya umum tahun 80-an di dua pusat pengundian di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang dan Kunci Air Tanjung Karang, Selangor.
Laporan itu turut memuatkan kononnya pada pilihan raya umum 2008, tiga rakan Zulkifli yang tidak dinamakan, tidak dapat mengundi disebabkan nama mereka sudah digunakan oleh orang lain.
Zulkifli turut menuduh dan mendakwa SPR telah mengeluarkan kad pengenalan palsu dengan menggunakan nama orang lain dan gambar orang yang akan mengundi.
Selain itu SPR juga didakwa menggunakan nama pengundi yang telah dikenal pasti tinggal di luar negara dan tidak balik untuk mengundi.
Zulkifli juga mendakwa daripada sumber maklumat yang diperolehnya, kad pengenalan (MyKad) palsu telah dibuat di sebuah kilang di Klang, Selangor dan cip dalam pengenalan itu adalah dari China. – BERNAMA

No comments: