Saturday 12 May 2012

PART 4 - SURAT TERBUKA TAMRIN TUN GHAFAR UNTUK YAB PERDANA MENTERI



14. ROYALTI MINYAK

YAB Dato’ Sri,

Dalam isu royalti minyak untuk rakyat Kelantan, saya amat kagum dengan ketegasan Tengku Razaleigh Hamzah yang menegaskan rakyat Kelantan berhak memperolehi royalti minyak itu sebagaimana yang telah dinikmati oleh Sabah dan Sarawak.

Tindakan YAB Dato’ Sri enggan memberikan royalti minyak sebagaimana yang termaktub dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan menggantikannya dengan wang ihsan, bukan sahaja menunjukkan sikap pilih bulu terhadap rakyat Kelantan tetapi juga menganiaya mereka yang rata-ratanya berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Adalah sesuatu yang amat menghairankan jika peruntukan dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang ditandatangani oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan beberapa yang lain semasa Allahyarham Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri yang memperuntukkan royalti minyak sebanyak 5 peratus diberikan kepada negeri-negeri yang mengeluarkan minyak seperti Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan tidak dihormati.

Bukankah rakyat Kelantan juga adalah rakyat negara ini? Apakah rakyat Kelantan tidak dikenakan membayar cukai seperti orang lain? Mengapakah mereka dianak-tirikan semata-mata kerana faktor politik?

Baru-baru ini saya ke Kota Bharu bersama Tengku Razaleigh Hamzah. Saya amat hairan mengapa pemimpin-pemimpin UMNO Kelantan termasuk Datuk Mustapa Mohamed dan Datuk Dr Awang Adek Hussain serta pemimpin UMNO Bahagian-bahagian bermati-matian menentang Pas yang berjuang bertahun-tahun lamanya untuk mendapatkan royalti minyak bagi rakyat Kelantan. Di manakah perjuangan UMNO untuk rakyat sebenarnya?

Mereka sepatutnya berasa malu mengaku berjuang untuk rakyat Kelantan, termasuk berkempen rumah ke rumah sedangkan apa yang sebenarnya mereka lakukan bukannya untuk rakyat, sebaliknya lebih kepada kepentingan peribadi.

Bermula dengan Terengganu apabila UMNO/BN dibawah pimpinan Tun Mahathir tidak dapat menerima kekalahan di sana, maka royalti minyak telah diberhentikan dan digantikan dengan ‘wang ihsan’ sehingga ke hari ini. Ini kerana kerajaan Pas dibawah pimpinan Tuan Guru Haji Hadi Awang ketika itu telah membawa kes tersebut ke mahkamah dan seperti biasa, mahkamah atas sebab-sebab yang kita semua ketahui telah melengah-lengahkan kes perbicaraan tersebut sehingga kini.

Kini trend yang sama diguna pakai oleh YAB Dato’ Sri. Sepatutnya YAB Dato’ Sri TIDAK mengikuti jejak langkah Tun Mahathir yang rata-rata rakyat di sana mengatakan tidak mempunyai perasaan dan hati perut. Mereka mempersoalkan di mana sumpah janji YAB Dato’ Sri “rakyat didahulukan” melainkan YAB Dato’ Sri, Dato’ Mustapa Mohamed, Datuk Awang Adek Hussain, Datuk Fatmi Che Salleh dan pemimpin-pemimpin lain menganggap negeri Kelantan bukan sebahagian dari negara ini.

Jika wang ihsan ini lebih menguntungkan rakyat dari royalti minyak, mengapa tidak diselaraskan saja wang ihsan ini termasuk untuk Sabah dan Sarawak?

Dato’ Mustapa Mohamed hanya bernasib baik di Jeli kerana terdapat kem tentera (undi pos) yang telah memberi kemenangan kepada beliau.

Semasa Tengku Razaleigh Hamzah selaku Presiden Petronas menandatangani Akta Kemajuan Petroleum 1974 dengan negeri-negeri, YAB Dato’ Sri hanya seorang junior officer yang ditempatkan di pejabat Presiden Petronas ketika itu.

Jika YAB Dato’ Sri sanggup meminta maaf kepada rakyat Kelantan dan memulangkan HAK mereka sebagaimana yang diperjuangkan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Haji Nik Aziz Nik Mat dan Tengku Razaleigh sendiri, saya percaya negeri Kelantan juga akan dapat dibangunkan dengan lebih maju lagi seperti negeri-negeri lain. Perkara ini boleh YAB Dato’ Sri lakukan semasa lawatan rasmi ke Gua Musang pada 04hb Mei depan.

Mengikut pengalaman, pasti selepas saja YAB Dato’ Sri membuat pengumuman seperti yang dicadangkan ini pemimpin-pemimpin UMNO dan BN di semua peringkat terutamanya di Kelantan akan mendabik dada mengataka perjuangan mereka selama ini telah berhasil. Akhbar-akhbar khasnya Utusan dan Berita Harian serta stesen radia dan TV akan memberi headline sensasi seperti “Najib Pemimpin Rakyat Sebenarnya” dan lain-lain tajuk lagi.

15. DEBAT DENGAN DATUK SERI ANWAR IBRAHIM

YAB Dato’ Sri,

Sekarang ini di mana-mana orang mempertikaikan kewibawaan YAB Dato’ Sri berikutan keengganan untuk menyahut cadangan Merdeka Centre berdebat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan pengurusan ekonomi negara. Dalam perkembangan tamadun manusia, debat sebenarnya sudah diterima sebagai salah satu kaedah untuk menguji kebijaksanaan seseorang. Sebab itulah di beberapa negara maju seperti AS misalnya, kaedah debat dalam pemilihan Presiden negara itu begitu popular dan dinanti-nantikan bukan saja oleh rakyat Amerika, malahan di seluruh dunia.

Di sekolah dan pusat pengajian tinggi juga debat sudah menjadi acara tahunan yang dipertandingkan sejak sekian lama untuk menguji kehebatan dan kecerdikan seseorang.

Dalam isu debat antara YAB Dato’ Sri dengan Datuk Seri Anwar, ia bukan saja medan untuk menguji kewibawaan, kecerdikan dan kepetahan masing-masing dalam melontarkan idea dan perancangan untuk kepentingan negara tetapi ia juga akan memberi peluang kepada rakyat untuk menilai secara objektif dan matang tawaran-tawaran manakah yang lebih baik untuk kepentingan rakyat dan negara.

Debat sama-sekali tidak bermaksud untuk melihat siapa yang kalah dan siapa yang menang tetapi melalui lontaran idea yang dicurahkan, ia mampu memberi ruang yang lebih baik untuk rakyat membuat pilihan serta pertimbangan dalam PRU 13 nanti.

Selain Amerika Syarikat, Great Britain dan Negara-Negara Eropah – Indonesia dan Thailand pun mengamalkan debat. Di Malaysia pula, rakyat begitu mengalu-alukan debat antara MCA dengan DAP serta Khairy Jamaluddin dengan Rafizi Ramli yang diadakan baru-baru ini dan debat antara Datuk Seri Anwar dengan Datuk Ahmad Shabery Cheek tidak berapa lama dulu. Rakyat juga tentunya tidak lupa debat yang pernah berlangsung antara Tun Dr Mahathir dengan Allahyarham Fadzil Noor suatu ketika dahulu.

Dalam isu debat ini, Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor sendiri pernah menyatakan kesediaan untuk mengaturkan debat itu.

Malahan Datuk Ariff Sabri Abdul Aziz, bekas wakil rakyat Pulau Manis dan Ketua Penerangan UMNO Pekan dalam blognya Sakmongkol AK47, mempersoalkan jika tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan, mengapa YAB Dato’ Sri selaku ketua kerajaan sering berdolak-dalik untuk menghadapi debat ini.

Lupakah apa yang YAB Dato’ Sri pernah kata tidak berapa lama dulu iaitu jika debat ini diadakan ia akan pasti memalukan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini kerana selaku Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri mempunyai banyak dokumen dan sekian ramai pegawai yang akan membantu YAB Dato’ Sri.

Yang anehnya, dalam masa yang sama YAB Dato’ Sri terus mengelak walaupun Datuk Seri Anwar telah menerima tawaran Merdeka Centre itu malah sanggup memberi “extra time” kepada YAB Dato’ Sri sewaktu debat nanti.

Walaupun sudah meninggalkan UMNO, namun beliau tidak mahu YAB Dato’ Sri dilabel dalam sejarah sebagai seorang Perdana Menteri yang amat penakut dan pengecut.

Lagi pula, berdasarkan kajian Merdeka Centre, didapati 76 peratus generasi muda mahukan debat itu diadakan. Ini tentunya memberi maksud bahawa sekiranya YAB Dato’ Sri dapat menunjukkan keberanian menyahut cabaran debat itu, saya percaya undi dan sokongan generasi muda secara majoritinya akan tertumpah kepada UMNO dan BN dalam pilihanraya umum akan datang ini.

BERSAMBUNG  KE PART 5 - TERAKHIR...........................

4 comments:

Anonymous said...

Tamrin cerminkan diri dulu,semasa kegemilangan ayahanda awak dulu,awak pun tumpang juga tepiasnya,banyak hutan-hutan balak di Pahang yang awak dapat tetapi awak tidak tahu berniaga,ingat benda macam ini boleh dapat bereterusan.Sekarang bila kantong kering mulalah membuat macam2 teori menghentam kepimpinan semasa.Sudahlah Tamrin,simpanlah tamborin awak tu.

Anonymous said...

wah... byk betul kesalahn PM yg dia listkan. dia tak ingatke.. mcm mana bapak dia dulu tumbang gara2 Anwar main politik wang...bwk RM berbeg2 ke pwtc utk dptkan undi perwakilan...!!!

Anonymous said...

tak kenang budi...anwar penyebab politik wang..

Anonymous said...

Who are you Tamrin to expose all the bad things about PM? It carries no weightlah Tamrin ,better joint and speak on the DAP/PKR's platform, who knows next PRU 13 you will be the next Chief Minister of Melaka.