Saturday 12 May 2012

BEKAS KETUA PENULIS BLOG BARACK OBAMA PUJI PENDEKATAN NAJIB


KUALA LUMPUR: Sam Graham-Felsen, bekas ketua penulis blog Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, memuji langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, meraikan rakan internet beliau pada majlis sarapan dan jamuan petang sebagai sebahagian daripada pendekatan baru untuk mendampingi pelbagai kumpulan masyarakat di negara ini. 

Graham-Felsen yang berkhidmat sebagai penulis blog Obama pada pemilihan presiden 2008, berkata Obama juga mengamalkan pendekatan serupa iaitu melalui "Dinner with Barack".

"Majlis makan malam adalah peluang terbaik bagi orang biasa untuk berkongsi pengalaman dengan presiden dan saya rasa (menjadi hos sarapan dan jamuan teh) adalah langkah yang cukup baik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada majlis makan tengah hari bertajuk "Daripada Satu Klik Kepada Satu Gerakan: Bagaimana Media Sosial Mengubah Organisasi Anda dan Dunia" di sini, hari ini. 

Ceramah itu dianjurkan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) sempena sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa 2012. 

Graham-Felsen berkata demikian ketika diminta mengulas majlis sarapan yang dihoskan Najib bagi empat pengikut Twitter beliau di Chawan Restaurant di Bangsar, di sini hari ini. 

Beliau berkata, pertemuan seperti itu juga akan memberi peluang kepada pemimpin untuk mendengar keluhan dan sungutan orang kebanyakan. 
Sementara itu, beliau berkata walaupun pengikut media tradisional mengalami penurunan ketara, imbangan yang mantap antara media tradisional dan media baru perlu ada. 

"Media tradisional masih alat pemujukan penting berbanding media baru, manakala saluran tradisional pula perlu mengguna pakai platform lebih bersifat interaktif untuk membolehkan orang ramai, khususnya golongan belia, menyumbang pandangan mereka," katanya. - BERNAMA

No comments: