PENUTUP
YAB Dato’ Sri,
Kemarahan rakyat, terutamanya generasi muda ialah kerana UMNO dan para pemimpinnya didapati sudah menyimpang jauh daripada landasan perjuangan asal sehingga amalan rasuah, skandal, boros dan berbelanja mewah menjadi darah daging. Sebagai orang UMNO, saya amat malu mendengar label baru terhadap parti kita iaitu “UMNO itu rasuah dan rasuah itu UMNO” umpama aur dan tebing serta lagu dan irama yang tidak boleh dipisahkan.
Oleh kerana marah yang teramat sangat, ada pula yang mengatakan “mengundi UMNO dan BN serupalah memberi talian hayat untuk pemimpin-pemimpinnya terus merompak kekayaan negara.
UMNO adalah umpama sebuah bantera yang di suatu ketika dahulu banyak berjasa. Nakhoda demi nakhoda dan anak-anak kapal pula ketika itu telah berjaya mengemudikan bahtera tersebut ke destinasi yang dirancang dengan selamat. Malangnya oleh kerana dek telan zaman, bahtera tersebut mulai reput, bocor dan kain layarnya pun mulai koyak dan berlubang-lubang. Anai-anai pula bermaharajalela. Tambah pula nakhoda dan anak-anak kapalnya pula tak ubah seperti cerita “The Pirates of the Carribbean”. Makin hari makin teruk keadaannya, tak ubah seperti warga emas yang menghidap seribu satu macam penyakit yang tidak mampu lagi diubati dan menunggu masa saja untuk ditalkinkan.
Terharu benar rasanya melihat bahtera yang dibina begitu indah dan gagah oleh pejuang-pejuang yang telah pergi sedang melalui proses putaran alam yang serupa. Inilah keadaan UMNO/BN hari ini.
Ada yang berhujah mengapa tidak kita ahli-ahli UMNO membantu menyelamatkan kapal (UMNO) yang hampir tenggelam ini.
YAB Dato’ Sri,
Sebagai contoh, beberapa kali apabila Tengku Razaleigh Hamzah menawarkan diri untuk membantu menyelamatkan UMNO, usaha murni beliau itu telah disekat dengan pelbagai cara dan helah; dengan ‘nasihat’ dari Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri kepada pemimpin-pemimpin bahagian UMNO, dengan menabur pelbagai janji dan akhirnya dengan membeli mereka. Akhbar-akhbar pula begitu bermurah hati memberi ruang yang seluas-luasnya menghina beliau dengan kata-kata kesat dan sinis seolah-olah beliau adalah pengkhianat bangsa. Pemimpin UMNO Kelantan pula begitu lantang mengatakan beliau adalah pemimpin ‘has been’, tidak relevan dan berbagai lagi.
Tetapi apabila menghadapi pilihanraya keil Galas, akhbar-akhbar yang sama menyiarkan di muka hadapan puji-pujian pemimpin UMNO khasnya pemimpin-pemimpin UMNO Kelantan yang pernah mengkritik beliau di satu ketika dahulu. Kata mereka, Tengku Razaleigh ialah pemimpin berkaliber yang paling layak mengetuai jentera pilihanraya UMNO/BN di sana sehingga ada pula yang mencadangkan beliau dinamakan sebagai calon. Pendek kata kuli tangan Tengku Razaleigh menjadi haus kerana ciuman ahli-ahli UMNO ketika itu. Begitu melangitnya pujian sehingga beliau sendiri merasa ‘syok’.
Menang saja pilihanraya kecil itu tidak ada sepatah pun ucapan terima kasih kepada beliau dari pemimpin-pemimpi UMNO. Sekali lagi beliau dipinggirkan. Apabila beliau melancarkan AMANAH, Timbalan Perdana Menteri terus mempersoalkan tindakan itu.
Sekarang oleh kerana nak merampas semula Kelantan dari Pas, sekali lagi Tengku Razaleigh akan digunakan. Tiba-tiba saja Perdana Menteri akan memberi penghormatan kepada beliau dengan melawat Gua Musang pada 4hb Mei ini.
Tidak hairanlah jika sekiranya berbagai jenis projek dan bantuan segera akan dihulurkan di sana seperti membaikpulih atau membina sekolah-sekolah, pembinaan Lebuhraya Gua Musang-Bentong dan lain-lain lagi. Sudah ada cakap-cakap sekeping replika cek bernilai RM5 juta akan disampaikan untuk membina semua sebuah masjid. Memang segala bantuan dan projek-projek baik untuk rakyat, hanya mereka mempersoalkan mengapa ketika hampir pilihanraya baru nak diberi. Mengapa tidak dilakukan setahun dua dulu.
Tidak mustahil juga jika sekiranya Perdana Menteri pada pada hari lawatan itu (4hb Mei) akan mengumumkan bahawa Tengku Razaleigh dipilih semula sebagai calon BN Gua Musang.
Begitu juga nasib Tun Mahathir tidak berapa lama dulu. Walaupun pernah memimpin UMNO dan negara selama lebih 22 tahun, apabila saja tidak berjawatan UMNO tidak pedulikan beliau lagi. Nak jadi wakil Bahagian Kubang Pasu ke Perhimpunan Agung UMNO pun tak dapat. Yang sedihnya bak kata Tun Mahathir, beliau dikalahkan dengan hanya RM200 saja yang diberi kepada setiap perwakilan, ditambah pula dengan sabotaj dari pemimpin UMNO Pusat, Negeri dan Bahagian. Sekali lagi media cetak dan elektronik tlah digunakan untuk membelasah Tun Mahathir. “Itulah UMNO!!!” kata mereka yang bersimpati dengan beliau.
Nasib yang sama juga pernah dilalui oleh Tan Sri Isa Samad. Dengan komplot yang didalangi oleh beberapa pemimpin UMNO Pusat dan Negeri, beliau akhirnya diaibkan oleh ‘mahkamah’ UMNO; dipecat bukan sahaja sebagai Naib Presiden UMNO bahkan juga sebagai Menteri Kabinet.
Oleh kerana mahukan kemenangan selepas UMNO/BN kalah di beberapa pilihanraya kecil sebelum itu, UMNO TERPAKSA ‘menjilat ludahnya’ sendiri dengan memilih beliau sebagai calon pilihanraya kecil Bagan Pinang. Bayangkan kedudukan beliau kini jika tidak ada pilihanraya kecil itu.
Begitulah juga dengan keadaan arwah ayahanda saya Tun Ghafar. Menunggu selama hampir 3 bulan nak berjumpa seorang Menteri Besar UMNO yang kebetulan pernah bertugas dibawahnya sebelum itu. Selepas gagal, beliau membuat temujanji berjumpa dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan di Kota Bharu. Hanya dalam tempoh 2 hari saja mereka dapat bertemu di pejabat Tuan Guru. Bukan itu saja, Tuan Guru menawarkan kereta kerajaan kepada beliau walaupun beliau tidak lagi berada dalam kerajaan, tambah pula mereka berlainan parti. Itulah beza pemimpin UMNO dengan Pas.
Selepas keluat kabinet tidak ada sesiapa pun pemimpin UMNO yang ambil kisah tentang beliau sama ada kesihatan mahupun masalah kewangannya yang sehingga kini beberapa orang ahli keluarga terpaksa menanggung beban yang ditinggalkan. Itulah hadiah UMNO kepada seorang pahlawan yang pernah disanjung.
Itulah juga sikap (attitude) sebahagian besar ahli-ahli khasnya pemimpin-pemimpin UMNO. Justeru, bagaimanakah UMNO hendak diselamatkan?
Pandangan dan teguran orang-orang lama dipandang sepi malah ada diantaranya dianggap musuh parti. Akibatnya ada yang dipecat dan ada pula yang dinasihatkan keluar parti seperti Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir tanpa mengambil peduli sumbangan mereka yang begitu banyak kepada UMNO. Tidak hairanlah ramai pengasas dan pejuang UMNO sepertu Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan Tun Hussein Onn (bapa Datuk Hishammuddin) mati di luar UMNO. Malah Tun Mahathir sendiri pernah keluar UMNO.
Sebenarnya UMNO tidak salah, yang salah ialah pemimpin-pemimpinnya.
“Jika UMNO tidak berubah UMNO akan diubah” – itulah kata-kata YAB Dato’ Sri yang juga merupakan doanya di Perhimpunan Agung UMNO tidak lama dulu.
Ramai berpendapat pemimpin-pemimpin hari ini hanya pintar dengan slogan dan retorik. Mereka mula turun padang mendekatkan diri dengan rakyat ketika memerlukan sokongan rakyat sahaja. Rakyat didendangkan dengan janji-janji manis seolah-olah merekalah pejuang rakyat sebenar. Cara mereka memujuk rakyat tak ubah seperti ayah memujuk anaknya dengan memberi gula-gula. Tiba-tiba rakyat diberi saguhati RM500, penuntut diberi RM200 dan RM100.
Tetapi sebahagian besar rakyat masih terus dalam keadaan susah oleh kerana kos sara hidup (cost of living) terus meningkat setiap hari. Kadar jenayah dan rasuah semakin buruk tetapi dalam masa yang sama pemimpin-pemimpin dan juak-juaknya tidak segan-segan merompak khazanah negara. Mereka tidak peduli undang-undang kerana itu semua adalah dibawah cengkaman mereka. Tambahan pula mereka yakin sebahagian besar rakyat terutama orang-orang Melayu khususnya di luar bandar mudah dipengaruhi dengan propaganda yang dipasak bertubi-tubi melalui akhbar dan stesen radio serta tv.
Saya mengaku di zaman Pemuda dahulu, saya juga terlibat dengan jayanya menanam perasaan takut orang-orang Melayu bahawa tanpa UMNO Melayu akan hilang kuasa dan tanpa kuasa masa depan orang-orang Melayu akan gelap-gelita. PAS pula digambarkan sehingga kini parti yang hanya bercakap tentang akhirat semata-mata dan tidak berjuang membangunkan ummah. Sehingga hari ini propaganda kononnya DAP akan menghapuskan hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu dan Raja-Raja terus dibisik-bisikkan. Tanya mereka, siapakah hari ini yang bertanggungjawab mengenepikan hak-hak istimewa Bumiputera dan Raja-Raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara, jika bukan UMNO. Begitu juga bukankah pemimpin-pemimpin UMNO itu sendiri yang memberi lesen kepada rakan kongsinya, MCA acapkali menghina agama suci kita dengan mengatakan pelabur-pelabur akan lari dan rakyat akan menderita jika Pas memerintah negara ini berlandaskan hukum Islam. MasyaAllah! PKR pula digambarkan dengan berbagai skandal seolah-olah pemimpin UMNO/BN adalah “maksum” – tidak tercemar dengan sebarang maksiat dan skandal.
Masa berlalu, zaman pun berubah namun UMNO/BN tetap dengan propaganda yang usang itu. Rakyat kini terutama golongan muda sedar dengan helah itu semua.
Sekiranya kepercayaan dan keyakinan rakyat dapat dikembalikan yang mana sebahagian besarnya adalah melalui apa yang saya sarankan melalui surat ini, saya penuh yakin UMNO dan BN masih mampu mencipta detik gemilangnya.
Sebelum terlupa, ada juga kawan-kawan lama kita berdoa dan berharap agar perbicaraan kes rasuah “Kapal Selam Scorpene” milik negara di Mahkamah Perancis tidak akan membabitkan YAB Dato’ Sri atau mana-mana ahli keluarga. Ia juga diharap tidak ada kaitan dengan kes pembunuhan Altantuya yang masih diperkatakan.
Meskipun surat ini untuk tatapan YAB Dato’ Sri tetapi sekiranya selepas 14 hari daripada surat ini dihantar dan didapati tiada respon daripada YAB Dato’ Sri untuk memulihkan keadaan dan memperbaiki kerosakan dalam negara sebagaimana yang disebutkan diatas, saya merasakan tidak mempunyai pilihan lain selain menyerahkan kepada rakyat untuk menilai dan menghakiminya dengan memberi ruang kepada seramai mungkin rakyat turut sama membaca surat ini.
Dengan rakyat turut sama membaca surat ini setelah ianya tidak mendapat respon daripada pihak YAB Dato’ Sri, saya beranggapan saya sudah menunaikan tanggungjawab sebagai ahli UMNO dan rakyat Malaysia. Selebihnya saya serahkan kepada rakyat untuk menentukan sama ada mereka mahu terus menyokong kepimpinan YAB Dato’ Sri dan UMNO atau sebaliknya.
Saya tidak akan terperanjat jika sesudah surat ini tersebar luas, ramai ‘hero-hero’ UMNO terutama di kalangan mereka yang sedang menyiapkan diri untuk dipilih atau dipilih semula sebagai calon, akan “menyerang” saya.
Tidak kurang juga “mualaf-mualaf” UMNO/BN iaitu mereka yang baru “bertaubat” setelah memaki hamun UMNO/BN bertahun-tahun lamanya dianugerahkan pangkat dan kemewahan dan masih menunggu lebih banyak lagi “durian runtuh” akan bertindak sebagai “askar upahan” memaki hamun saya pula seperti apa yang mereka lakukan terhadap rakan seperjuangan mereka di suatu ketika dahulu.
Saya yakin ada diantara askar upahan ini akan mendesak pemecatan saya daripada UMNO. Umum tahu askar upahan dan mualaf politik ini tidak lebih seperti “harimau sarkas” yang sentiasa lapar menunggu diberi habuan. Harimau sarkas ini terpaksa disuap kerana mereka tidak pandai mencari makan sendiri. Sekiranya habuan tidak diberi dengan cukup dan memuaskan, mereka juga akan membaham tuannya sendiri. Nasihat saya kepada YAB Dato’ Sri agar berwaspada dengan specis harimau sarkas ini.
Terserahlah kepada YAB Dato’ Sri sama ada mahu menerima tekanan daripada mereka itu tetapi saya membuat keputusan menulis surat ini dan berucap di khalayak ramai adalah kerana saya tidak mahu dituduh seperti “lembu” yang boleh dicucuk hidung.
Ada kawan-kawan mengingatkan tidakkah saya takut tindak balas (reaction) dari pemimpin-pemimpin UMNO terhadap saya dan ahli keluarga. Kata mereka lagi, pemimpin-pemimpin UMNO boleh menyekat rezeki, mengaibkan di muka pengadilan, membankrapkan dan malah dengan kuasa yang diberi oleh rakyat, mereka boleh buat apa saja.
Kepada Allah saya berserah; Dialah Yang Maha Adil lagi Maha Berkuasa. Dari Dia kita datang dan kepada Dialah kita semua akan kembali. Allahu Akbar!!!
Adalah menjadi harapan saya agar YAB Dato’ Sri dapat meluangkan masa membaca dan meneliti surat ini demi survival UMNO dan BN di bumi Malaysia yang tercinta ini.
Sekian, terima kasih.
TAMRIN TUN ..