Showing posts with label HASSAN ALI. Show all posts
Showing posts with label HASSAN ALI. Show all posts

Sunday, 29 July 2012

HASSAN ALI DESAK PAS JAWAB TUNTUTAN PERSEKUTUAN KRISTIAN MALAYSIA


Pas yang sanggup menukar matlamat perjuangan daripada menubuhkan sebuah negara Islam kepada negara berkebajikan didesak menyatakan pendirian mengenai tuntutan Persekutuan Kristian Malaysia yang mahu semua agama bebas disebar tanpa sebarang sekatan undang-undang.

Ini kerana sebagai komponen dalam pakatan pembangkang, Pas perlu menjelaskan sama ada bersetuju melaksanakan tuntutan tersebut atau tidak memandangkan persekutuan berkenaan menyeru penganut Kristian memilih parti yang menawarkan kebebasan itu pada pilihan raya umum akan datang.

Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati) yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali berkata, Pas perlu menjawab tuntutan yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan itu kerana seruan sedemikian melibatkan kuasa memilih pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.




Thursday, 14 June 2012

SIAPA ADUN PAS SELANGOR YANG SOKONG HASSAN ALI..???



Tidak perlu dinafikan lagi, bahawa persengketaan di antara Hasan Ali dan PAS bukanlah rahsia.Hasan Ali, dalam siri ceramahnya secara terang-terangan menyatakan akan ketidakmampuan PAS mengendalikan isu-isu yang berkait rapat dengan soal agama Islam di Selangor. Sungguhpun Hasan Ali melabelkan golongan ini sebagai parasit, mahu tidak mahu Hasan Ali harus mengakui bahawa itu adalah pendirian parti Islam Se Malaysia itu.

Ia bukanlah pendapat peribadi,tetapi dasar parti dalam satu kerajaan yang punya kuasa untuk memerintah. Berkuasakah PAS di Selangor dalam mengangkat Islam di tempat yang mereka war-warkan?

Isu perlantikan exco setelah pemecatan Hasan Ali sangat kontroversi dan panas. PAS, yang difahamkan hanya menghantar satu nama kepada pihak Istana, iaitu Pesuruhjaya Negeri merangkap YB Meru. Sehinggakan, terdengar desas-desus bahawa YB Meru telah berjumpa dengan pembantu peribadi seorang Exco Negeri yang lain bagi mengetahui hal-ehwal dan tugas seorang Exco. Allah maha kuasa, rupanya ADUN Sijangkang, YB Dr. Ahmad Yunus Hairi telah dilantik sebagai Exco oleh pihak istana, yang kemudiannya diberi portfolio hal ehwal adat dan belia oleh Khalid Ibrahim.

Hari ini, ADUN Sijangkang ternyata tidak terkongkong oleh budaya “cetek akal” yang menjadi pegangan kebanyakkan ahlul PAS dan Pakatan Rakyat.Kenyataannya yang menyokong pembinaan lebuhraya bertol iaitu Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE). Menurut laporan, YB Dr. Ahmad Yunus mahukan rakyat memanfaatkan lebuhraya berkenaan untuk meningkatkan ekonomi dan taraf hidup tanpa mempolitikkan isu lebuhraya tersebut.

Wow!!! Mempolitikkan lebuhraya? Nada kenyataannya jelas menyanggah kegemaran politikus Pakatan Rakyat, yang acapkali menjadikan lebuhraya sebagai isu untuk memenangi hati rakyat.

Apakah kenyataan ini benar, atau akhbar terbabit memanipulasi kenyataan asal beliau?

Sekiranya benar, maka kenyataan itu sama sekali bertentangan dengan apa yang pernah diwar-warkan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, yang cukup gemar mengambil tol lebuhraya sebagai contoh peningkatan kos hidup dalam beberapa ceramahnya.

Apakah YB Sijangkang, secara berkias, menyatakan pendiriannya bahawa beliau tidak tergolong di dalam golongan disebut oleh Hasan Ali sebagai “parasit”?

Jika diteliti, kenyataan YB Sijangkang itu sebenarnya melawan arus, atau songsang dari apa yang sering dipolitikkan oleh PAS dan ahlul-ahlulnya. Dan ini boleh dianggap sebagai pendekatan berhemah YB Sijangkang bagi mendekati kem Hasan Ali. Apapun, penulis ucapkan tahniah kepada YB Sijangkang, yang berani berfikir di luar kotak, sambil menimbang keperluan lebuhraya bertol.Jangan malu-malu untuk menyertai Hasan Ali, kerana khuatir sikap “gentleman” YB Sijangkang akan terus karam bersama golongan parasit pada PRU 13 nanti. - Selangor Daily 



Friday, 13 April 2012

HASSAN ALI CABAR ANWAR SUMPAH LAKNAT

Hasan Ali Cabar Anwar Sumpah Laknat

ALOR SETAR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar supaya melafazkan sumpah laknat bagi membersihkan namanya daripada segala tuduhan yang membabitkan beliau dengan isu moral.
Cabaran itu dibuat Presiden Jalur Tiga (Jati) Datuk Dr. Hasan Ali yang mahu Anwar segera bersumpah laknat untuk membuktikan tuduhan yang dilemparkan kepada beliau adalah tidak benar.
“Kenapa dia (Anwar) tak sumpah laknat? Dia faham agama, ada penasihat dari luar negara dan ada ulama yang boleh dirujuk tetapi kenapa dia tak berani bersumpah.
“Dia hanya perlu sebut Wallahi, Wabillahi aku Anwar Ibrahim menafikan tuduhan itu, semuanya fitnah dan tidak benar, kalau aku melakukan aku akan dilaknat Allah dunia akhirat.
“Kalau dia sumpah laknat saya anggap sumpah itu lahir dari hati dia. Saya orang pertama yang akan jabat tangan, peluk dan akan akur bersama-sama dengan dia,” katanya sewaktu berceramah di Taman Uda, di sini semalam.
Hasan yang merupakan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor menegaskan, selain Anwar isteri beliau, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail juga perlu membuat kenyataan bahawa suaminya itu bukan seorang biseksual.
“Tetapi kenyataan ini tidak keluar dari mulut Wan Azizah meskipun sejak 1997 lagi orang ramai menunggu.
“Sampai sekarang masih berdolak-dalih mengenai perkara ini dan cukup kalau dia (Wan Azizah) menafikan suaminya bukan biseksual,” jelasnya.
Menurut Hasan, cabaran sumpah laknat kepada Anwar itu memang bukan satu isu baru namun sehingga kini beliau masih menunggu perkara itu direalisasikan oleh Anwar.
“Saya sebut perkara ini sebab Anwar nak jadi Perdana Menteri kepada 27 juta rakyat negara ini yang terdiri daripada anak dan cucu, sahabat serta saudara mara saya.
“Maka saya buat keputusan untuk tahu perkara sebenar. Cukup dengan sumpah laknat oleh Anwar untuk membuktikan segala-galanya,” katanya.
*** Sebenarnya tak perlu buang masa cabar Anwar ni... mesti tak berani punya lah!!!

Friday, 2 March 2012

IDEA DAP GUGURKAN PERJUANGAN NEGARA ISLAM PAS



KUALA SELANGOR - Datuk Dr. Hasan Ali mendakwa, idea untuk menggugurkan perjuangan menubuhkan negara Islam dan ditukar kepada negara berkebajikan oleh Pas sebenarnya datang daripada DAP.


Ini kerana dakwa Hasan, DAP sememangnya tidak mahu malah tidak suka dengan perjuangan asal Pas yang mahu memperjuangkan negara Islam.


``Gugurnya perkataan Islam dalam perjuangan Pas adalah kerana DAP tidak mahu parti itu terus memperjuangkan Islam.


``Selain itu, ia kerana parasit di dalam Pas hari ini tidak lagi menghormati pemimpin dan ulama dalam Pas sebaliknya hanya mengikut kehendak pemimpin PKR (Parti Keadilan Rakyat) yang mahu Pas bersekutu dengan DAP walaupun parti itu menentang Islam," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 1,000 hadirin pada program Bicara Aqidah dan Kuasa Ketiga Selamatkan Ummah di Saujana Utama di sini malam tadi. - UTUSAN

Monday, 13 February 2012

KEHADIRAN DR. HASSAN ALI DAN USTAZ KAZIM DI PENGKALAN PEGOH, UNDANG 15K HADIRIN....

AIDCNews – Sesuatu yang luar biasa apabila kira-kira 15,000 orang hadir mengikuti ceramah Datuk Dr Hassan Ali dan Ustaz Kazim Elias di Padang Kampung Pengkalan Pegoh, Ipoh, 10 Feb.
“Kedatangan Hasan ke sini ternyata mengundang kegusaran pihak tertentu apabila gambar muka beliau pada kain rentang yang dipasang diconteng dan poster beliau turut dikoyakkan.
“Malah, banyak bendera Pas dipasang di sekitar kawasan tersebut terutamanya berdekatan tempat ceramah di Padang Kampung Pengkalan Pegoh”, lapor Mingguan Malaysia.
Ustaz Kazim dalam ceramahnya berkata beliau mengenali Dr Hassan sejak 14 tahun dulu ketika sama-sama menyertai PAS.
“Selepas tidak ketemu 14 tahun, hari ini ketemu semula, Insya Allah..dalam satu bentuk wadah perjuangan untuk menyatupadukan umat Islam.
“Ini target saya..dan saya rasa itulah target Datuk Dr Hassan Ali”, katanya.









Sementara itu, Dr Hasan dalam ceramahnya berkata sepanjang tiga tahun 11 bulan menjadi Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, beliau menghadapi masalah operasi yang cukup besar dalam soal akidah.
Katanya, dalam isu operasi berkaitan judi, arak dan maksiat, beliau menghadapi tentangan yang cukup hebat daripada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Namun, yang saya tidak faham sampai hari ini, pimpinan Pas menentang dan tidak sokong saya dalam soal arak. Yang menolak saya ini bukan ulama atau golongan pemuda tetapi parasit di dalam Pas,” katanya.
Menurut Hasan, golongan parasit itu duduk di dalam tubuh badan Pas tetapi hendak menjahanamkan parti tersebut kerana mahu bekerjasama dengan DAP dan PKR.
“Kerana inginkan keredaan DAP dan PKR, biar hancur Islam, biar hancur Melayu dan biar hancur institusi raja,” katanya.

Monday, 16 January 2012

TIDAK AKAN MERAYU.....!!!

Dr Hassan Ali Tidak Akan Buat Rayuan

Hasan Ali









SHAH ALAM – Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali membayangkan beliau tidak akan mengemukakan rayuan berhubung pemecatannya biarpun ada ruang untuk merayu sehingga 7 Februari depan.
Beliau diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan rayuan.
Hasan berkata, beliau tidak kesal dengan pendirian tersebut selepas merasakan perjuangan di dalam Pas dikhianati khususnya oleh sekumpulan ‘parasit’ yang lebih rela menghargai dan meraikan perjuangan orang lain.
“Saya tak boleh, jiwa saya tak boleh. Saya tidak nampak kenapa harus kekal dalam parti,” katanya pada Program Bicara Memurnikan Akidah Ummah, anjuran Sekretariat Selamatkan Akidah (Himpun) di Taman Bolton, Kuala Lumpur.
Program dihadiri lebih 100 peserta turut menampilkan Dr Azhar Yaakob dan Ustaz Farhan Abdullah daripada Sekretariat Himpun sebagai ahli panel.
Pada sesi dialog itu, Hasan meluahkan kekecewaan apabila perjuangannya mempertahankan akidah umat Islam di Selangor ditentang.
“Saya tidak boleh melakukannya ketika dalam parti, kerana rakan dalam parti dan kumpulan ‘parasit’ ini tidak suka isu arak dan murtad di Selangor diperjuangkan kerana hendak meraikan rakan lain yang bersekongkol dalam parti.
“Saya sanggup digugur dalam Exco dan meninggalkan segala keistimewaan. Walaupun saya cukup selesa dengan kedudukan sebagai Exco, saya tinggalkan demi menyelamatkan diri, anak-anak, keluarga dan umat Islam,” katanya.
Hasan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia berkata, penentangan terhadap perjuangannya terbukti apabila beliau dikritik oleh pemimpin Pas, gara-gara memberi sokongan penuh kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berhubung pemeriksaan gereja dahulu.
“Saya tidak berseorangan dalam perkara ini, dalam tempoh terdekat akan terdapat pergerakan besar-besaran memperjuangkan akidah umat Islam dalam negara,” katanya.
Hasan dipecat oleh Pas Ahad lalu -sinar

Thursday, 29 December 2011

HASSAN ALI BIDAS HARAKAHDAILY.NET..!!!!!

Bekas Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali hari ini menafikan ada meminta maaf kepada pucuk pimpinan Pas mengenai kritikannya terhadap parti dalam pertemuannya di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan baru-baru ini.
Beliau turut membidas portal rasmi parti itu, Harakahdaily.net, yang disifatkan telah memutarbelit fakta yang mampu menyebabkan keraguan dan pepecahan di dalam Pas.










“Soal saya turun ke Kota Baru untuk memohon maaf kepada pucuk pimpinan seperti dilaporkan oleh Harakahdaily dan dipetik oleh kebanyakan saluran media adalah tidak benar sama sekali.
“Saya terkilan dengan laporan Harakahdaily itu walaupun lidah rasmi parti kerap kali diingatkan supaya tidak memutarbelit fakta yang boleh menimbulkan keraguan dan perpecahan,” katanya selepas pertemuan tersebut, yang dipetik dari Mstar Online.
Penafian tersebut sekaligus membayangkan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, yang menyatakan bahawa Hasan telah memohon maaf pada pucuk pimpinan parti pada pertemuan itu atas ketelanjuran kritikannya sebelum ini.
Nik Aziz, dalam kenyataannya menerusi Harakahdaily semalam berkata bahawa kemelut Pas berkaitan kritikan pedas Hasan terhadap parti itu sudah selesai dengan permohonan maaf dari ADUN Seri Gombak itu dan mencadangkan agar diadakan kenduri kesyukuran besar-besar meraikannya.
“Saya melahirkan rasa syukur di atas rasa rendah diri Datuk Hassan Ali yang bersedia memohon maaf serta menarik balik kenyataan negatifnya terhadap parti sebelum ini.
“Saya berharap PAS Pusat boleh menganjurkan kenduri besar-besaran untuk meraikannya dan ahli-ahli PAS boleh memberi sumbangan untuk menjayakan kenduri kesyukuran ini,” kata Nik Aziz semalam yang dipetik dari Harakahdaily.net.
Pertemuan yang diadakan di JKR 10, Kota Bharu, Kelantan itu menyaksikan Hasan dan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, telah dipanggil menghadiri majlis ‘mahabbah’ bersama Nik Aziz, Timbalannya, Datuk Dr. Haron Din dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Menurut Hasan, pertemuan itu berlangsung membincangkan soal hala tuju parti, persediaan parti menjelang Pilihanraya Umum ke-13 dan turut menyentuh mengenai peranan Harakah sebagai lidah rasmi Pas.
“Kami memberikan penjelasan, pandangan dan input untuk diberikan perhatian oleh pucuk pimpinan parti demi mengukuhkan perjalanan parti dan sokongan rakyat terhadapnya,” katanya menceritakan tentang intipati pertemuan itu.
Terkini, Harakahdaily.net telah mengeluarkan kenyataan segera melalui laman sesawangnya mempertahankan laporan beritanya bertajuk ‘Nik Aziz Bersyukur Masalah Selesai’ dengan menyiarkan transkrip penuh dan rakaman video sidang media Mursyidul Am Pas itu mengenai pertemuan tersebut.
Bagaimanapun, Harakahdaily.net dipercayai tidak menemui Hasan untuk mendapatkan penjelasan dari Exco Kerajaan Negeri Selangor itu. MNH