Sunday, 6 November 2016

TABUNG HAJI SAMAN RAFIZI RAMLI


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Ahli Parlimen PKR Pandan Rafizi Ramli tidak perlu menunggu selama tujuh hari supaya beliau atau Tabung Haji (TH) menyamannya kerana TH terlebih dahulu berbuat demikian.

TH katanya telahpun membuat laporan polis di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 499 kerana perbuatan memfitnah oleh Rafizi yang diperakui oleh dirinya sendiri dan siasatan pihak polis telah mendapati wujud kes jenayah fitnah atau ‘criminal defamation’.
Pihak Peguam Negara pula telah pun memfailkan pertuduhan Jenayah Fitnah di bawah seksyen 500.
“Tidak perlulah saudara Rafizi Ramli menunggu sehingga tujuh hari untuk mendapatkan jawapan daripada saya untuk mengambil tindakan undang-undang atau menyaman saudara kerana TH telahpun mengambil tindakan undang-undang saman jenayah terhadap perbuatan fitnah beliau.
“Untuk makluman juga saman jenayah lebih berat berbanding dengan saman sivil, biarlah proses perbicaraan di mahkamah yang mulia kelak menentukan sama ada dia bersalah atau tidak,” kata Dr Asyraf Wajdi.
Beliau berkata demikian di dalam satu kenyataan yang dimuat naik olehnya di laman sosial Facebook pada malam Jumaat.
Asyraf bagaimanapun melihat cabaran yang dilontarkan Rafizi kepada dirinya tidak lebih kepada hanya gimik politik.
rafizi
RAFIZI
“Saya percaya cabaran saudara untuk saya menyaman atau berdebat tidak lebih daripada gimik politik bagi mengalihkan perhatian rakyat terhadap hukuman denda RM200,000 yang telahpun diputuskan oleh mahkamah atas kesalahan saudara menfitnah syarikat NFC baru-baru ini,” katanya.
Justeru, Dr Asyraf Wajdi berkata beliau hanya mampu mendoakan agar Rafizi diberikan hidayah daripada Allah di atas tindakan fitnah beliau terhadap TH sebelum ini.
“Tindakan fitnah beliau sebelum ini terhadap TH telah mendorong 3,954 pendeposit menutup akaun mereka, bahkan ada yang terlepas giliran haji hanya kerana terpengaruh dengan fitnah saudara terhadap TH,” katanya.
Beliau turut menasihatkan Rafizi supaya dapat menghentikan kerja-kerja menghasut yang telah dan sedang dilakukan selama ini.
Ini kerana perbuatan itu hanya akan mengundang kemudaratan kepada rakyat dan Negara keseluruhannya.
“Politik menghasut bukanlah amalan politik matang, berakhlak dan berilmu. Malah fitnah yang dinyala dan disemarakkan telah terbukti telah memudaratkan banyak pihak,” katanya.
Rafizi yang juga Setiausaha Agung PKR dalam kenyataannya pada Jumaat memberikan tempoh selama tujuh hari kepada Dr Asyraf Wajdi untuk menyamannya berhubung tuduhan menfitnah Tabung Haji.
Jika tidak mahu menyaman, beliau perlu berdebat secara terbuka di depan orang ramai untuk membuktikan tuduhan telah memfitnah Tabung Haji, kata setiausaha agung PKR itu.
“Asyraf Wajdi boleh menyaman atas kapasiti beliau sendiri atau mengarahkan Tabung Haji menyaman sekiranya saya memfitnah Tabung Haji seperti yang didakwa.
“Jika tidak, beliau perlu bersetuju berdebat secara terbuka di depan orang ramai untuk membuktikan tuduhan beliau bahawa saya telah memfitnah Tabung Haji,” katanya dalam kenyataan tersebut..

Post a Comment