CHINA: Beberapa jam selepas berita skandalnya dengan seorang pelakon terbongkar dalam laman sosial, pemain badminton handalan China, Lin Dan akhirnya membuat kenyataan maaf kepada keluarga atas keterlanjurannya.
"Sebagai seorang lelaki, saya tidak ingin memberi apa-apa lagi penjelasan. Tapi perbuatan saya jelas menghancurkan perasaan keluarga saya.
"Saya di sini ingin memohon maaf kepada keluarga saya."
Itu tulisan Lin Dan dalam laman sosial Weibo yang dikirimnya pada jam 2.30 petang hari ini.
Pada sebelah pagi ini, berita dan rakaman video klip Lin Dan yang menunjukkan aksi sedang berpelukan dengan seorang wanita terbongkar selepas disiarkan dalam sebuah laman web di China.
Wanita itu kemudian disahkan sebagai pelakon jelita China yang dikenali sebagai Zhao Yaqi.
Skandal Lin Dan ini memang mengejutkan ramai kerana hubungan dengan isterinya, yang juga bekas perseorangan badminton China, Xie Xingfang amat baik dan bahagia, malahan mereka baharu dikurniakan anak pertama pada 5 November lalu.
Yaqi juga adalah bekas ratu cantik dan pernah meraih juara 'Miss Universe' dalam pertandingan Ratu Tourism China pada tahun 2009. Atas populariti dan kejelitaannya, beliau kemudian ditawarkan ke dalam dunia perfileman.
Menurut laporan media China, Lin Dan juga dikesan bertemu dengan Yaqi secara rahsia pada September dan bulan lalu. Gambar pertemuan mereka telah berjaya dirakamkan oleh jurugambar.
Ketika Lin Dan menyertai pertandingan badminton seluruh China diadakan pada Oktober lalu, Yaqi juga dikatakan telah bertemu dengan Lin Dan di dalam bilik hotel.
Lin Dan berkahwin pada tahun 2012 setelah bercinta dengan Xingfang, juara perseorangan wanita dunia sebanyak dua kali, selama 12 tahun.
Bagi Lin Dan, Xingfang adalah seorang suri rumah yang berkemampuan. Ramai peminat turut menganggap mereka adalah pasangan suami isteri yang paling idea dalam dunia badminton.
Dalam pada itu, beberapa syarikat menaja termasuk Yonex sudah berura-ura untuk menarik balik tajaan mereka kepada Lin Dan.
Bagaimana pun, setakat ini belum ada pengumuman rasmi dibuat oleh syarikat-syarikat yang memilih jaguh badminton ini sebagai jurucakap produk keluaran mereka. - SH
No comments:
Post a Comment