Thursday, 6 October 2016

DR. FAUZIAH HASSAN DAN KAPAL ZAYTOUNA-OLIVIA DITAWAN ISRAEL


SHAH ALAM - Aktivis dan juga wakil tunggal dari Malaysia yang mengikuti pelayaran kapal Zaytouna-Oliva dalam misi ke Gaza, kini ditawan Israel.


Kapal layar berserta tiga krew dan 10 orang anak kapal telah ditawan oleh tentera Israel kira-kira 8.58 malam pada Rabu.

Kapal Zaytouna yang dalam misi #Women'sBoatToGaza (WBG) itu dijangka akan ditunda oleh tentera Israel menuju ke pelabuhan Ashdod.

Perkembangan terbaru itu dimuat naik di Facebook Rose2Rose.

Ketika kejadian, kapal Zaytouna sudah melepasi garisan 100 batu nautika ke arah pantai Gaza, dan pada kedudukan itu, kapal berkenaan telah memasuki garisan perairan yang dikawal oleh tentera Israel.

Selain Dr Fauziah, delegasi wanita dari negara lain adalah dari Tunisia, Israel, Algeria, Kanada, Turki, Amerika Syarikat, Sweden, Ireland, New Zealand dan Australia.

Pelayaran mereka bermula pada 8 malam (waktu tempatan Barcelona) 14 September dari pelabuhan Vell dan membuat persinggahan di Ajaccio, Perancis pada 19 September sebelum meneruskan perjalanan ke Messina, Itali.

Misi #WomensBoatToGaza yang disertai lebih 20 wanita ternama dari pelbagai negara dan agama bermatlamat memberi tekanan kepada Israel agar menghentikan kepungan di Gaza yang berlarutan selama hampir 10 tahun.

Gerakan yang merupakan satu inisiatif Freedom Flotilla Coalition (FFC) juga bertujuan menganjurkan misi keamanan untuk memberitahu masyarakat dunia bahawa hak-hak rakyat Palestin harus dikembalikan.- SH

Berikut adalah biodata Dr. Fauziah Hassan


Beliau dilahirkan di Kuala Terengganu pada tahun 1957 dan menerima ijazah MBBS daripada University of Tasmania, Australia pada tahun 1982.
Beliau telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak dan enam orang cucu.
Beliau merupakan Fellow Royal College of Obstetrics and Gynaecology (United Kingdom) sejak tahun 2003 dan berkhidmat sebagai doktor pakar di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur sejak tahun 1997.
Dr Fauziah sangat aktif dalam aktiviti kemanusiaan, bermula sebagai Bendahari Persatuan Medical Relief Malaysia (MERCY Malaysia) (2000-2006) dan mengambil bahagian dalam misi untuk Kosovo (1999), Maluku Indonesia (2000), Afghanistan (2001, 2002,2003), Aceh (2005), Pakistan (2005) dan Gaza (2009).
Beliau kemudian aktif dalam Aqsa Syarif, NGO kemanusiaan Malaysia yang memperjuangkan isu-isu Palestin.
Pada tahun 2015, Aqsa Syarif telah dikendalikan di bawah Humanitarian Care Malaysia Berhad (729288-P) (MyCare), sebuah organisasi kemanusiaan melangkaui sempadan Palestin.
Beliau adalah Timbalan Pengerusi Aqsa Syarif dari tahun 2010 dan kini ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCare.
Selain itu, Dr Fauziah erupakan Penasihat Rose2Rose (R2R), satu lagi agensi dibawah MyCare yang mempunyai fokus memperkasakan wanita dan kanak-kanak.

Post a Comment