Wednesday, 28 September 2016

ULAMAK FIQH MALAYSIA MENINGGAL DUNIA DI CHINA


MALAYSIA kehilangan seorang pakar ilmu fiqh selepas Ustaz Mohd. Fadzli Al Yamani menghembuskan nafas terakhir di Lapangan Terbang Antarabangsa Guangzhou, China.

Difahamkan Allahyarham meninggal dunia setelah jatuh di lapangan terbang berkenaan semasa menunggu bas ke hotel kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi (sama waktu dengan Malaysia).
Allahyarham berada di China untuk urusan dakwah bersama 28 pendakwah lain bagi mengambil lima kanak-kanak Cina Muslim untuk ditempatkan di Madrasah Al Yamani di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Seorang pendakwah, Ustaz Ahmad Farkhan Daie dalam status Facebooknya berkongsi berita sedih kehilangan ulama yang pernah menjadi gurunya dalam ilmu fekah.
Menurutnya, Allahyarham juga antara tetamu jemputan rancangan Tahsin Ibadah di stesen radioIKIMfm.
“Beliau antara ulama yang saya hormati dan saya mudah belajar Fiqh dengan beliau kerana kaedah yang begitu jelas.
“Kenangan makan bersama beliau sambil sesekali saya melihat wajah beliau… Allahuakhbar… Ya ALLAH rahmatilah Guru kami… Kami kehilangan beliau… Semoga kami dapat bertemu beliau di Syurga… amin..amin…,” katanya.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Guangzhou, China, di sisi makam sahabat Sayyidina Saad bin Abi Waqqas RA.
Difahamkan, keluarga Alahyarham berbincang dengan pejabat Konsul Besar Malaysia di Guangzhou serta Persatuan Penduduk Muslim di Guangzhou mengenai urusan pengebumian. – MYNEWSHUB.

Post a Comment