Naib Presiden dan juga Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, dilaporkan ditahan polis lewat petang Selasa sejurus keluar dari menghadiri sidang Parlimen.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, mengesahkan perkara tersebut melalui status terbaharu yang dimuat naik ke akaun laman Facebook rasmi milik PKR.
Sementara itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, turut membuat pengesahan mengenai penahanan Ahli Parlimen Pandan itu melalui akaun Twitternya pada Selasa.
Dalam status terkini yang dimuat naik itu, kata Khalid, Rafizi ditahan anggota polis di luar bangunan Parlimen dan akan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Bernama pada Isnin melaporkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Rafizi berhubung dakwaan yang dibuat ahli politik itu terhadap LTAT.
Pengerusinya, Laksamana (B) Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor berkata: “Jelas sama sekali bahawa tuntutan yang dibuat oleh Rafizi adalah fitnah semata-mata dan berniat jahat.
“Ia bertujuan memusnahkan reputasi baik dan kredibiliti LTAT.”
Sebelum ini, Rafizi mendedahkan dokumen Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang mendakwa hubungan antara 1MDB dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Pendedahan maklumat sulit itu diklasifikasikan sebagai Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.
No comments:
Post a Comment