Monday, 11 January 2016

'OPTIMUS PRIME' KINI DI MALAYSIA, MILIK SULTAN JOHOR

JOHOR BAHRU  -  Trak Mack termahal di dunia milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dilaporkan membuat kemunculan sulung di Malaysia.


Trak raksasa yang mencecah harga RM1.4 juta itu dikesan seorang penunggang motosikal yang tidak melepaskan peluang merakamkan gambar dan video.
Klip video berdurasi 47 saat yang disiarkan melalui laman Facebook “Penyokong Setia Johor” sejak Rabu lalu turut menunjukkan sekumpulan anggota polis bermotosikal mengiringi trak tersebut di lokasi yang tidak diketahui.
Selain itu gambar trak Mack berkenaan, dipercayai diambil di sebuah stesen minyak berhampiran Istana Pasir Pelangi turut menerima lebih 4,500 ‘like’ sejak ia dimuatnaik pada Rabu.
Teruja dengan kemunculan pertamanya, orang ramai menyamakan kenderaan berwarna merah-biru itu dengan watak terkenal dalam filem Transformers – Optimus Prime.
Ada di kalangan pengguna Facebook turut menyatakan rasa gembira dan menyimpan hasrat untuk menyaksikan sendiri trak itu sewaktu siri ekspedisi Kembara Mahkota Johor yang akan datang.
Pengguna Facebook Dharma Hafizul Marali menulis “Optimus Prime dah sampai kat Johor la..hehe terbaik”.
Muhd ​​Fadzly Abd Ghaffar pula memberi komen, “Autobots…rollout!”



Oktober lalu, penyerahan trak tersebut berlangsung dalam satu majlis khas di Dataran King George, Brisbane. Naib Presiden Mack Trucks Australia Dean Bestwick mendedahkan, dalaman trak dengan ciri eksklusif itu tidak akan didapati dalam trak Mack yang lain.
Antara ciri eksklusif itu termasuklah enam kamera litar tertutup (CCTV), dua set televisyen, dapur barbeku dan katil kelamin, selain tempat duduk yang dijahit dengan benang emas. – mStar Online

Post a Comment